Pernahkah anda melihat / membaca kartun Datuk Lat yang menunjukkan gelagat rakyat Malaysia di restoran yang menyediakan hidangan buffet? Antara yang saya ingat ialah sikap mengambil makanan banyak-banyak sehingga tertumpah dan ada di antaranya dibazirkan begitu sahaja. Itulah sindiran sinis Datuk Lat kepada rakyat Malaysia yang tidak tahu etika makan di restoran.
Saya sebenarnya semakin tidak tahan dengan pembaziran makanan yang berlaku di mana-mana sahaja. Orang sekarang semakin tidak menghargai makanan. Makanan baru separuh dihabiskan sudah ditinggalkan begitu sahaja. Jika hidangan buffet, ambil seberapa banyak yang boleh namun yang termakan cuma sepinggan sahaja. Fenomena ini semakin ketara ketika bulan Ramadhan, bulan yang sepatutnya menjadi medan menundukkan nafsu menjadi sebaliknya, medan memanjakan nafsu.
Saya ada seorang kawan di universiti yang akan berhenti makan sekiranya nasinya sudah habis walaupun lauknya masih banyak lagi. Kadang-kadang saya bising juga dengan tabiatnya itu namun dia tetap selamba menjawab. ”Sudah tidak boleh makan lagi, hendak buat bagaiman?”
Ada beberapa sebab yang saya kira mendorong manusia begitu mudah membazirkan makanan.
1. Makanan itu Begitu Mudah Didapatkan.
Fenomena kuih tunjuk, lauk tunjuk, tapau, order mahupun orang gaji yang masak menyebabkan kita tidak menghargai proses menghasilkan sesuatu makanan itu. Senang bicara, ada wang, beli sahaja. Tidak perlu berpeluh-peluh di dapur, menahan pedih mata dek hirisan bawang sebagainya.
Itu sebabnya saya suka memasak sehingga ada blog makanan sendiri.
2. Tidak Menginsafi Dari Mana Datangnya Makanan Itu.
Ini berkait rapat dengan kesyukuran kita kepada Allah sebagai Maha Pemberi Rezeki (Ar-Razak). Saya percaya jika kita benar-benar bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan nescaya kita tidak akan berani membazirkannya. Salah satu cara kita menginsafi pemberian Allah ini mudah sahaja, bacalah doa sebelum makan dan selepas makan dan fahami maksudnya.
3. Tidak Pernah Merasai Susahnya Mendapatkan Sumber Makanan
Soalan yang saya ingin tanya sekarang kepada anda, pernahkah anda....
- Mengejar ayam untuk sepotong paha ayam?
- Membuat batas sayur untuk semangkuk sayur?
- Mengail ikan di kali untuk secubit ikan masak singgang?
- Meredah semak semata-mata untuk secekak ubi kayu?
- Memerah puting lembu untuk secawan susu?
Rata-rata saya kira masyarakat kini tidak melalui semua ini lagi. Sekadar singgah di pasar basah atau pasaraya besar anda sudah boleh dapatkan semua ini sehingga kadang-kadang kita lupa bagaimana rupa lembu sebenarnya kerana selalu sangat membeli daging lembu beku. Ada kisah pelajar di Kota Singa sana melukis paha ayam goreng apabila disuruh melukis seekor ayam oleh gurunya.
Kita tidak perlu berusaha ke tahap seperti soalan saya untuk mendapatkan makanan menyebabkan kita kurang menghargainya. Ingatlah, sebutir nasi seumpama setitis peluh si petani.
Ketika kecil dahulu, saya diperli-perli oleh Almarhum Ayah saya kerana tidak membersihkan ayam goreng yang saya makan (masih ada sisa daging di celah-celah tulang). Almarhumah Ibu saya juga begitu, disuruhnya kami ambil sedikit-sedikit, jika tidak cukup barulah ditambah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan diberi keampunan kepada kedua-dua ibu bapa saya di atas didikan mereka ini agar kami tidak membazirkan makanan kami.
Namun, perbualan di antara Almarhum Ayah saya dengan rakannya menyebabkan saya berjanji tidak akan membazirkan makanan sama sekali dan bersyukur ke atas rezeki yang Allah berikan. Perbualan ini berlangsung ketika mereka berdua makan ayar goreng bersama-sama dengan saya ketika saya dalam lingkungan 9 atau 10 tahun. Sehingga kini, ekspresi muka mereka, tutur kata mereka berkenaan dengan subjek ini masih melekat di dalam kotak pemikiran saya.
(jika boleh, bacalah dalam telor masyarakat Jawa)
Ayah : Anak-anak sekarang kalau makan ayam mana macam kita makan sekarang. Tengok.
Habis licin kita makan. (sambil menunjukkan tulang ayam yang bersih)
Rakan : Betul, aku ingat masa kita kecil dulu, makan ayam, setahun sekali sahaja, masa raya.
Bila dapat, waduh.... Sampai isi-isi tulang pun kita gigit, makan dan hisap sekali.
Ayah : Itulah, itupun kalau kita dapat tangkap ayam. Kalau tidak tunggu hari raya tahun
depanlah baru dapat. (ketawa kecil)
Rakan : Masa itu, *ceker pun direbuti dengan adik-adiknya. (sambung ketawa)
*ceker = kaki ayam.
Para pembaca sekalian, janganlah bazirkan makanan. Sampaikanlah mesej ini kepada kelurga anda, rakan-rakan anda atau sesiapa sahaja. Bayangkanlah, jika kita semua makan secukup yang diperlukan sahaja mungkin krisis makanan atau harga makanan melambung tinggi sedikit-sebanyak boleh diatasi. Ataupun ini boleh menjadi faktor kejayaan perbelanjaan berhemah anda?
Lagipun, membazir itukan amalan syaitan. Saya harap anda tidak akan membazirkan makanan lagi selepas ini. Boleh?
Baca juga:
1. Elak Pembaziran Hadapi Krisis Makanan
5 comments:
arwah bapak tu borak karo sopo?
aku rasa, nasihat lain yang aku ingat pasal makanan ni ...
"duit tu berhabis pasal makan takpe. Jgn habis di tempat lain."
er.. patut lu ngan apek ... er..
*nota utk pembaca lain. maksud quote tu...
bukan makan bermewah di restoran mahal, tapi jgn berhabis duit beli kereta dll sampai lupa beri makan kepada keluarga.
Pakdi
http://my.pakdi.net
pakdi 'hensem' - dah ku agak akan keluar ayat2 begini..
karo sopo? kau agak2 sape?
Aduhai....membazir, membazir. Itu la yang berlaku, sebab kita belum lagi merasai betapa deritanya orang-orang yang sering kebuluran.
Jom, katakan tidak pada membazir. :)
sentence mana yang kau dah agak?
kalau yg masih ada ... wak madrus?
Pakdi
http://my.pakdi.net
pakdi - benar2..... sentence 'patut' tue..
Post a Comment