Monday, July 28, 2008

Gout : Kucari penawarnya.

Minggu lepas saya makan ketam, masak cili. Ketamnya kecil-kecil sahaja tapi bolehlah daripada tidak ada. Untuk anak, saya buatkan salad ketam. Saya kukus ketam dan udang dan saya perahkan sedikit jus lemon dan bubuh perasa secukupnya. Alhamdulillah, berselera kami makan.

Semalam, tiba-tiba saya rasa sakit di sendi jari manis tangan kanan saya. Sakitnya tidak boleh digambarkan, denyutannya amat terasa. Sukar hendak dibengkokkan juga. Saya terfikir, saya kena goutkah? Ini kali kedua. Kali pertama di kaki, saya berhenti makan udang, sotong, ketam selama 2 ke 3 bulan. Alhamdulillah, hilang.

Saya belum berjumpa doktor. Saya agak takut berjumpa doktor kerana takut tahu hakikat sebenar. Apapun, saya tahu tidak patut kena gout pada usia sekarang. Kadar kesihatan saya berada di tahap terendah sekarang. Hendak buat bagaimana lagi? Kalau saya menyorok belakang tong, orang lain masih boleh nampak saya. Sedih betul.

Malam semalam juga saya google petua ubati gout. Saya jumpa 3 petua yang agak popular disebutkan.

1. Lalukan bahagian yang sakit itu dengan betik muda yang sudah dilayukan di atas api. Betik muda itu jangan sesekali dipotong dan dimakan kemudiannya. Betik dikatakan pantang besar kepada gout.

2. Makan nenas sebanyak-banyaknya. Mungkin untuk tujuk detoks. Toksin kurang, asid urik pun keluar bersamanya.

3. Makan ubi kayu mentah. Ini petua orang asli.

Selain itu dicadangkan amalan berbekam untuk mengeluarkan darah kotor.

Bagi saya, amalan nombor 1 dan 2 itu akan saya lakukan dahulu. Saya pun sudah mengeluarkan arahan kepada isteri saya. Jangan bagi saya makan bukan-bukan. Zalimnya saya pada diri sendiri.

Apapun, saya tahu. Punca utama adalah amalan kesihatan yang tidak sihat menyebabkan semua ini. Saya tahu saya perlu kurangkan berat badan ke aras BMI yang sihat. Saya tahu saya perlu kerap bersenam. Cuma semangat tidak kuat, mula-mula berdiet semangatlah. Bila balik kampung orang tua cakap. "Makanlah, kau balik sekali-sekala sahaja."

Ayat-ayat seperti itulah yang meleburkan segala-galanya. Banyak lagi ayat pelemah semangat seperti. "Kau kurus pun bukannya isteri kau bagi kau tambah cawangan."

Mungkin saya perlukan cabaran? Isteri saya? Dia tidak mahu masakkan untuk saya, saya sendiri yang masak. Masalah sungguh.

Yang saya tahu, petang ini saya perlu turun ke pasar untuk membeli lobak merah. Mungkin saya perlu mulakannya dengan sesuatu yang saya percaya terbukti berkesan.

Saya perlukan cabaran cuma apakah cabaran yang saya perlukan? Saya perlukan nasihat atau cadangan anda.

Boleh juga e-mel ke abahfateh[at]gmail.com

Thursday, July 24, 2008

Bantal Busuk?

Dua hari ini saya menjalankan program latihan untuk kakitangan syarikat saya. “One manshow”. Penat sangat rasanya. Semalam lebih bertenaga cuma hari ini, tona penyampaian saya menjadi lebih perlahan. Pengajarannya, untuk menjalankan program latihan harus berpasangan untuk kekalkan momentum penyampaian yang berkesan. Masalahnya, saya adalah satu-satunya orang yang sudah dilatih untuk program tersebut. Yang lain masih menunggu program 'TOT' (train the trainer) mereka.


