Saturday, January 16, 2010

Menggapai Awan Nan Tinggi



Ramai yang menyangka, menaikkan layang-layang lalu terbang tinggi di awan semudah mengukir mimpi di malam hari.

Rupa-rupanya tanpa ilmu, tunjuk ajar dan layang-layang yang baik, bukannya langit yang dicabar, bukannya angin yang ditentang tetapi turun laju menyembah tanah.

Begitulah aku, aku ingin segala layang-layang mimpiku menjadi nyata dengan petunjuk yang benar, dari Allah dan dari mereka yang berilmu.

Wednesday, January 13, 2010

Fotografi Makanan - Kek Keju New York

Salah satu status yang saya paparkan di dalam Facebook saya adalah mengenai menikmati sepotong kek kaju blueberry dan secangkir kopi pahit cap 434 yang terkenal itu. Oleh kerana saya gagal mendapatkan jem blueberry maka isteri kesayangan telah menukarnya kepada kek keju new york. Tetapi bukanlah saya ingin bercerita mengenai cara-cara membuatnya, itu saya serahkan kepada isteri saya untuk berkongsi di laman blognya, saya ingin berkongsi bagaimana kami berkongsi saat menyeronokkan melalui minat masing-masing. Apabila kek siap, adakah sampai di situ sahaja iaitu saya merasanya dan memberi ulasan?


Kali ini saya cuba untuk mengambil gambar makanan (food photography) dan ini merupakan kali pertama saya melakukkannya.
Berbekalkan kamera dan mobile softbox yang saya beli di MyFotozone saya mula menembak dengan fasiliti yang terhad. Kek diletak di atas kerusi kecil yang dialas dengan pelapik meja. Prop tambahan adalah secawan kopi dan
bunga kertas yang dipetik di halaman rumah saya. Hasilnya seperti di atas.

Apa yang lebih menyeronokkan adalah kami sekeluarga bersama-sama menikmati petang tersebut. Anak-anak sibuk bertanya bila agaknya saya selesai mengambil gambar kerana ingin makan bersama-sama manakala isteri tidak jemu melayan kerenah anak-anak. Agaknya inilah seronoknya ambil gambar makanan, lepas bergambar boleh terus makan.


Kek keju
new york isteri saya? Selepas dua percubaan, kali ini saya berikan dua 'thumbs up' kepadanya. Errrr, nak order tak?

Monday, January 4, 2010

Muhammad Fateh bersekolah

Muhammad Fateh, hari pertama ke tadika dengan botol susunya yang masih belum mampu dilepaskannya lagi.

Hari ini, 4 Januari 2010 anak sulung saya Muhammad Fateh memulakan sesi tadika pada usianya 5 tahun. Beliau saya hantar ke Tadika Seri Atun, Prima Saujana, Kajang yang mengambil modul Little Caliph atas pilihannya sendiri selepas hampir 2 bulan membawanya ke sana-sini melihat sendiri 'sekolah'nya.

Tadika yang bermediumkan Bahasa Melayu dan Inggeris ini dan berteraskan Islam ini saya harapkan dapat menjadi permulaan ke arah pembentukannya menjadi seorang muslim yang cemerlang dunia dan ukhrawi. Apa yang saya dan isteri memilih juga tadika ini adalah kerana pengajarannya adalah berdasarkan perkembangan dan kemajuan anak itu sendiri dan ia melibatkan ibubapa. Ini bermakna, soal mendidik dan mengajar anak-anak itu dipikul oleh ibubapa dan guru sendiri, satu konsep yang saya ingin lihat terjelma pada sistem pendidikan kita secara keseluruhannya. Di samping itu pastinya suasana pendidikan Islam saya kira akan dapat memberikan asas agama yang baik di sini.

Pagi ini, saya menghantarnya ke tadikanya tetapi prosesnya bermula dari malam sebelumnya dengan menyuruhnya tidur awal, proses membangunkannya dan seterusnya melayan segala kerenahnya (bayangkan beliau meminta saya mendukungnya ke bilik air yang hanya 2-3 langkah sahaja dari katilnya). Apapun itulah kenangan yang akan dikenang sampai ke mati.

Tanpa sedar, air mata ini menitis ketika kelibatnya menghilang daripada pandangan mata kerana anak yang dahulunya cuma sepanjang lengan saya kini sudah melangkah ke satu dunia baru. Selamat berjaya anakku, Muhammad Fateh. Semoga engkau menjadi anak yang beriman dan menjadi contoh kepada umat seperti Sultan Muhammad Al-Fateh yang Abah namakan bersempenanya dengannya.


Mengabdikan kenangan bersama ibu dan adik tersayang.

Friday, December 4, 2009

Nasib Jawi

Hari ini hari pertama jemaah haji Malaysia pulang ke tanahair. Tahniah saya ucapkan kerana berjaya menjawab panggilan Allah Taala ke bumi Mekah untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima ini. Moga-moga tahun mendatang ini giliran saya pula, Insya-Allah.

Selepas hari raya tempoh hari, saya lihat banyak gambar-gambar korban diambil dan dipaparkan di kebanyakan blog-blog. Saya juga kepingin menangkap gambar ibadah korban namun tidak kesampaian, salah perhitungan. Pulang ke Batu Pahat selepas solat Jumaat dan kebanyakan surau di sekeliling rumah saya menjalankan ibadah korban pada hari Sabtu maka saya sangkakan di kampung isteri saya begitu juga rupanya tidak maka melepaslah saya untuk merakamkan detik-detik ibadah korban itu dijalankan.

Apapun, saya masih sempat merakam beberapa gambar. Gambar yang saya paparkan kini saya namakan "Nasib Jawi" mengenangkan tulisan jawi semakin terpinggir dalam kehidupan kita. Soalan mudah saya, bilakah kali terakhir tuan atau puan membaca atau menulis jawi?


Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.

Kini amnya tulisan jawi terhad penggunaannya di kalangan mereka yang berada di dalam institusi agama Islam seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

Gambar ini diambil di Masjid Jamek Parit Bulat, Muar, Johor.

Sunday, November 22, 2009

Berkhatan



Ngilu dan lucu. Dua perkataan ini sahajalah yang dapat saya berikan untuk menggambarkan perasaan saya ketika mengambil gambar seorang kanak-kanak yang bersunat di sebuah hospital pagi tadi.


Ngilu kerana teringatkan kenangan 21 tahun lalu ketika saya sendiri mengalami pengalaman bersunat itu. Lucu kerana sepanjang operasi sunat tersebut kami yang dewasa (doktor, pembantunya, ayah kanak-kanak tersebut dan saya sendiri) sama-sama mengimbau kenangan masing-masing di samping telatah kanak-kanak tersebut.


Namun begitu, perkara penting yang saya pelajari daripada tugasan ini adalah betapa pentingnya mewujudkan suasana yang mesra dengan semua orang yang berada di sekeliling ketika tugasan tersebut. Dengan kemesraan tersebutlah maka detik dan emosi mereka dapat dirakamkan dengan baik dan yang paling penting emosi itu lahir daripada hati yang ikhlas.


Ini sahaja gambar yang dapat saya kongsikan bersama kerana menghormati hak persendirian tuan punya gambar ini. Tidak semua gambar dapat kita kongsikan kerana mengambil kira nilai sensitivity tuan punya gambar dan masyarakat.


Monday, October 19, 2009

Merancanglah Sebelum Mengambil Gambar


Kira-kiranya saya baru sahaja aktif berfotografi ini kurang setahun selepas membeli satu set kamera D70s second hand daripada seorang kenalan, Torque ketika bulan puasa tahun lalu. Berbekalkan dengan kamera inilah saya mula belajar fotografi digital, perisian mengedit gambar dan sebagainya. Ketika itu jari-jemari ini tidak berhenti-henti menekan butang kamera di mana objek utamanya adalah anak-anak saya dan jumlahnya tidak terperi banyaknya. Namun begitu, lama-kelamaan saya mula mencari ilmu baru dalam fotografi lantaran berasa penat melihat gambar-gambar yang sama sahaja daripada segi gaya, identiti serta kelihatan mendatar sahaja.



Selepas hadir dalam beberapa sesi bengkel fotografi, sesi teh tarik dan pembacaan serta pengamatan saya di dalam internet berkenaan dengan fotografi satu perkara paling penting dalam mendapatkan gambar-gambar yang baik, unik dan bermakna maka seseorang jurugambar itu seharusnya merancang apakah gambar yang ingin diambil. Contoh-contoh persoalan seperti apakah subjek yang ingin diambil, apakah penceritaan yang ada si sebalik gambar itu, komposisi yang sesuai juga sumber pencahayaan harus dijawab sebelum mengambil sesuatu gambar. Seperti kata Shamsarin, seorang jurumgambar editorial "Apabila anda merancang sesuatu gambar maka anda akan mendapat gambar yang lebih baik daripada apa yang telah dirancang itu." Ada pelbagai tips diberikan dalam membuat perancangan ini seperti cukup membayangkan ia di minda kita hinggalah kepada melakarnya dahulu di atas kertas!



Jika dahulu saya ghairah menyebut kamera dan aksesorinya kini apabila ditanya kamera apa yang perlu dibeli untuk mendapatkan foto yang menarik saya akan membalasnya dengan "Gunalah apa sahaja kamera yang ada asalkan kamu merancangnya terlebih dahulu, bila sudah bersedia barulah fikirkan kamera DSLR apakah yang ingin dibeli."



"1976 is my born year. 1976 is also a year where Tun Hussein Onn was appointed as 3rd Malaysian Prime Minister. He is also known as 'Bapa Perpaduan' or The Father of Unity for his effort towards unity among Malaysian.

This photo was taken at New Millennium Monument in Putrajaya, Malaysia."

Gambar isteri dan anak saya ini saya ambil secara spontan tanpa sebarang perancangan awal. Namun, sebelum memetik butang saya sudah membayangkan bentuk gambar yang akan dihasilkan, Alhamdulillah, pembingkaian dan aplikasi Rule of Third menjadi.


Our parents were still kids in 1983. 1983 was a year where Malaysian 1st national car was introduced i.e. Proton. It was also a year where Bank Islam was established in introducing Islamic financial.

This photo was taken at New Millennium Monument in Putrajaya, Malaysia.

Gambar ini pula dari segi komposisi agak lemah kerana latarbelakangnya terpotong. Kerana ingin cepat kerana gambar ini diambil ketika saya meniarap dan ada dua tiga orang sedang tertunggu-tunggu untuk lalu. Apatah lagi anak kedua saya itu pun sudah tidak boleh menunggu lagi, antara cabaran mengambil gambar kanak-kanak. Apapun inilah 'pose' terbaik yang mereka berdua berikan kepada saya sepanjang petang itu.

Disclaimer (saya masih belum dapat istilah Bahasa Melayunya)
Sunardi @ Abahfateh masih baru dalam bidang fotografi. Tulisannya di sini semata-mata sebagai satu cara untuk memperkukuhkan pengetahuannya dalam bidang fotografi. Sekiranya ada 'otai-otai' yang ingin memberi input juga sebarang komen adalah dialu-alukan.












Thursday, October 8, 2009

Ke Makam Bonda

Ke Makam Bonda

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan


Senyum kemboja menghantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabdian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan

Oleh Sasterawan Negara
Usman Awang (1955)

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP