Showing posts with label peribadi abahfateh. Show all posts
Showing posts with label peribadi abahfateh. Show all posts

Maafkan Kami

Posted by Abahfateh | 6:06 PM | | 2 comments »

Saya pohon maaf sebanyak-banyaknya.

Saya semakin jarang mengemaskini blog saya. Jika dahulu, seminggu sekurang-kurangnya 2 kali, kini seminggu sekali pun susah. Maaf sekali lagi jika anda datang ke rumah maya saya ini namun isinya kosong tiada yang baru.

Sejak akhir-akhir ini saya kurang bermaya, tidak bersemangat dan tidak berminat untuk berkongsi apa-apa. Kemaskini pun saya rasa entah apa-apa. Ada entri yang saya sudah taip, saya biarkan begitu sahaja, tidak saya terbitkan. Saya sedar hal ini dan cuba mencari puncanya. Alhamdulillah, saya sudah dapat 2-3 jawapannya.

Mungkin juga saya mengalami krisis perubahan umur, sudah hampir ke fasa 30an. Dulu ketika saya masuk umur 20 tahun pun sama juga rasanya seperti saya rasa hari ini. Apapun, terima kasih kerana masih sudi berkunjung.

Saya perlu 'fine tuning' pemikiran saya buat seketika. Saya akan kembali semula menemui anda. Tidak lama, dua tiga hari sahaja lagi.

Maaf dan terima kasih sekali lagi.


Tikus?
Anda suka tikus? Jika anda membayangkan tikus seperti Mickey Mouse ataupun Minnie Mouse, mungkin anda sanga menyukainya dengan berbisik "Comelnya tikus itu."

Jika anda membayangkan tikus itu seperti Mr. Jingle, tikus yang berkebolehan akrobatik dalam filem The Green Miles, mungkin anda sendiri teringin membela tikus sepertinya yang dapat menghiburkan anda.

Bagaimana dengan tikus-tikus besar yang senang di dapati di lorong-lorong belakang kedai di bandar tempat kediaman anda? Comel dan menawan? Saya pernah membatalkan niat saya makan di 'food court' gara-gara melihat 3 ekor tikus bermain nyorok-nyorok di bawah meja makan.

Rumah saya diserang tikus sebenarnya. Entah dari mana datangnya. Maka perangkap dibeli sehingga dua buah dan memang tertangkap 2 ekor tikus yang saiznya tidaklah sebesar tikus di belakang kedai makanan. Namun dengan tertangkapnya 2 ekor tikus itu telah menjadikan sebilangan anak-anak tikus menjadi yatim piatu.

Saya baru tangkap seekor anak tikus itu, comel dan saya tidak sampai hati untuk membunuhnya. Buntu fikiran saya memikirkan cara terbaik menyingkirkan anak tikus itu. Isteri saya cadangkan diletakkan dahulu di dalam perangkap tikus yang memerangkap induknya. Tersilap langkah, anak tikus terjatuh dan seekor kucing dengan selambanya menangkapnya dan membawanya lari entah ke mana.
Jauh di hati saya rasa lega yang teramat sangat. Namun kusut juga kerana memikirkan cara yang terbaik untuk menghindarkan rumah daripada serangan tikus apatah lagi sekeliling rumah saya memang masih kaya dengan flora dan faunanya. Rumah anda mungkin pernah mengalami nasib yang serupa dan anda mungkin ada cara untuk mengatasinya. Apa kata anda kongsikannya untuk saya dan juga pembaca-pembaca yang lain. Bahaya sungguh binatang bernama tikus ini, pembawa pelbagai penyakit. Moga-moga perkongsian anda membawa kebaikan kepada kita semua. Kongsilah!

Saya terfikir elok juga bela ular, tapi saya sendiri penakut dengan ular. Idea ditolak.

Hari minggu yang lalu, 2hb November 2008, saya sekeluarga serta Pakdi dan 'awek cun'nya telah berama-ramai menyertai Terry Fox Run 2008. Siapa Terry Fox? Anda boleh baca di sini.

Larian ini adalah salah satu usaha untuk mengumpulkan dana untuk kajian perubatan barah yang kini dikenalpasti sebagai salah satu daripada pembunuh utama di Malaysia malahan di dunia. Ini adalah kali ke-3 Terry Fox Run dianjurkan di Taman Tasik Perdana.

Gambar 1 - Garisan permulaan dan akhir Terry Fox Run 2008.


Hanya saya dan Pakdi yang berlari (sila baca berjalan). Yang lain-lain? Bermain-main di padang permainan. Saya pula buat kali pertama mengambil gambar peristiwa dengan kamera saya. Kelam kabut juga, bukan senang dan juga mungkin saya tidak bersedia sepenuhnya. Apapun, ini adalah satu pengalaman yang menarik untuk saya sendiri.

Ini adalah kali pertama saya menyertai larian ini.
Ketika hampir kesemua adik-beradik saya menyertai larian ini tahun lalu, saya masih di Labuan, sekadar menikmati gambar-gambar yang ada. Insya-Allah, saya akan cuba sertai larian ini pada tahun-tahun akan datang sebagai satu bentuk sokongan kepada usaha untuk melawan penyakit kanser. Kalaulah orang lain boleh buat larian tahunan untuk mengingati insan bernama Terry Fox, kenapa saya tidak boleh tumpang acara ini untuk mengingati ibu saya yang lebih dekat dengan saya. Apatah lagi apabila saya pulang ke rumah, baru saya teringat hari ini adalah hari perginya Almarhum Ayah saya, 17 tahun yang lalu. Al-Fatihah untuk kedua ibubapa saya.

Jika anda ingin tengok lebih gambar lagi, silalah jengah laman Flickr saya. Orang baru nak belajar mengambil gambar, harap maaf kalau kurang menarik.


“Bilakah rendangku ini akan siap?”

Inilah persoalan yang saya sendiri tidak pasti jawapannya. Bukannya banyak manapun, sekilo daging sahaja. Agaknya salah cara memasak, itu sebabnya ambil masa sedikit. Kalau sedap dan diberi pujian melambung oleh adik-beradik dan ipar duai saya, saya akan kongsikan dalam SeleraMalaya. Kalau tidak, saya senyap-senyap sahajalah.


Bercerita tentang memasak ini, saya teringatkan satu kisah yang menunjukkan betapa dangkalnya saya memasak satu ketika dahulu. Kisah ini berlaku ketika saya berusia dalam lingkungan 18 tahun.


Hari itu, seorang rakan adik saya datang bertandang di rumah. Kebetulan emak saya punya urusan dan perlu meninggalkan kami bertiga di rumah. Emak saya ketika itu agak risau untuk meninggalkan kami apatah lagi ada tetamu i.e. rakan adik saya. Namun saya meyakinkan emak saya bahawa saya akan pastikan mereka tidak mati kebuluran. Maka emak saya dengan senang hati meninggalkan kami.


Menjelang tengahari, saya pun mula memasak. Tidak silap saya, menunya ringkas sahaja. Ikan kembung goreng, sayur, telur dadar dan sambal ketuk. Sempurna saya rasakan ketika itu. Nasinya pula saya masak suku pot sahaja untuk kami bertiga. Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan 2 orang remaja berusia 13 tahun. Bayangkanlah, suku pot untuk 3 orang. Terkulat-kulat adik saya dan rakannya makan tengahari. Sepulangnya emak, ketawa besar dia mendengarnya.


Pengajarannya, sila ketahui siapakah mereka yang anda ingin hidangkan makanan. Juga, belajar mengagak sukatan makanan. Selepas saat itu, saya faham sangat-sangat jika orang tua berpesan, “Biar lebih jangan kurang.”

Hari ini rakan sekerja saya bising-bising hendakkan sampul duit raya. Kerani saya daripada pagi merengek mencari duit pecah untuk dibuat duit raya. Dalam kekalutan itu, kami menerima satu e-mail bertajuk, "Sila buka untuk dapatkan duit kecil". Pecah ketawa kami apabila melihatnya. Inilah gambar yang saya maksudkan.


Bagaimana? Saya benar-benar berharap agar lelaki ini betul-betul mencari duit kecil untuk dijadikan duit ia raya bukan sebaliknya.

Hari ini, 26 September 2008 merupakan harijadi anak saya yang kedua, Muhammad Faiq yang pertama. Pejam celik, pejam celik sedar-sedar sudah setahun usianya. Selamat Ulangtahun Yang Pertama Faiq.

Saya belikan untuknya kereta mainan untuknya namun yang sibuk bermain adalah abangnya, Fateh. Aduhai..., Kalau semuanya abah perlu beli berpasang-pasang, PETRONAS pun jatuh muflis.

Fakta pertama mengenai saya kini, saya sudah mula bertugas di Kuala Lumpur hampir 2 minggu. Hari pertama saya ke tempat kerja, saya sedar saya sudah hilang kemahiran hidup di ibukota. Tertekan menunggu tren LRT, tersalah masuk jalan dan sebagainya. Hari ini, kemahiran saya menunggang motorsikal juga teruji. Menggelabah juga hendak mencelah-celah kereta di tengah kesesakan jalanraya. Apapun, bak kata orang tua-tua, alah bias, tegal biasa.


Sudah hampir sebulan saya pulang ke ganggang. Ada beberapa perkara sudah saya rindukan mengenai bekerja di Labuan.


1.Bebas kesesakan jalanraya.


Labuan sesak? Kalau bukan kerana kemalangan, cumalah kesibukan orang hendak pergi ke kerja. Itupun kerana lampu isyarat bukannya atas sebab aliran trafik yang bersimpang siur.


KL? Saya tidak sanggup membayangkan kesesakan jalanraya yang tidak kenal masa.


2. Tiada tol.


Congakan saya daripada Kajang ke Kuala Lumpur dalam sehari saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM3.80. Kalau sebulan? Sudah RM76.


Labuan ada tol? Kalau ada mahu BN kalah di sana.


3. Boleh balik rumah untuk makan tengahari.


Sekarang bulan puasa, selamatlah saya. Lepas Ramadhan? Perlukah saya bawa bekal sahaja ke pejabat?


4. Sembahyang Jumaat dalam masjid.

Di Labuan, saya tidak perlu gusar sekiranya terlupa untuk membawa selipar ataupun sejadah. Isteri saya selalu perli-perli, siap boleh pilih hendak ke masjid berhawa dingin ataupun tidak.


Sembahyang sudah pasti di dalam masjid. KL? Lambat sikit sahaja sembahyang atas rumput atau jalanlah anda.


5. Memakai uniform putih.


7 tahun saya di Labuan, saya tidak pernah beli sehelai kemeja pun. Kalau ada kemeja barupun, itu adalah pemberian isteri saya. Di Labuan, syarikat membekalkan kemeja putih sebagai uniform. Kalau setahun sudah 2 helai, 7 tahun?


Balik KL? Hadiah yang rakan sekerja di Labuan berikan adalah sehelai kemeja dan tali leher.

Itulah harga yang perlu saya bayar untuk pulang bekerja di Kuala Lumpur. Pengalaman 7 tahun bekerja di Labuan, tidak mungkin saya lupakan sama sekali. Jika umur saya setakat 70 tahun, 10% daripada hidup saya diabdikan di bumi Labuan.


Apapun, ini adalah sebahagian daripada corat-coret yang terukir dalam kanvas pengalaman hidup saya. Memanglah kita perlu sentiasa merenung ke hadapan dan merangka strategi dan bekerja untuk mencapai impian. Namun, sekali-sekala mengenang kembali pengalaman lama, apa salahnya bukan?


Keterangan Gambar : Bandar Labuan daripada udara.


Bagaimana? Saya ada atau tidak ada gaya seorang Chef? Mana ada chef memasak dengan mengenakan baju melayu teluk belanga dan dibantu oleh seorang pembantu chef yang baru berusia 3 tahun. Jika anda ingin tahu hasil adunan saya itu, silalah klik di sini - Blog Selera Malaya yang saya selenggarakan bersama isteri saya tersayang.1

Pernah satu ketika dahulu saya bercita-cita ingin menjadi chef. Saya pun kurang pasti mengapa sedangkan ketika itu chef kurang mendapat publisiti meluas di media seperti hari ini. Mungkin kerana itu, cita-cita itu menjadi kian pudar kerana tidak tahu bagaimana untuk menjadi chef. Apapun, mungkin secara profession saya bukan seorang chef tetapi menjadi seorang chef untuk keluarga sudah memberi kepuasan.

Saya kini sedang belajar-belajar resepi-resepi sihat. Cuba klik di sini juga - Jus Campuran Saleri dan Timun.

Saya juga sedang berkira-kira bagaimana hendak menjadikan minat saya kepada sesuatu yang dapat menghasilkan pendapatan tambahan untuk keluarga saya. Jika kena kira-kiranya, hari raya akan datang akan menjadi pemulanya.

Tunggu....

Minggu lepas saya makan ketam, masak cili. Ketamnya kecil-kecil sahaja tapi bolehlah daripada tidak ada. Untuk anak, saya buatkan salad ketam. Saya kukus ketam dan udang dan saya perahkan sedikit jus lemon dan bubuh perasa secukupnya. Alhamdulillah, berselera kami makan.

Semalam, tiba-tiba saya rasa sakit di sendi jari manis tangan kanan saya. Sakitnya tidak boleh digambarkan, denyutannya amat terasa. Sukar hendak dibengkokkan juga. Saya terfikir, saya kena goutkah? Ini kali kedua. Kali pertama di kaki, saya berhenti makan udang, sotong, ketam selama 2 ke 3 bulan. Alhamdulillah, hilang.

Saya belum berjumpa doktor. Saya agak takut berjumpa doktor kerana takut tahu hakikat sebenar. Apapun, saya tahu tidak patut kena gout pada usia sekarang. Kadar kesihatan saya berada di tahap terendah sekarang. Hendak buat bagaimana lagi? Kalau saya menyorok belakang tong, orang lain masih boleh nampak saya. Sedih betul.

Malam semalam juga saya google petua ubati gout. Saya jumpa 3 petua yang agak popular disebutkan.

1. Lalukan bahagian yang sakit itu dengan betik muda yang sudah dilayukan di atas api. Betik muda itu jangan sesekali dipotong dan dimakan kemudiannya. Betik dikatakan pantang besar kepada gout.

2. Makan nenas sebanyak-banyaknya. Mungkin untuk tujuk detoks. Toksin kurang, asid urik pun keluar bersamanya.

3. Makan ubi kayu mentah. Ini petua orang asli.

Selain itu dicadangkan amalan berbekam untuk mengeluarkan darah kotor.

Bagi saya, amalan nombor 1 dan 2 itu akan saya lakukan dahulu. Saya pun sudah mengeluarkan arahan kepada isteri saya. Jangan bagi saya makan bukan-bukan. Zalimnya saya pada diri sendiri.

Apapun, saya tahu. Punca utama adalah amalan kesihatan yang tidak sihat menyebabkan semua ini. Saya tahu saya perlu kurangkan berat badan ke aras BMI yang sihat. Saya tahu saya perlu kerap bersenam. Cuma semangat tidak kuat, mula-mula berdiet semangatlah. Bila balik kampung orang tua cakap. "Makanlah, kau balik sekali-sekala sahaja."

Ayat-ayat seperti itulah yang meleburkan segala-galanya. Banyak lagi ayat pelemah semangat seperti. "Kau kurus pun bukannya isteri kau bagi kau tambah cawangan."

Mungkin saya perlukan cabaran? Isteri saya? Dia tidak mahu masakkan untuk saya, saya sendiri yang masak. Masalah sungguh.

Yang saya tahu, petang ini saya perlu turun ke pasar untuk membeli lobak merah. Mungkin saya perlu mulakannya dengan sesuatu yang saya percaya terbukti berkesan.

Saya perlukan cabaran cuma apakah cabaran yang saya perlukan? Saya perlukan nasihat atau cadangan anda.

Boleh juga e-mel ke abahfateh[at]gmail.com

Dua hari ini saya menjalankan program latihan untuk kakitangan syarikat saya. “One manshow”. Penat sangat rasanya. Semalam lebih bertenaga cuma hari ini, tona penyampaian saya menjadi lebih perlahan. Pengajarannya, untuk menjalankan program latihan harus berpasangan untuk kekalkan momentum penyampaian yang berkesan. Masalahnya, saya adalah satu-satunya orang yang sudah dilatih untuk program tersebut. Yang lain masih menunggu program 'TOT' (train the trainer) mereka.


Saya bukannya ingin bercerita ragam peserta latihan saya. Saya ingin bercerita satu benda yang sentiasa saya usung ke sana sini semenjak dua-tiga bulan yang lalu. Benda itu adalah bantal kecil berbentuk kereta milik anak saya, Faiq.

Memang menjadi masalah saya sejak dahulu lagi, saya mudah menggigil di hadapan orang pada awal penyampaian saya. Ketar habis kepala lutut. Dahulu ketika saya aktif berbahas di sekolah dan universiti, 1 minit pertama adalah kritikal kerana saya perlu susun dan sampaikan hujah dengan baik dan juga mengawal kegigilan saya itu, terutamanya di kepala lutut. Bila sudah panas badan, hilang gigil, sudah tidak menjadi masalah lagi.

Kini saya menggunakan bantal kereta itu untuk mengurangkan rasa gementar saya. Malah saya gunakan juga ia sebagai alat bantu mengajar saya. Alhamdulillah berkesan. Siapa sangka, benda sekecil ini boleh menyerap segala rasa gementar saya itu.

Dahulu saya ditegur, kerap berbuat bising dengan membuka dan menutup kembali pen marker ataupun pen kerana gementar. Kini, berdiri sebentar, ramas sekuat hati bantal itu dan saya percaya saya tampak berkeyakinan dalam menyampaikan apa jua ucapan saya. Sementara itu ramai pula yang menegur betapa comelnya bantal itu dan di mana saya dapatkannya.

Maaflah Faiq, Abah ambil buat harta abah pula.

Oh ya, hari ini ulangtahun Muhammad Fateh yang ke-3. Selamat Ulangtahun Fateh. Semoga Fateh menjadi anak yang baik dan soleh. Salam sayang!

Happy 3rd Anniversary Fateh.

Saya tidak pernah merasai kasih sayang seorang insan yang bergelar datuk. Kedua-dua datuk saya meninggal dunia sebelum saya dilahirkan lagi. Ketika saya kecil dahulu, kadang-kadang terbit rasa cemburu juga mendengar cerita-cerita kawan-kawan saya dengan datuk mereka. Oleh itu, apabila berkahwin saya menumpang kasih dengan datuk mertua i.e. datuk isteri saya (adakah istilah datuk mertua ini?).

Saya ingin berkongsi satu pengalaman menarik kepada anda semua ketika saya mula-mula bertemu dengan keluarga bakal isteri saya ketika itu. Semoga menjadi panduan kepada anda yang masih bujang dan tidak berpunya lagi atau masih belum berjumpa dengan keluarga bakal isteri anda. Kisah ini berlaku pada Hari Raya Aildifitri tahun 2003.

Pagi itu saya bangun awal, maklumlah hendak berjalan jauh ke Johor dan tiada perancangan ingin bermalam di sana. Kiranya balik harilah. Bersama seorangn kawan, berkeretalah kami ke Batu Pahat. Walaupun sepanjang perjalananan itu kami ngobrol-ngobrol namun dalam minda saya ligat memikirkan jawapan-jawapan kepada soalan-soalan lazim yang bakal dikemukan. Contohnya, latar belakang keluarga, latarbelakang pekerjaan dan juga perancangan masa hadapan. Akhirnya, menjelang tengahari saya tiba di Parit Raja, Batu Pahat. Saya semakin menggelabah, mujur ada kawan menenangkan saya.

Rumah pertama yang kami pergi adalah rumah datuk bakal isteri saya. Kebetulan bakal isteri saya berada di rumah datuknya. Tiba sahaja di sana saya tengok-tengok ada banyak juga kereta. ”Ya Allah, satu kampungkah yang datang?” Hati saya berbisik. Saya semakin tidak keruan. Namun kawalan ’macho’ itu tetap diteruskan.

Saya dijemput naik maka kami pun naiklah dan terus duduk di ruang tamu. Semua orang ada di bahagian bawah rumah. Sesekali terdengar bunyi ketawa mengusik-usik bakal isteri saya itu. Kawan saya sudah tersenyum-senyum lalu berkata dalam loghat utara . ”Kawan, bertenang. Buat biasa sahaja.”

Tiba-tiba kedengaran bunyi papan dipijak. Kelihatan seorang tua berbadan kecil, dibelakangnya adalah bakal isteri saya. Lalu diperkenalkanlah orang tua itu kepada saya. Oh, rupa-rupanya inilah bakal datuk mertua saya. Selepas bersalaman dan bertanya khabar kami pun duduk bersama. Dalam fikiran saya lebih menjurus kepada apakah soalan-soalan cepu emas yang bakal dikemukan.

Kemudian diapun bertanya kepada saya dengan muka yang serius dan pekat telor jawanya. ”Rumah kau di Kajang itu tanah apa?”

Saya betul-betul tidak tahu apa mahu dijawab. Tidak ada dalam ’spot question’ Tanah lotkah? Tanah gambutkah? Habis semua jenis tanah saya sebut, apa yang teringat ketika belajar sains dan geografi dahulu. Habis semua jawapan-jawapan yang saya fikirkan sebelumnya.

Pengajarannya adalah kenal pasti latarbelakang semua bakal-bakal mertua anda. Petanikah mereka atau apa sahaja. Datuk mertua saya itu seorang petani maka ditanyalah tanah apa, apa jenis tanaman yang ditanam di kampung saya di Kajang dan sebagainya yang berkaitan dengan pertanian. Pengajaran keduanya, jadilah diri anda sendiri. Sehingga kini ia masih menjadi kenangan yang segar dan antara perkara yang diceritakan semula antara saya dan isteri saya. Kami akan tertawa semula mengenangkannya.

Namun kini datuk mertua saya itu sudah pulang menghadap Ilahi. Almarhum Datuk Amin telah meninggalkan dunia yang fana ini pada 15 Julai 2008. Al-Fatihah.

Walaupun saya tidak sempat mengenalinya secara sangat rapat, kisah di atas adalah antara kenangan manis antara saya dan Almarhum. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin Ya Rabbal ’Alamin.

Rumah Untuk Disewa

Posted by Abahfateh | 6:33 PM | | 10 comments »

Gambar : Fateh sedang merenung cabaran yang
bakal dilaluinya di Kuala Lumpur kelak.

Rumah ini akan dikosongkan oleh penyewanya mulai 1 September 2008. Ini rumah kampung dua pintu, 3 bilik tidur dan 1 bilik air. Siapa penyewanya? Sayalah, Abahfateh.

Alhamdulillah, selepas 7 tahun menabur bakti di bumi Labuan akhirnya permohonan saya untuk bertukar diluluskan oleh pengurusan saya. Terima kasih Tuan CEO, saya tidak mahu cakap banyak-banyak lagi.

Sekiranya anda bakal ditugaskan ke Labuan sekitar bulan September dan mencari rumah sewa, mungkin ini salah satu pilihan anda. Jika anda ada kenalan yang bakal ditugaskan ke Labuan, bolehlah sarankan mereka mencari tuan rumah saya. (ini adalah iklan tidak berbayar kerana saya tidak akan dapat sedikit komisen pun)

Jadi, saya akan lebih sibuk sekarang dengan perpindahan ini disamping tugas-tugas harian saya yang perlu saya selesaikan segera agar nota serah tugas saya menjadi senipis yang boleh. Kalau blog ini tidak dikemaskinikan seperti selalu saya minta maaf banyak-banyak terlebih dahulu.

Insya-Allah, saya akan memulakan tugas saya di Kuala Lumpur pada 2 September 2008.

“Jika KJ dan konco-konco masuk dan menguruskan PETRONAS, ramai agaknya yang letak jawatan?” Abahfateh cuba memprovok seorang rakannya. Rakannya diam sahaja. Menidakkan tidak, mengiakan pun tidak.

“Tan Sri Hassan adalah yang terbaik setakat ini. Jika dia hendak diturunkan sekali pun, biarlah digantikan dengan orang PETRONAS juga. Orang luar terutamanya orang politik tidak faham apa yang kita lalui.” balasnya perlahan.

”Tapi kalau ramai yang letak jawatan pun, saya tidak akan berasa hairan.” sambungnya lagi.

Dialog di atas adalah benar dan ini adalah sentimen kebanyakan kakitangan di dalam PETRONAS. (jika sentimen di Labuan pun begini, saya rasa mungkin lebih kuat lagi Bintulu, Miri, Kertih mahupun Kuala Lumpur) Provokasi ini saya lakukan selepas saya menerima e-mel mengenai teori di sebalik segala serangan ke atas PETRONAS.

Ketika harga minyak naik, kami juga marah dan mengeluh. Marah dengan kenaikan secara tiba-tiba, tidak sejajar dengan janji kerajaan terutamanya janji-janji sebelum pilihanraya.

Kemudian, PETRONAS menjadi mangsa di atas kejayaannya sendiri. Kami marah sekali lagi kerana orang ramai menujukan kemarahan mereka kepada PETRONAS. Sejak 1974, PETRONAS telah menyumbangkan lebih RM300 bilion kepada rakyat Malaysia melalui Kerajaan yang diterajui oleh BN (baca Be End). Tanyalah mereka bagaimana mereka membelanjakannya. Usah cakaplah dengan tuduhan dan prasangka yang lain.

Kini, tiba-tiba kedengaran pula teori bahawa semua perhatian dan sensasi terhadap PETRONAS ini disengajakan untuk mengeluarkan Hassan Marican, Presiden PETRONAS daripada posisinya sekarang. Tambah menyakitkan hati, dikatakan orang di belakang tabir untuk semua ini adalah menantu kesayangan PM Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi iaitu KJ (anda boleh namakan apa sahaja di sebalik akronim itu).

Sukar untuk saya membuat apa-apa rumusan atau ulasan. (untuk entri ini sahaja, entah berapa kali saya padam dan tulis semula).

Sepanjang beroperasinya PETRONAS, ia tidak pernah ditadbir, diurus dan dipimpin oleh orang politik atau yang mempunyai kepentingan politik. (kecuali Tengku Razaleigh Hamzah pada awal penubuhannya). Majoriti bekas-bekas Presiden dan Pengerusi adalah merupakan penjawat awam yang pastinya mempunyai rasa tanggungjawab dan semangat patriotik yang tinggi. Ini merupakan salah satu faktor yang penting dalam menjamin keterlangsungan PETRONAS dalam industri gas dan minyak. Hanya Hassan Marican sahaja bukan penjawat awam namun beliau adalah seorang yang berkelayakan dengan latarbelakang kewangan dan pengalaman korporat beliau.

Jika Hassan Marican hendak bersara sekalipun, biarlah penggantinya adalah orang PETRONAS, yang bermula daripada bawah, yang menghargai jerit perih PETRONAS. Bukannya orang yang melayang entah dari mana, tidak tahu mengenai industri gas dan minyak. Paling penting, melihat wang ada yang ada sebagai satu amanah negara bukannya untuk mengisi kantung sendiri dan konco-konconya.

Jika akaun PETRONAS perlu telus dan dibentangkan di Parlimen, maka akaun-akaun GLC yang lain juga perlu dibentangkan sama terutamanya TNB. Mengapa Khazanah Nasional tidak dipersoalkan? Mengapa apabila TNB mengumumkan kenaikan taarif elektrik bermula 1 Julai ini orang ramai tidak mempersoalkan mengapa sedangkan subsidi harga gas PETRONAS yang berikan? Mereka pun mencatat keuntungan yang tinggi dan lebih baik daripada tahun sebelumnya. Belum disebut lagi taarif elektrik daripada IPP dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya. (dengar khabar Che’ Khalib Nordin hanya pertimbangkan kenaikan gaji 3.5% sahaja kepada kakitangannya dan banyak kemudahan akan ditarik walaupun gaji beliau sendiri naik 100%)

Maaf, saya dilanda emosi. Kepada orang GLC yang lain, saya faham dan tahu apa yang anda rasa. Yang buat onar adalah orang politik, kita cuma makan gaji sahaja.

Pada saat ini, saya teringatkan perbualan peribadi saya dengan isteri Hassan Marican, Noraini Yusoff ketika saya berpeluang menikmati jamuan teh bersama-sama dengannya dua tiga tahun yang lalu.

”Tan Sri tidak ingin bersarakah? Rasanya dia sudah lepas umur persaraan.” tanya seorang rakan Abahfateh.

”Ada juga katanya mahu bersara. Tapi PM tidak mahu terima, suruh dia teruskan dahulu sampai satu masa. Entahlah sampai bila. Apabila diarahkan begitu, dia teruskanlah sahaja.”

”Kalau Tan Sri tidak ada, tempanglah PETRONAS seketika. Bukan senang nak cari penggantinya.” balas seorang lagi rakan Abahfateh. Isteri Presiden PETRONAS itu hanya tersenyum memandang kami.

Saya rasa kini, Hassan Marican tidak mahu turun dan akan mempertahankan jawatannya selagi ada insan seperti yang bernama KJ itu bernafsu tinggi untuk mengambil alih syarikat yang diamanahkan untuk menguruskan khazanah nasional ini untuk anak bangsa masa hadapan. Bernafsu untuk memenuhkan kantungnya, tidak pernah fikir tentang nasib bangsa dan agama di masa hadapan

Jangan tanya Abdullah Ahmad Badawi, orang yang berak di tengah jalan tidak akan mengaku itu tahinya walaupun ramai yang nampak dia melakukannya.


Nota:

1. Ini adalah pandangan peribadi Abahfateh semata-mata.

Baca Juga,
1. Ulterior Motive To Bash Petronas?
2. Zeti is Out. Now Hassan Marican?

Selamat Hari Bapa

Posted by Abahfateh | 11:21 AM | , | 1 comments »

Anekdot Hari Bapa.

“Fateh, mari sini sebentar.” Ibufaiq memanggil Fateh yang sedang leka menatap buku bergambarnya. Abahfateh yang sedang asyik membaca terhenti bacaannya. Fateh segera pergi. Kelihatan Ibufaiq sedang berbisik sesuatu kepada Fateh, tersenyum-senyum mereka berdua. Kemudian datang Fateh kepada Abahfateh.

“Abah, selamat hari jadi,” ucap Fateh sambil tersengih-sengih kemudian terus berlari ke Ibufaiq dan memeluk ibunya. Meledak ketawa Ibufaiq mendengar.

“Hari jadi Abah lambat lagilah. Hujung tahun ini.” balas Abahfateh sambil tumpang ketawa Ibufaiq.

"Salahlah. Mari sini Ibu ajarkan.” Ibufaiq sekali lagi berbisik kepada Fateh. Fateh datang semula kepada Abahfateh. Tersengih-sengih Fateh melihatkan ayahnya sedang menunggu apa yang bakal diucapkan.

”Abah, selamat hari raya.” bersahaja Fateh mengucapkannya. Terus dia berlari ke ibunya. Terhambur ketawa Abahfateh dan Ibufaiq.

”Amboi, puasa pun belum lagi sudah ucap selamat hari raya.” usik Abahfateh dalam ketawanya.

”Habis itu, apa dia?” rengek Fateh kepada ibunya. Sekali lagi Ibufaiq berbisik. Fateh sekali lagi datang kepada Abahfateh.

”Abah, selamat hari abah”. Ucap Fateh lebih yakin.

”Baru betul begitu.” sambut Ibufaiq mendengar Fateh mengucapkannya dengan betul.

”Terima kasih. Sayang anak abah.” balas Abahfateh sambil memberikan kucupan kepada Fateh.

Catatan Hari Bapa

Masih belum terlambat saya mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa dan bakal-bakal bapa yang berada di luar sana. Semoga anda semua dapat menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kita semua agar mereka akan menjadi insan yang baik dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sekadar pandangan daripada isteri saya. Adakah kita terhad meluahkan rasa sayang dan penghargaan kita kepada insan tersayang pada hari-hari tertentu?

Al-Fatihah kepada ayah saya, ibu saya dan ibubapa kita sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah menemui Yang Esa.

”Ibu sangka waktu ibu kecil sahajalah yang paling susah di kampung dahulu, rupanya-rupanya waktu Fateh lagi mencabar, lagi susah untuk dihadapi.”

Malam semalam saya adalah di antara ribuan pengguna yang mengambil kesempatan terakhir untuk memenuhkan tangki minyak kereta masing-masing dengan harga RM1.92/liter. Ketika beratur, terngiang-ngiang di telinga saya nasihat kakikatangan saya untuk mengisi lebih awal kerana khabar angin mengatakan ia akan berkuat-kuasa serta merta bukan pada Ogos seperti jangkaan awal saya.

Sememangnya topik hari itu adalah berkenaan harga minyak yang bakal naik dan kesannya. Ketika waktu makan tengahari, kami di kafetaria berpakat membuka RTM1 untuk mengikuti Warta 1 tengahari. Namun tiada berita yang keluar.

Saya simpulkan kepada rakan-rakan yang lain. ”Kabinet belum habis mesyuarat lagi. Kita dengar berita di radio sahajalah nanti.”

Petang itu saya pulang awal selepas isteri memberitahu beliau syak anak kami, Fateh kena demam campak. Sedang bersiap untuk ke klinik, saya terima SMS daripada rakan berbunyi. ”Isi minyak penuh-penuh malam ini. Harga minyak naik malam ini. Maklumat daripada PETRONAS Dagangan Berhad.”

Saya beritahu isteri. ”Kita pergi lepas solat maghriblah. Hendak isi minyak.” Isteri saya setuju apatah lagi anak kecil kami, Faiq sudah tertidur di atas tilamnya.

Sedang saya tukar baju, tiba-tiba rakan yang lain datang dengan suaminya. Saya sambut mereka dan kami berbual-bual lagi. Masih tentang harga minyak di samping perkara yang menjadi hajat mereka. Kemudian mereka pulang.

Sejurus selepas itu, saya terima panggilan daripada orang saham. Di hujung gagang telefon kedengaran beliau macam marah-marah, kesal, geram dan sebagainya. Agaknya beliau minta saya sampaikan rasa kesalnya kepada Tan Sri Presiden PETRONAS. Kami berdua memang akur dengan kenaikan harga cuma tidak dapat menerima kadar kenaikannya dan masa ia dinaikkan. Antara kata-kata saya, ”Kalau dulu Pak Lah boleh tipu tarikh bubarkan Parlimen, inikan pula tarikh harga minyak naik. Lepas ini entah apalah lagi.”

Selepas itu, SMS tiba tanpa henti buat seketika.

Selepas solat maghrib, kami singgah ke stesen minyak yang baru dibuka 2 hari lalu. Alhamdulillah, selang 1 kereta sahaja sebelum giliran saya. Tiba giliran saya, saya terpaksa tunggu hampir 5 minit sebelum terima isyarat ’boleh isi’ daripada isteri saya yang membuat pembayaran. Sebaik isteri saya masuk ke dalam kereta, beliau beritahu saya, ”Budak-budak di kaunter itu berpeluh dalam kedinginan. Panik mungkin. Tuan punya stesen pula macam tidak tahu hendak buat apa.”

Tergelak saya mendengarnya sambil mencongak sedih berapa perlu saya bayar untuk tangki penuh mulai 5 Jun 2008.

Pada 4 Jun 2008; tangki penuh = RM73.50

Jika 5 Jun 2008; tangki penuh = RM73.50 X 142%
= RM104.37

Saya kongsi angka tersebut dengan isteri dan beliau macam terdiam tidak terkata apa. Mungkin membuat congakannya sendiri.

Kemudian, kami terus ke klinik. Fateh sudah mamai, suhu badannya makin tinggi. Dalam perjalanan, kami lihat kereta sudah beratur panjang, setiap stesen minyak, kereta beratur dalam 1km hingga 1.5km. Di Labuan, ada 6 stesen minyak sahaja, 3 PETRONAS, 2 Shell dan 1 Esso. Kami suami isteri bersyukur banyak-banyak kerana kami hanya perlu tunggu tidak sampai setengah jam berbanding yang lain.

Tiba di klinik, kami terus berjumpa doktor. Sekali periksa, doktor sahkan Fateh demam campak. Yang menariknya, kami berbincang tentang kenaikan harga minyak lebih berbanding sakit anak saya. Doktor tersebut bimbangkan beberapa perkara, kenaikan harga barang keperluan, kenaikan harga perkara asas yang lain (beliau kongsi bahawa TNB akan naikkan taarif) dan juga berapa ringgit beliau harus penuhkan kereta 4X4 Harriernya.

Antara perkataannya yang menyentuh hati saya ialah, ”Saya sebenarnya rasa sedih sangat, sedih sangat apabila harga minyak ini naik sebanyak ini.”

Selepas itu kami ke pasaraya membeli beberapa barang keperluan. Setiba di pasaraya isteri saya berbisik. ”Tak ramai orang, biasanya ramai betul sampai hendak berjalan pun susah.”

Saya sambut. ”Semua orang sibuk isi minyak.”

Dalam perjalanan pulang ke rumah, isteri saya sarankan agar kami kira jarak kereta yang berbaris panjang. Berpandukan meter jarak kereta, kami kira setiap seratus meter. 900 meter jaraknya daripada kereta terakhir hingga ke simpang masuk stesen minyak!

Sesampainya di rumah, kami suami isteri masih berbincang tentang kesan kenaikan harga minyak ke atas keluarga kami. Saya seolah-olah hilang ’mood’ malam itu apabila lebih banyak berdiam diri daripada berbicara. Tanpa sedar saya berbicara. ”Jika kita yang punya pendapatan sebaik ini pun terasa, bagaimana agaknya mereka yang lebih rendah daripada kita?”

Isteri saya hanya mendengarnya sahaja. Anggukannya sahaja yang saya lihat. Mungkin terkesan dengan bicara saya, beliau berpaling kepada Fateh yang sedang asyik menonton televisyen lalu berkata, ”Ibu sangka waktu ibu kecil sahajalah yang paling susah di kampung dahulu, rupanya-rupanya waktu Fateh lagi mencabar, lagi susah untuk dihadapi.”

Benarlah kata isteri saya, dahulu hidup susah sekurang-kurangnya ada sumber makanan di sekeliling rumah. Kini, pucuk ubi dan ubi kayu pun kena dibeli.

Aksi Fasilitator Melampau

Posted by Abahfateh | 11:45 AM | | 2 comments »

Banyak kerja yang perlu saya selesaikan dan segerakan selepas bercuti panjang bulan lalu. Salah satu daripadanya menelilti kembali hasil bengkel yang separuh jalan saya kendalikan pada 7 Mei yang lalu. Satu keputusan yang sukar untuk saya memanggil semula para fasilitator untuk berbincang semula perkara yang telah dibincangkan oleh peserta bengkel. Ia adalah satu kerja semula (rework) yang pasti mengambil masa yang panjang.

Bukan proses memudahcara (facilitation) yang ingin saya ceritakan di sini. Namun aksi saya ketika mengendalikan proses 'brainstorming' yang membuatkan saya tersenyum. Inilah kesannya kalau semangat tiba-tiba naik. Mujur meja saya tidak panjat sekali. Dalam organisasi saya, mungkin sayalah satu-satunya fasilitator yang sanggup naik kerusi untuk mewujudkan kesan yang hebat.

Semangat kena tinggi, baru dapat kesan menakjubkan!




Abahfateh dan Fadzli Yusof. Bersama-sama En. Marzuki Daud,
Pengurus Besar, Loji ; bersemangat dengan buku yang
diautograf oleh penulisnya.


Semalam saya bertemu semula dengan sahabat lama saya, Ahmad Fadzli Yusof. Kini beliau merupakan seorang penceramah motivasi, penulis buku, pengacara rancangan televisyen dan sering dijemput untuk menjadi tetamu untuk beberapa rancangan televisyen. Memang sukar saya hendak meyakinkan ketua saya dan rakan sekerja yang lain apabila saya mengambil keputusan untuk menjemput beliau. Ahmad Fadzli Yusof mungkin dikenali di Semenanjung Malaysia tetapi di Labuan, mungkin lebih banyak penampilan perlu dilakukan. Apapun saya bersyukur kerana beliau telah menyampaikan ceramah motivasi beliau dengan baik sekali. Maklumbalas yang diterima amat positif. Alhamdulillah.

Namun semalam, kami lebih banyak ngobrol-ngobrol tentang kenangan kami di sekolah dahulu. Masing-masing mengemaskini data terkini kawan-kawan kami dahulu. Sesekali mengimbas beberapa peristiwa yang kami kongsi bersama. Segala kenangan, pengalaman dan perasaan yang kami lalui dahulu itulah yang telah membentuk siapa kami hari ini. Tiba-tiba hati saya dihambat rindu dengan khabar rakan-rakan saya dahulu. Apatah lagi hari ini saya menerima e-mel daripada rakan sekolej dan sepengajian saya di UUM dahulu. Walaupun isi utama e-melnya adalah ucapan takziah di atas pemergian ibu namun saya saya berasa sungguh seronok sekali apabila namanya muncul di dalam kotak e-mel saya.

Saya sangat berharap dapat berhubung semula dengan rakan-rakan saya dahulu, baik di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di universiti dahulu. Hantarlah e-mel kepada saya di sunardim[at]yahoo.com, saya menunggu khabar berita daripada anda semua. Semoga persahabatan yang pernah terjalin, bertaut kembali.

Jika ada yang ingin menghulurkan salam perkenalan, saya sangat mengalu-alukannya.

Baca juga:
1. Tiru Penulis Ini : Ahmad Fadzli Yusof


Sudah lama saya tidak mengemaskini blog saya. Strategi awal saya sebenarnya apabila blog saya menginjak umur 1 bulan saya ingin berhenti seketika untuk penilaian semula dan menuntut ilmu lebih banyak lagi. Namun, banyak perkara yang berlaku kepada
keluarga saya menyebabkan semua aktiviti yang dirancang terpaksa dibatalkan ataupun ditunda pada saat-saat akhir.

Antaranya, anak kedua saya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru. Kesannya, hajat saya untuk melawat ibu saya yang sakit dan berkumpul bersama keluarga terpaksa dibatalkan. Melayang juga sejumlah wang saya ke AirAsia akibat pembatalan penerbangan saya.

Apapun, saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian ini semua. Aturan Allah itu kadang-kadang tidak tercapai oleh logik akal kita semua. Sangat misteri aturanNya.

Newer Posts Older Posts Home