Saya bukannya ingin bercerita ragam peserta latihan saya. Saya ingin bercerita satu benda yang sentiasa saya usung ke sana sini semenjak dua-tiga bulan yang lalu. Benda itu adalah bantal kecil berbentuk kereta milik anak saya, Faiq.

Memang menjadi masalah saya sejak dahulu lagi, saya mudah menggigil di hadapan orang pada awal penyampaian saya. Ketar habis kepala lutut. Dahulu ketika saya aktif berbahas di sekolah dan universiti, 1 minit pertama adalah kritikal kerana saya perlu susun dan sampaikan hujah dengan baik dan juga mengawal kegigilan saya itu, terutamanya di kepala lutut. Bila sudah panas badan, hilang gigil, sudah tidak menjadi masalah lagi.

Kini saya menggunakan bantal kereta itu untuk mengurangkan rasa gementar saya. Malah saya gunakan juga ia sebagai alat bantu mengajar saya. Alhamdulillah berkesan. Siapa sangka, benda sekecil ini boleh menyerap segala rasa gementar saya itu.

Dahulu saya ditegur, kerap berbuat bising dengan membuka dan menutup kembali pen marker ataupun pen kerana gementar. Kini, berdiri sebentar, ramas sekuat hati bantal itu dan saya percaya saya tampak berkeyakinan dalam menyampaikan apa jua ucapan saya. Sementara itu ramai pula yang menegur betapa comelnya bantal itu dan di mana saya dapatkannya.

Maaflah Faiq, Abah ambil buat harta abah pula.

Oh ya, hari ini ulangtahun Muhammad Fateh yang ke-3. Selamat Ulangtahun Fateh. Semoga Fateh menjadi anak yang baik dan soleh. Salam sayang!

Happy 3rd Anniversary Fateh.

Friday, July 18, 2008

Kisah "Datuk Mertuaku"

Saya tidak pernah merasai kasih sayang seorang insan yang bergelar datuk. Kedua-dua datuk saya meninggal dunia sebelum saya dilahirkan lagi. Ketika saya kecil dahulu, kadang-kadang terbit rasa cemburu juga mendengar cerita-cerita kawan-kawan saya dengan datuk mereka. Oleh itu, apabila berkahwin saya menumpang kasih dengan datuk mertua i.e. datuk isteri saya (adakah istilah datuk mertua ini?).

Saya ingin berkongsi satu pengalaman menarik kepada anda semua ketika saya mula-mula bertemu dengan keluarga bakal isteri saya ketika itu. Semoga menjadi panduan kepada anda yang masih bujang dan tidak berpunya lagi atau masih belum berjumpa dengan keluarga bakal isteri anda. Kisah ini berlaku pada Hari Raya Aildifitri tahun 2003.

Pagi itu saya bangun awal, maklumlah hendak berjalan jauh ke Johor dan tiada perancangan ingin bermalam di sana. Kiranya balik harilah. Bersama seorangn kawan, berkeretalah kami ke Batu Pahat. Walaupun sepanjang perjalananan itu kami ngobrol-ngobrol namun dalam minda saya ligat memikirkan jawapan-jawapan kepada soalan-soalan lazim yang bakal dikemukan. Contohnya, latar belakang keluarga, latarbelakang pekerjaan dan juga perancangan masa hadapan. Akhirnya, menjelang tengahari saya tiba di Parit Raja, Batu Pahat. Saya semakin menggelabah, mujur ada kawan menenangkan saya.

Rumah pertama yang kami pergi adalah rumah datuk bakal isteri saya. Kebetulan bakal isteri saya berada di rumah datuknya. Tiba sahaja di sana saya tengok-tengok ada banyak juga kereta. ”Ya Allah, satu kampungkah yang datang?” Hati saya berbisik. Saya semakin tidak keruan. Namun kawalan ’macho’ itu tetap diteruskan.

Saya dijemput naik maka kami pun naiklah dan terus duduk di ruang tamu. Semua orang ada di bahagian bawah rumah. Sesekali terdengar bunyi ketawa mengusik-usik bakal isteri saya itu. Kawan saya sudah tersenyum-senyum lalu berkata dalam loghat utara . ”Kawan, bertenang. Buat biasa sahaja.”

Tiba-tiba kedengaran bunyi papan dipijak. Kelihatan seorang tua berbadan kecil, dibelakangnya adalah bakal isteri saya. Lalu diperkenalkanlah orang tua itu kepada saya. Oh, rupa-rupanya inilah bakal datuk mertua saya. Selepas bersalaman dan bertanya khabar kami pun duduk bersama. Dalam fikiran saya lebih menjurus kepada apakah soalan-soalan cepu emas yang bakal dikemukan.

Kemudian diapun bertanya kepada saya dengan muka yang serius dan pekat telor jawanya. ”Rumah kau di Kajang itu tanah apa?”

Saya betul-betul tidak tahu apa mahu dijawab. Tidak ada dalam ’spot question’ Tanah lotkah? Tanah gambutkah? Habis semua jenis tanah saya sebut, apa yang teringat ketika belajar sains dan geografi dahulu. Habis semua jawapan-jawapan yang saya fikirkan sebelumnya.

Pengajarannya adalah kenal pasti latarbelakang semua bakal-bakal mertua anda. Petanikah mereka atau apa sahaja. Datuk mertua saya itu seorang petani maka ditanyalah tanah apa, apa jenis tanaman yang ditanam di kampung saya di Kajang dan sebagainya yang berkaitan dengan pertanian. Pengajaran keduanya, jadilah diri anda sendiri. Sehingga kini ia masih menjadi kenangan yang segar dan antara perkara yang diceritakan semula antara saya dan isteri saya. Kami akan tertawa semula mengenangkannya.

Namun kini datuk mertua saya itu sudah pulang menghadap Ilahi. Almarhum Datuk Amin telah meninggalkan dunia yang fana ini pada 15 Julai 2008. Al-Fatihah.

Walaupun saya tidak sempat mengenalinya secara sangat rapat, kisah di atas adalah antara kenangan manis antara saya dan Almarhum. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin Ya Rabbal ’Alamin.

Wednesday, July 16, 2008

Debat oh Debat! Kecewa Rasanya.

PETRONAS memperoleh untung bersih RM61 bilion ringgit. Keuntungan sebelum cukainya adalah RM95.5 bilion, lebih kurang 1/3 daripada perolehannya yang berjumlah RM23.1 bilion. Oleh itu, kerajaan telah diamanahkan RM67.6 bilion ringgit untuk diuruskan. Jumlah perolehan kerajaan itu adalah daripada royalti, dividen, cukai petroleum, cukai korporat dan sebagainya. (saya ambil daripada laporan berita, belum membaca laporan kewangan rasmi)

Banyak bukan?

Sebagai bandingan jika anda susah memahaminya ialah, pendapatan kasar anda itu telah dicukai oleh kerajaan terlebih dahulu. Maka selepas anda bayar cukai itu anda sangka anda boleh membelanjakan pendapatan bersih selepas cukai namun sama sekali salah. Kerajaan ambil lagi duit anda melalui cukai pintu, cukai tanah, tol, caruman anda dan sebagainya. Sebab itulah jika tanpa perancangan kewangan yang berhemah, anda akan rasa tidak cukup duit sampai bila-bila.

Cukuplah. Selepas ini kita perlu sentiasa bertanya apa yang kerajaan sudah buat dengan duit yang kita berikan. Ke mana ia pergi dan bagaimana ia diuruskan?

Debat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Datuk Ahmad Shabbery Chik (DASC) sukar sikit saya ulas. Saya dengar sikit-sikit kerana sibuk dengan anak-anak buah Datuk Idris Jala menguruskan tiket kapalterbang untuk pulang ke kampung kerana ada kecemasan di kampung isteri saya.

Cumanya saya cukup suka bila dengar DSAI menyatakan bahawa ini bukan isu duit PETRONAS yang diperuntukkan untuk pengurusannya tetapi tentang bagaimana kerajaan menguruskan kekayaan ini.

Satu perkara yang saya gelengkan kepala sahaja ialah apabila DASC sibuk dengan poin janji DSAI turunkan harga minyak sebanyak RM0.50 daripada RM1.92 iaitu sebelum pilihanraya. Beliau lupa janji ketuanya, harga minyak tidak akan naik selepas pilihanraya. Cukuplah, kita sudah tahu siapa yang lidahnya bercabang di sini.

Cukuplah. Saya tidak mahu ulas panjang-panjang. Banyak ulasan yang boleh and baca di blog-blog lain. Cukuplah. Cukuplah. Ada telinga pakai, ada mata pandang, ada bijak pakai. Cuma saya pelik dengan orang yang bertepuk bagai nak rak itu setiap kali DASC bagi premis rapuh. Kena bayarkah?

Mengapa PETRONAS yang dikaitkan dengan pengurusan kekayaan negara secara keseluruhannya?

Apa kaitan demonstrasi Baling 1974 dengan kenaikan harga minyak kini?

Apa kaitan demo rakyat? Nak luahkan perasaan pun tidak bolehkah?

Sebelum saya terlupa, sebahagian besar perolehan PETRONAS adalah hasil daripada pelaburan di 33 buah negara luar i.e. lebih tinggi daripada pasaran domestik. Jika anda berhujah PETRONAS harus memulangkan perolehan itu kepada rakyat negara ini kerana minyak itu diambil di Malaysia maka izinkanlah PETRONAS memulangkan dengan pulangan sewajarnya kepada rakyat negara-negara itu. Kesannya, pulangan kepada kerajaan akan berkuranganlah dan rasa-rasanya adakah kerajaan bersedia dengan keadaan ini? Dapatkah merasa tambahan RM6 bilion dalam bentuk dividen oleh PETRONAS?

Walaupun DSAI yang peribadinya ditembak secara terbuka dan tidak dijawabnya pun, beliaulah yang terlebih dahulu melangkah ke podium DASC bersalaman. Siapa ego?

Tuesday, July 15, 2008

Peraturan Kolej Kediaman

Dalam satu perjumpaan penghuni kolej kediaman dengan Pengetua Kolej, isu berkenaan dengan pencerobohan pelajar lelaki ke bilik pelajar perempuan dan sebaliknya telah dibangkitkan. Lalu Pengetua Kolej telah menetapkan satu peraturan untuk mengatasi masalah ini.

Berkata Pengetua Kolej, ”Mulai sekarang, sesiapa sahaja yang didapati mencerobohi bilik pelajar lain yang berlainan jantina akan dikenakan denda.”

Diam sahaja suasana dewan perhimpunan. Pengetua Kolej semakin bersemangat. Dia menyambung kata-katanya. ”Pencerobohan kali pertama adalah RM50, kali kedua RM100 dan kali ketiga adalah RM200. Faham semua?”

Pengetua Kolej memerhatikan setiap penghuni kolej. Tiba-tiba kelihatan seorang penghuni mengangkat tangannya lalu berdiri. Dia bertanya. ”Tuan Pengetua, berapakah harga untuk pas semusim?”

ps: terima kasih Zul atas lawak ini. Dah diubahsuai sedikit.

Thursday, July 10, 2008

Ahmad Fadzli Menunggu Lima Komen Lagi

Kenapa ‘Ban’ Rancangan Tom Tom Bak?

Tahukah anda, setakat ini, sudah ada beberapa orang yang saya dapati tidak membenarkan anak-anak mereka menonton rancangan Tom Tom Bak di saluran Astro Ceria 611. Klik link ini untuk bacaan seterusnya. Sahabat saya, Ahmad Fadzli Yusof menunggu LIMA lagi pendapat sebelum beliau memberikan pandangannnya.

Wednesday, July 9, 2008

Pembaziran Makanan - Budaya di Malaysia?

