Assalamualaikum w.b.t,
Salam Sejahtera.
Bilakah kali terakhir anda bersedekah? Apakah warna wang yang anda sedekahkan itu? Biru? Hijau? Merah? Atau ungu? Anda tidak perlu menjawab soalan saya itu, simpanlah semoga niat ikhlas anda itu berkekalan dan menjadi salah satu benteng daripada sambaran api neraka.
Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud :
Bandingan (perbelanjaan – derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi setiap yang dikehendakiNya, dan Allah amat luas (rahmat) kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
Besarnya pahala bersedekah itu. Jangan ragu kerana sesungguhnya janji Allah itu benar-benar belaka. Namun sejauh mana kita membudayakan amalan bersedekah itu. Saya sedih melihat warna-warna wang yang diletakkan di atas bakul yang berjalan di hadapan kita ketika khutbah berlangsung. Kurang sangat warna hijau atau merahnya. Jika melihat kepada papan kenyataan masjid yang tercatat jumlah kutipan mingguan, ia tidak menggambarkan jumlah kedatangan jemaah yang datang bersembahyang di masjid tersebut. Memang benar, biarlah satu sen asalkan kita benar-benar ikhlas. Persoalannya sampai bila kita hendak bersedekah satu sen? Gaji kita mungkin naik setiap tahun namun jumlah sedekah kita masih di takuk lama.
Saya tidak mahu menyentuh soal hati, keikhlasan dan sebagainya. Saya ingin berkongsi apa yang saya amalkan untuk membudayakan amalan bersedekah ini. Saya berdoa agar apa yang kongsikan ini dapat diamalkan oleh anda semua.
1. Bersedekah melalui potongan gaji.
Jika majikan anda membenarkan pemotongan gaji untuk disalurkan kepada badan tertentu, lakukan ia. Saya bernasib baik kerana majikan saya membenarkannya dan mempunyai saluran tersendiri untuk menyalurkan amal jariah kakitangannya.
Jika tidak ada, kenalpasti satu badan yang anda ingin beri sumbangan dan arahkanlah bank anda membuat potongan berkala setiap bulan.
2. Gunakan sistem sampul.
Setiap kali anda menerima gaji, tetapkan jumlah yang anda ingin sedekahkan dan simpankan di dalam sampul khas. Bahagikan kepada berapa jumlah Jumaat yang ada dalam bulan itu. Berikan sedekah anda setiap kali anda pergi bersembahyang Jumaat. Mengapa tidak sekaligus? Bagi saya ia penting untuk mendidik dan membersihkan hati yang sememangnya sudah kotor ini. Mengapa kita tidak mandi seminggu sekali tetapi mandi setiap hari?
3. Belanjalah kanak-kanak.
Saya gemar membelanja kanak-kanak. Kegembiraan yang terpancar pada wajah mereka adalah kegembiraan saya. Bukan dalam bentuk wang, sebaliknya dalam bentuk makanan, permainan atau gula-gula sudah cukup. Hati kanak-kanak itu bersih, ucapan terima kasih mereka adalah satu doa kepada kita juga. Insya-Allah.
4. Sedekahkan baki wang anda.
Di kebanyakan restoran bukankah ada banyak tabung-tabung badan kebajikan? Masukkan baki anda dalam bentuk syiling ke tabung tersebut. Samada ia sampai atau tidak, itu tanggungjawab tuanpunya restoran.
5. Banyakkan senyuman.
Inilah sedekah yang paling mudah kita berikan. Senyumlah kepada semua! Pahala dapat, otot-otot di muka pun bergerak sama. Cara paling mudah untuk awet muda!
Jika anda pernah bermain Cashflow 101, salah satu petak yang ada adalah petak ’Charity’. Petak ini memberi peluang kepada anda untuk melalukan amal kebajikan dengan memberi sejumlah wang. Selepas itu, anda akan mendapat beberapa keistimewaan. Sekiranya orang bukan Islam pun dapat melihat kebaikan membuat kebajikan, mengapa tidak kita, umat Islam, yang dijanjikan Allah dengan ganjaran akhirat yang berlipat kali ganda?
5 cara tersebut bukanlah satu-satunya cara untuk membudayakan amalan sedekah ini. Ini yang saya amalkan, anda mungkin ada cara yang lebih hebat lagi. Marilah kita bersama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik di luar sana. Berkongsi rezeki Allah kerana harta yang kita ada ini bukanlah milik kita seratus peratus
0 comments:
Post a Comment