“Sedapnya ayam goreng ini!” kata Fateh sebaik sahaja mengigit paha ayam goreng yang dibelikan untuknya. “Sudah baca Bismillah?” tanya Ibufaiq kepada Fateh. Tersengih-sengih Fateh mendengar teguran ibunya. Pantas dia duduk sambil menadah tangan. Abahfateh segera membaca doa sebelum makan dan diaminkan oleh Ibufaiq dan Fateh. Faiq seperti biasa, mula menepuk-nepuk meja keseronokan.
Sesudah berdoa, mereka bersama-sama menikmati hidangan makan malam tersebut. Fateh sesekali berebut alat permainan dengan adiknya yang sudah pandai berebut juga. Sesekali mereka ditenangkan oleh Ibufaiq atau Abahfateh. Tiba-tiba pandangan Abahfateh menangkap objek seseorang di pintu kaca restoran itu. Kelihatan seorang perempuan cina tua yang mengintai-ngintai ke dalam restoran tersebut. Tanpa sedar Abahfateh tersebut. ”Kasihan orang tua itu.”
Terhenti Ibufaiq seketika daripada menyuap Faiq. ”Siapa? Apa yang kasihannya?” Tanya Ibufaiq.
”Itu, cuba tengok di sana.” kata Abahfateh sambil menunjuk ke arah pintu kaca tersebut. Orang ramai silih masuk dan keluar restoran tersebut. Ibufaiq pantas menoleh dan melihat siapakah yang dimaksudkan oleh suaminya itu.
”Awak kenalkah dengan orang tua itu?” Ibufaiq bertanya.
Abahfateh mengangguk perlahan sambil berkata. ”Kenal itu tidaklah seperti yang sepatutnya. Tetapi saya tahulah siapa dia. Dia ini kerjanya kutip kertas, tin kosong, botol-botol kosong atau apa sahaja yang boleh dijual. Sejak saya sampai sini memang kerjanya itu.”
Ibufaiq mendengarnya penuh hati-hati. ”Kasihan bukan dengan perempuan itu?”
”Sebab kasihan itulah saya bercadang hendak belikan set ayam goreng untuk dia. Boleh?”Abahfateh cuba-cuba menduga Ibufaiq.
”Apa pula tidak bolehnya. Tunggulah dulu, orang tengah ramai beratur hendak membeli makanan.” balas Ibufaiq sambil menunjuk ke arah kaunter makanan. Abahfateh hanya mengangguk. Perhatiannya kini tertumpu kepada Faiq dan Fateh. Namun, sesekali matanya tetap mencari perempuan tua cina itu. Masih lagi ada di sana, setia meninjau-ninjau ke dalam restoran makanan segera itu.
”Abah, tolong betulkan mainan ini.” pinta Fateh tiba-tiba sambil menunjukan mainan keretanya yang tercabut tayarnya.
”Macam mana boleh tercabut?” rungut Abahfateh namun segera diambilnya mainan anaknya lalu dipasangkannya tayar ke tempatnya. Usai membaikinya, Abahfateh segera mencari perempuan tua itu. Sudah tiada.
“Perempuan tua itu sudah pergi.” kata Abahfateh kepada Ibufaiq. Segera Ibufaiq berpaling.
“Hajat saya tidak kesampaian.” sambung Abahfateh lagi. Ibufaiq tersenyum lembut.
“Bukan rezekinya.” balas Ibufaiq pendek sambil memandang Abahfateh yang nampak kehampaan. Mereka meneruskan makan malam mereka. Selesai mengemaskan meja makan mereka maka Abahfateh dan keluarga bergerak keluar daripada restoran itu.
“Fateh, jangan melulu keluar! Bahaya!” tiba-tiba Abahfateh menjerit kepada Fateh yang tiba-tiba sahaja berlari keluar restoran. Kelihatan langkah Fateh terhenti tiba-tiba sambil memandang sesuatu. Abahfateh segera keluar mendapatkan Fateh.
Kelihatan perempuan tua itu sedang duduk di luar pintu restoran itu sambil mengeluarkan sebungkus makanan. Kelihatan air, ayam goreng dan sayur-sayur disusun elok, sedia hendak dimasukkan ke dalam begnya. Senyum manis terukir di wajah perempuan tua itu.
”Masih ada insan yang mulia hati mereka. Alhamdulillah.” bisik hati Abahfateh sambil memimpin Fateh dan mengetuai keluarganya pulang ke rumah.
Baca Juga
1. Sebungkus Mee Segera dan Sebutir Telur
2. Membudayakan Amalan Sedekah di Dalam Diri
2 comments:
nanti kau pergi mcD, KFC, apa-apa jelah, gitau aku kau gi kat mana. aku pun nak tengok2 kat cermin kaca restoran tu.
hehe...
Pakdi
http://my.pakdi.net
pakdi - nak dibelanja ke? cakap jelah.. jangan malu2.
Post a Comment