Pernahkah anda melihat / membaca kartun Datuk Lat yang menunjukkan gelagat rakyat Malaysia di restoran yang menyediakan hidangan buffet? Antara yang saya ingat ialah sikap mengambil makanan banyak-banyak sehingga tertumpah dan ada di antaranya dibazirkan begitu sahaja. Itulah sindiran sinis Datuk Lat kepada rakyat Malaysia yang tidak tahu etika makan di restoran.

Saya sebenarnya semakin tidak tahan dengan pembaziran makanan yang berlaku di mana-mana sahaja. Orang sekarang semakin tidak menghargai makanan. Makanan baru separuh dihabiskan sudah ditinggalkan begitu sahaja. Jika hidangan buffet, ambil seberapa banyak yang boleh namun yang termakan cuma sepinggan sahaja. Fenomena ini semakin ketara ketika bulan Ramadhan, bulan yang sepatutnya menjadi medan menundukkan nafsu menjadi sebaliknya, medan memanjakan nafsu.

Saya ada seorang kawan di universiti yang akan berhenti makan sekiranya nasinya sudah habis walaupun lauknya masih banyak lagi. Kadang-kadang saya bising juga dengan tabiatnya itu namun dia tetap selamba menjawab. ”Sudah tidak boleh makan lagi, hendak buat bagaiman?”

Ada beberapa sebab yang saya kira mendorong manusia begitu mudah membazirkan makanan.

1. Makanan itu Begitu Mudah Didapatkan.

Fenomena kuih tunjuk, lauk tunjuk, tapau, order mahupun orang gaji yang masak menyebabkan kita tidak menghargai proses menghasilkan sesuatu makanan itu. Senang bicara, ada wang, beli sahaja. Tidak perlu berpeluh-peluh di dapur, menahan pedih mata dek hirisan bawang sebagainya.

Itu sebabnya saya suka memasak sehingga ada blog makanan sendiri.

2. Tidak Menginsafi Dari Mana Datangnya Makanan Itu.

Ini berkait rapat dengan kesyukuran kita kepada Allah sebagai Maha Pemberi Rezeki (Ar-Razak). Saya percaya jika kita benar-benar bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan nescaya kita tidak akan berani membazirkannya. Salah satu cara kita menginsafi pemberian Allah ini mudah sahaja, bacalah doa sebelum makan dan selepas makan dan fahami maksudnya.

3. Tidak Pernah Merasai Susahnya Mendapatkan Sumber Makanan

Soalan yang saya ingin tanya sekarang kepada anda, pernahkah anda....

- Mengejar ayam untuk sepotong paha ayam?

- Membuat batas sayur untuk semangkuk sayur?

- Mengail ikan di kali untuk secubit ikan masak singgang?

- Meredah semak semata-mata untuk secekak ubi kayu?

- Memerah puting lembu untuk secawan susu?

Rata-rata saya kira masyarakat kini tidak melalui semua ini lagi. Sekadar singgah di pasar basah atau pasaraya besar anda sudah boleh dapatkan semua ini sehingga kadang-kadang kita lupa bagaimana rupa lembu sebenarnya kerana selalu sangat membeli daging lembu beku. Ada kisah pelajar di Kota Singa sana melukis paha ayam goreng apabila disuruh melukis seekor ayam oleh gurunya.

Kita tidak perlu berusaha ke tahap seperti soalan saya untuk mendapatkan makanan menyebabkan kita kurang menghargainya. Ingatlah, sebutir nasi seumpama setitis peluh si petani.

Ketika kecil dahulu, saya diperli-perli oleh Almarhum Ayah saya kerana tidak membersihkan ayam goreng yang saya makan (masih ada sisa daging di celah-celah tulang). Almarhumah Ibu saya juga begitu, disuruhnya kami ambil sedikit-sedikit, jika tidak cukup barulah ditambah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan diberi keampunan kepada kedua-dua ibu bapa saya di atas didikan mereka ini agar kami tidak membazirkan makanan kami.

Namun, perbualan di antara Almarhum Ayah saya dengan rakannya menyebabkan saya berjanji tidak akan membazirkan makanan sama sekali dan bersyukur ke atas rezeki yang Allah berikan. Perbualan ini berlangsung ketika mereka berdua makan ayar goreng bersama-sama dengan saya ketika saya dalam lingkungan 9 atau 10 tahun. Sehingga kini, ekspresi muka mereka, tutur kata mereka berkenaan dengan subjek ini masih melekat di dalam kotak pemikiran saya.

(jika boleh, bacalah dalam telor masyarakat Jawa)

Ayah : Anak-anak sekarang kalau makan ayam mana macam kita makan sekarang. Tengok.
Habis licin kita makan. (sambil menunjukkan tulang ayam yang bersih)
Rakan : Betul, aku ingat masa kita kecil dulu, makan ayam, setahun sekali sahaja, masa raya.
Bila dapat, waduh.... Sampai isi-isi tulang pun kita gigit, makan dan hisap sekali.
Ayah : Itulah, itupun kalau kita dapat tangkap ayam. Kalau tidak tunggu hari raya tahun
depanlah baru dapat. (ketawa kecil)
Rakan : Masa itu, *ceker pun direbuti dengan adik-adiknya. (sambung ketawa)

*ceker = kaki ayam.

Para pembaca sekalian, janganlah bazirkan makanan. Sampaikanlah mesej ini kepada kelurga anda, rakan-rakan anda atau sesiapa sahaja. Bayangkanlah, jika kita semua makan secukup yang diperlukan sahaja mungkin krisis makanan atau harga makanan melambung tinggi sedikit-sebanyak boleh diatasi. Ataupun ini boleh menjadi faktor kejayaan perbelanjaan berhemah anda?

Lagipun, membazir itukan amalan syaitan. Saya harap anda tidak akan membazirkan makanan lagi selepas ini. Boleh?

Baca juga:
1. Elak Pembaziran Hadapi Krisis Makanan

Sunday, July 6, 2008

Rumah Untuk Disewa

Gambar : Fateh sedang merenung cabaran yang
bakal dilaluinya di Kuala Lumpur kelak.

Rumah ini akan dikosongkan oleh penyewanya mulai 1 September 2008. Ini rumah kampung dua pintu, 3 bilik tidur dan 1 bilik air. Siapa penyewanya? Sayalah, Abahfateh.

Alhamdulillah, selepas 7 tahun menabur bakti di bumi Labuan akhirnya permohonan saya untuk bertukar diluluskan oleh pengurusan saya. Terima kasih Tuan CEO, saya tidak mahu cakap banyak-banyak lagi.

Sekiranya anda bakal ditugaskan ke Labuan sekitar bulan September dan mencari rumah sewa, mungkin ini salah satu pilihan anda. Jika anda ada kenalan yang bakal ditugaskan ke Labuan, bolehlah sarankan mereka mencari tuan rumah saya. (ini adalah iklan tidak berbayar kerana saya tidak akan dapat sedikit komisen pun)

Jadi, saya akan lebih sibuk sekarang dengan perpindahan ini disamping tugas-tugas harian saya yang perlu saya selesaikan segera agar nota serah tugas saya menjadi senipis yang boleh. Kalau blog ini tidak dikemaskinikan seperti selalu saya minta maaf banyak-banyak terlebih dahulu.

Insya-Allah, saya akan memulakan tugas saya di Kuala Lumpur pada 2 September 2008.

Wednesday, July 2, 2008

Perempuan Tua dan Ayam Goreng


“Sedapnya ayam goreng ini!” kata Fateh sebaik sahaja mengigit paha ayam goreng yang dibelikan untuknya.

“Sudah baca Bismillah?” tanya Ibufaiq kepada Fateh. Tersengih-sengih Fateh mendengar teguran ibunya. Pantas dia duduk sambil menadah tangan. Abahfateh segera membaca doa sebelum makan dan diaminkan oleh Ibufaiq dan Fateh. Faiq seperti biasa, mula menepuk-nepuk meja keseronokan.

Sesudah berdoa, mereka bersama-sama menikmati hidangan makan malam tersebut. Fateh sesekali berebut alat permainan dengan adiknya yang sudah pandai berebut juga. Sesekali mereka ditenangkan oleh Ibufaiq atau Abahfateh. Tiba-tiba pandangan Abahfateh menangkap objek seseorang di pintu kaca restoran itu. Kelihatan seorang perempuan cina tua yang mengintai-ngintai ke dalam restoran tersebut. Tanpa sedar Abahfateh tersebut. ”Kasihan orang tua itu.”

Terhenti Ibufaiq seketika daripada menyuap Faiq. ”Siapa? Apa yang kasihannya?” Tanya Ibufaiq.

”Itu, cuba tengok di sana.” kata Abahfateh sambil menunjuk ke arah pintu kaca tersebut. Orang ramai silih masuk dan keluar restoran tersebut. Ibufaiq pantas menoleh dan melihat siapakah yang dimaksudkan oleh suaminya itu.

”Awak kenalkah dengan orang tua itu?” Ibufaiq bertanya.

Abahfateh mengangguk perlahan sambil berkata. ”Kenal itu tidaklah seperti yang sepatutnya. Tetapi saya tahulah siapa dia. Dia ini kerjanya kutip kertas, tin kosong, botol-botol kosong atau apa sahaja yang boleh dijual. Sejak saya sampai sini memang kerjanya itu.”

Ibufaiq mendengarnya penuh hati-hati. ”Kasihan bukan dengan perempuan itu?”

”Sebab kasihan itulah saya bercadang hendak belikan set ayam goreng untuk dia. Boleh?”Abahfateh cuba-cuba menduga Ibufaiq.

”Apa pula tidak bolehnya. Tunggulah dulu, orang tengah ramai beratur hendak membeli makanan.” balas Ibufaiq sambil menunjuk ke arah kaunter makanan. Abahfateh hanya mengangguk. Perhatiannya kini tertumpu kepada Faiq dan Fateh. Namun, sesekali matanya tetap mencari perempuan tua cina itu. Masih lagi ada di sana, setia meninjau-ninjau ke dalam restoran makanan segera itu.

”Abah, tolong betulkan mainan ini.” pinta Fateh tiba-tiba sambil menunjukan mainan keretanya yang tercabut tayarnya.

”Macam mana boleh tercabut?” rungut Abahfateh namun segera diambilnya mainan anaknya lalu dipasangkannya tayar ke tempatnya. Usai membaikinya, Abahfateh segera mencari perempuan tua itu. Sudah tiada.

“Perempuan tua itu sudah pergi.” kata Abahfateh kepada Ibufaiq. Segera Ibufaiq berpaling.

“Hajat saya tidak kesampaian.” sambung Abahfateh lagi. Ibufaiq tersenyum lembut.

“Bukan rezekinya.” balas Ibufaiq pendek sambil memandang Abahfateh yang nampak kehampaan. Mereka meneruskan makan malam mereka. Selesai mengemaskan meja makan mereka maka Abahfateh dan keluarga bergerak keluar daripada restoran itu.

“Fateh, jangan melulu keluar! Bahaya!” tiba-tiba Abahfateh menjerit kepada Fateh yang tiba-tiba sahaja berlari keluar restoran. Kelihatan langkah Fateh terhenti tiba-tiba sambil memandang sesuatu. Abahfateh segera keluar mendapatkan Fateh.

Kelihatan perempuan tua itu sedang duduk di luar pintu restoran itu sambil mengeluarkan sebungkus makanan. Kelihatan air, ayam goreng dan sayur-sayur disusun elok, sedia hendak dimasukkan ke dalam begnya. Senyum manis terukir di wajah perempuan tua itu.

”Masih ada insan yang mulia hati mereka. Alhamdulillah.” bisik hati Abahfateh sambil memimpin Fateh dan mengetuai keluarganya pulang ke rumah.

Baca Juga
1. Sebungkus Mee Segera dan Sebutir Telur
2. Membudayakan Amalan Sedekah di Dalam Diri

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP