Menara Berkembar PETRONAS turut serta dalam kempen Masa Untuk Bumi @ Earth Hour. Jadi kepada anda yang duduk di kawasan-kawasan yang punya pandangan cantik berlatarbelakangkan menara tersebut, jangan lupa rakamkan saat detik-detik lampu dipadamkan. Tidak silap saya Menara Kuala Lumpur juga turut serta dalam kempen ini.
Apa yang anda boleh buat sepanjang tempoh tersebut? Macam-macam! Anda boleh menghabiskan masa berdua-duaan dengan insan tersayang dalam suasana yang lebih romantis seperti 'candle light dinner'. Tidur pun boleh juga. Anda juga boleh kumpulkan jiran tetangga bersama-sama dan bertukar-tukar cerita dan khabar, maklumlah sibuk bekerja maka tiada masa untuk bertanya khabar maka rebutlah peluang ini.
Saya? Belum ada apa-apa perancangan lagi. Sekadar terfikir untuk mendirikan khemah dan memasang lilin atau unggun api dengan anak-anak dan isteri saya sambil menikmati makan malam dan menikmati keindahan langit ciptaan Allah.
Anda bagaimana?
Nikmatilah klip video ini - WE ARE THE WORLD, sebuah lagu yang mengajak kita mencipta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita di masa hadapan.
7 hari lagi iaitu pada 28 Mac 2009 dari jam 8.30 malam ke 9.30 malam marilah kita padamkan lampu di rumah kita. Pakailah lilin sambil kita kenang-kenang kembali cabaran dahulu kala yang ibu, ayah, datuk dan nenek kita hadapi ketika masih tidak ada TNB mahupun LLN.
Tidak adil bukan jika hari ini kita selesa dengan apa yang kita ada sekarang namun kesannya adalah anak cucu kita menderita dengan kesan pemanasan global. Walaupun sedikit kita lakukan tetapi dilakukan secara berama-ramai, Insya-Allah, kesannya tetap ada. Selama sejam itu, permintaan terhadap tenaga elektrik akan berkurangan maka stesen janakuasa elektrik tidak perlu membakar arang batu, diesel dan lain-lain bahan bakar yang diperlukan untuk menjana kuasa elektrik. Kesannya, dalam 1 jam itu pelepasan karbon dioksida dan gas-gas lain yang tidak diperlukan juga akan berkurangan. Namun yang penting adalah kesedaran kita untuk berjimat dalam penggunaan elektrik dan mengambil langkah proaktif dalam memelihara alam sekitar, Jadi jangan lupa, padamkan lampu rumah anda pada 28 Mac 2009 dari jam 8.30 malam ke 9.30 malam. Tidak lama, sejam sahaja.
Sebak sungguh di hati ini apabila melihat wajah anak-anak Palestin yang tidak tahu apa-apa dengan konflik di sekeliling mereka menjadi korban kekejaman tentera negara haram Israel. Hampir menitis air mata ini apabila saya mengantikan wajah anak-anak itu dengan wajah anak-anak saya. Jeritan dan rengekan sakit mereka saya gantikan dengan suara anak-anak saya menyebabkan saya tidak mampu lagi untuk melihatnya.
Sememangnya konflik Palestin dan Israel memang satu konflik yang cukup lama. Sejarahnya cukup panjang. Ia bukan sekadar pencerobohan atau penjarahan kuasa asing ke bumi Palestin yang berlaku lebih kurang 60 tahun dahulu tetapi ia berakar umbi daripada zaman dahulu kala, ketika zaman Nabi Musa sehinggalah ke Utusan Akhir Zaman, Nabi Muhammad.
Perbualan saya dengan seseorang lewat petang tadi cukup membuatkan saya termenung panjang dengan keimanan yang kita miliki pada hari ini. Rintihannya akan betapa nipisnya iman yang dia miliki sehinggakan tidak mampu berbuat seperti apa yang telah ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah membuatkan saya juga terfikir nilai iman yang ada pada diri ini.
Tersangatlah jauhnya jika kita membandingkan diri kita ini dengan Saidina Usman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mahupun isteri baginda Saidatina Khadijah yang sanggup memberikan semuan harta mereka untuk perjuangan Islam. Hati ini menangis mengenangkan betapa Abdul Rahman bin Auf sanggup meninggalkan Mekah sehelai sepinggang kerana menyahut perintah Nabi Muhammad untuk berhijrah ke Madinah. Penyerahannya kepada Allah sangat tinggi, percaya bahawa Allah akan melindunginya dan rezeki itu ada di mana-mana.
Mungkin keterlaluan membandingkan diri ini dengan sahabat-sahabat Rasullulah. Namun dalam konflik Palestin dan Israel, ia benar-benar menguji keimanan kita. Dalam konteks kehidupan kita hari ini apabila ada pihak yang memohon sumbangan untuk saudara kita di Palestin, pernahkah kita terfikir untuk memberi semua wang yang ada di dalam beg duit kita sekurang-kurangnya? Tepuk dada, tanyalah iman.
Jika dalam kehidupan harian kita, berapa ramai daripada kita yang sanggup berhenti bekerja kerana tidak meredhai dengan tugas yang kita lakukan kerana melanggar peraturan Allah. Mungkin kebanyakan kita hanya menutup mata sahaja kerana khuatir akan terjejas periuk nasi kita.
Perbualan kami diakhiri dengan kisah kenalannya yang sanggup berhenti kerja kerana sama sekali tidak bersetuju dengan amalan syarikatnya yang melanggar peraturan agama. Isterinya tidak bekerja dan beliau berhenti kerja pun tanpa punya perancangan tertentu untuk menyara keluarganya. Dengan bantuan Allah atas tawakalnya dan niatnya yang ikhlas dalam mencari keredhaannya, beliau kini hidup di dalam gaya hidup yang diingininya dan berada di bawah keredhaanNya.
Penderitaan saudara kita benar-benar menguji keimanan kita sebenarnya. Nilai keikhlasan kita itulah yang akan dinilai Allah seperti nilai keikhlasan Habil dan Qabil dalam mempersembahkan bahan korban kepada Allah. Analogi yang diberikannya cukup menginsafkan saya.
“Orang miskin yang ada dua ringgit dalam poketnya dan berikan kesemuanya untuk tolong saudaranya di Palestin tanpa banyak soal lebih tinggi nilainya daripada orang kaya yang hulurkan seribu ringgit tetapi banyak kira-kiranya.”
Ya Allah, tambahkan keimanan dan ketaqwaan ke dalam hatiku ini. Amin.
Tahun baru datang lagi. Kali ini Tahun Baru Islam dan juga Tahun Baru Georgian hampir sama tahun ini. Selangnya cuma 2 hari sahaja. Ujiam besar buat umat Islam kerana pada malam ahad sebelumnya sudah berdoa akhir tahun dan awal tahun. Selang 2 hari kemudian takkanlah hendak berjoget di Dataran Merdeka pula?
Apabila tibanya tahun baru, maka soalan yang paling popular adalah apakah azam anda pada tahun ini? Secara umumnya, azam itu dibuat kerana 3 perkara.
Pertama ingin mencapai sesuatu ataupun membina cita-cita baru seperti ingin berkahwin, lulus cemerlang dalam peperiksaan ataupun berusaha untuk naik pangkat.
Kedua ingin memperbaiki kelemahan yang sedia ada seperti mendapatkan berat badan ideal, mengurangkan sifat panas baran, lebih berjimat dan menambahkan simpanan di bank.
Ketiga pula adalah memperkukuhkan kekuatan yang sedia ada seperti memperbaiki bacaan Al-Quran yang sudah sedia baik.
Persoalannya, apakah yang diperlukan untuk merealisasikan azam kita itu. Maka banyaklah panduan yang diberikan di majalah-majalah, akhbar dan dibincangkan secara langsung ataupun tidak langsung di dalam media elektronik. Kebanyakan yang saya ikuti adalah bagaimana untuk mencapai azam. Contohnya jangan berazam terlalu banyak, berkomunikasilah dengan pasangan anda untuk mendapatkan sokongan sehinggalah tulis besar-besar azam anda untuk dilekatkan di tempat yang selalu anda lalu/singgahi. Anda boleh pilih cara apakah yang sesuai untuk anda namun janganlah lupa akan faktor penting untuk merealisasikan azam anda, kepercayaan anda. Apakah faktor pendorong kepercayaan anda yang akan dapat menukarkan ia kepada bentuk tindakan?
Sebagai contoh, apabila seseorang itu diberitahu oleh doktornya bahawa beliau menghidap kencing manis dan dinasihatkan agar menjaga permakanannya, seseorang itu pasti akan dapat menjaga permakanannya walaupun dia mungkin digelar ‘lori DBKL’ oleh rakan-rakannya sebelum itu. Apakah kepercayaan orang itu yang mendorong tindakannya itu?
Seseorang yang pernah gagal dalam peperiksaan yang penting contohnya, lazimnya apabila diberi dorongan yang sewajarnya maka dia akan bangkit semula dan mendapat kelulusan tertinggi. Saya ada banyak mendengar kisah-kisah mereka yang dahulunya gred 2 ataupun 3 dalam SPM, kini bergelar Doktor Falsafah, punya kelulusan Sarjana dan sebagainya ataupun setidaknya-tidaknya berjaya dalam perniagaan yang diusahakannya. Apakah yang mendorong tingkahlaku mereka dalam menggapai impian mereka?
Ia sebenarnya terletak dalam pemikiran kita. Kepercayaan kita akan mendorong kita untuk menunjukkan tingkah laku, berfikir sewajarnya. Sebagai contoh, kerana percayakan Allah dan percayakan adanya Hari Pembalasan, maka kita pun patuh kepada setiap suruhanNya dan laranganNya. Bagi mereka yang tidak percayakan Allah, tidak mungkin mereka solat 5 waktu.
Maka dalam membina azam, kita perlu bina dahulu mengapa kita berazam sedemikian. Sebagai contoh, pelajar yang berazam untuk lulus SPM tahun 2009 kerana percaya ia boleh mengubah atau menentukan nasib hidupnya maka pelajar tersebut akan tekun berusaha sehinggalah memperolehi kelulusan yang tertinggi yang beliau mampu dengan kualiti sebagai insan yang berkualiti. Berbeza dengan pelajar yang percaya lulus periksa sekadar untuk masuk universiti, maka biasanya mungkin pelajar itu sekadar masuk universiti, lulus begitu-begitu sahajalah malahan kurang berjaya membentuk dirinya sebagai graduan yang laku dalam pasaran pekerjaan.
Azam untuk menguruskan badan sekadar untuk kelihatan cantik, seksi ataupun tampan biasanya mungkin tidak bertahan lama berbanding kerana percaya berat badan yang ideal adalah lambang kesihatan yang unggul di mana seseorang itu akan dapat ‘hidup’ lama untuk keluarganya.
Kepercayaan itu harus anda bina terlebih dahulu sebelum membina azam. Kegagalan percaya kenapa alasan anda membina azam itu biasanya tidak cukup berkuasa untuk mendorong anda untuk menunjukkan tingkah laku yang sewajarnya untuk merealisasikan azam tersebut.
Satu lagi kaedah untuk menguatkan kepercayaan kita adalah berasa sakit mengenainya. Contoh pesakit kencing manis seperti di atas juga mungkin didorong oleh kerana pesakit itu telah berasa sakitnya berada dalam situasi demikian.
Berasa sakit akibat penggunaan kad kredit yang tidak terkawal akan menyebabkan seseorang itu lebih baik pengurusan perbelanjaan sebaik beliau keluar daripada kemelut kad kredit itu. Beliau percaya tanpa pengurusan perbelanjaan yang baik mungkin akan menyebabkan beliau terjebak dalam perangkap kad kredit sekali yang begitu memeritkan hidupnya.
Pokok pangkalnya, bina kepercayaan anda dahulu terhadap azam itu.
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430H. Selamat Tahun Baru 2009. Selamat Menanam Azam!
Tempoh hari saya nampak tiga orang warga Bangladesh atau Mat Bangla naik basikal. Mungkin ke tempat kerja. Basikal mereka biasa-biasa sahaja, basikal tua seperti lagu Sudirman itulah, ‘Basikal Tua’.
Tempoh hari juga ketika saya sekeluarga membeli barangan keperluan dapur di sebuah pasar besar, beberapa orang Mat Bangla juga sedang sibuk menjual kain-kain di gerai-gerai kain. Saya kurang pasti samada mereka pekerja atau pemilik.
Beberapa minggu yang lalu, saya nampak seorang lagi Mat Bangla dengan motorsikal junjung kain dan permaidani kecil mencari bakal pelanggan. Singgah dari rumah-rumah ke rumah. Sasarannya suri rumah yang ingin dapatkan kain atau permaidani baru tapi malas hendak mencarinya di kedai terdekat. Tetapi saya tahu Mat Bangla itu dulu pernah berjalan kaki dan juga berbasikal membuat perkara yang sama.
Beberapa tahun yang lalu, kita, rakyat Malaysia pernah perli-perli Mat-Mat Bangla ini dengan ‘baru-lama?’ ataupun ‘hijau-merah?’
Saya kira majoriti rakyat Malaysia punya pandangan yang sinikal mengenai Mat-Mat Bangla. Dalam entri saya kali ini, ketepikanlah dulu hal-hal yang berkaitan dengan halal haramnya mereka di Malaysia ataupun isu-isu yang berkaitan dengannya seperti masalah sosial ataupun jenayah.
Daripada satu segi, saya pengkagum Mat Bangla. Saya kagum dengan semangat juang mereka yang tinggi dan sikap tidak kisah mereka. Sikap tidak kisah mereka itu yang paling mengkagumkan saya.
Mereka tidak kisah naik basikal ke tempat kerja jika itu dapat menjimatkan wang mereka supaya dapat disimpan dan dibawa balik ke Bangladesh. Mereka juga tidak kisah berhimpit-himpit di rumah kongsi asalkan ada tempat berteduh, bawah jambatan pun jadilah.
Mereka tidak kisah berpeluh-peluh junjung permaidani dan kain asalkan mereka dapat jual dan dapat duit supaya dapat dipos balik ke Bangladesh. Tetapi di minda sudah tersemat bahawa mereka akan mampu sekurang-kurangnya beli van untuk bawa kain dan permaidani mereka.
Mereka tidak kisah jadi kuli orang, asalkan mereka tahu apabila mereka pulang ke Bangladesh, mereka akan jadi orang kaya.
Mereka juga tidak kisah apabila orang Malaysia selalu main-mainkan mereka dan juga perli-perli mereka.Kebanyakan mereka tidak kisah kerana mereka ada cita-cita mereka tersendiri.
Kerana sikap sinikal kita kepada Mat Bangla ini maka kita tidak dapat mencontohi sikap mereka yang positif ini.
Kerana ambil kisah cakap orang maka terubahsuai juga rumah yang sebenarnya sudah cukup selesa untuk kita sekeluarga.
Kerana ambil kisah cakap orang maka kita lebih tumpukan gaya berbanding apa yang kita perlukan sebenarnya.
Kerana ambil kisah cakap orang maka kita mulakan pernigaan dengan berhutang sebanyak-banyaknya sedangkan kita belum pun mulakan perniagaan.
Kerana ambil kisah cakap orang maka kita terjebak dengan benda-benda yang tidak sepatutnya. Main golf contohnya kerana takut bukan sebahagian daripada gaya kehidupan rakan sekerja kita.
Dan banyak lagi… Lu Pikirlah Sendiri (Nabil Ahmad)
Tidak salah dengar cakap orang, tapi terima cakap orang bulat-bulat tanpa sebarang rasionalisi itu tanda mereka sanggup ditipu diri sendiri.
Oh ya! Tanpa sedar kita dah terlampau bergantung pada Mat-Mat Bangla ini. Tanpa mereka pasti kontraktor kita pening kepala hendak cari tenaga kerja. Lebih teruk lagi, tandas awam mahupun pejabat mahu jadi lebih haru biru daripada apa yang kita ada sekarang.
Agaknya, kalau mereka ambil kisah sangat dengan cakap orang, apa akan jadi dengan kita?
Seorang ibu bertanya kepada anaknya ketika mereka bersiap-siap hendak pergi ke bandar. "Apabila Aiman sudah besar nanti, Aiman hendak menjadi apa?"
Dengan riak wajah penuh keyakinan Aiman menjawab. "Saya ingin bekerja di bank."
Maka terukirlah senyuman di wajah ibu tersebut mendengarkan jawapan anaknya. Berkatalah ibu itu kepada dirinya sendiri. "Nanti Ibu bawakan Aiman ke bank untuk Aiman lihat sendiri para pegawai bank bekerja di sana. Moga-moga terbakarlah semangat Aiman untuk belajar dengan lebih tekun lagi."
Setibanya mereka di bandar, ibu Aiman terus membawa anaknya ke sebuah bank berhampiran dengan perhentian bas. Kelihatan Aiman sangat teruja melihat kesibukan bank tersebut itu. Ibu Aiman terus memberikan kata-kata perangsang kepada Aiman. "Inilah bank. Lihat di sana, yang duduk di belakang kaunter itu adalah pegawai-pegawai bank. Mereka rajin belajar dan mendapat keputusan yang baik barulah mereka boleh bekerja di sini. Aiman pun kenalah rajin belajar barulah boleh bekerja di bank."
Melingas mata Aiman melihat pergerakan setiap orang di dalam bank. Perhatiannya terganggu apabila ibunya bertanya. "Aiman hendak jadi yang mana satu."
Aiman menuding kepada seorang lelaki pertengahan umur yang duduk di satu sudut, berkemeja putih, berseluar hitam dan bertopi. Di tangannya senapang 'pumpgun' yang muncungnya sentiasa mengacung ke atas. Jahitan kemas tersemat di atas poket kanan kemejanya tertulis "Keselamatan". "Aiman ingin jadi orang seperti itulah. Boleh ibu?"
Terdiam ibunya melihat cita-cita sebenar anaknya.
Nota: Abahfateh tidaklah mengatakan kerja sebagai seorang pengawal keselamatan itu hina atau sebagainya. Kisah di atas adalah kisah sebenar yang berlaku ke atas seorang ibu yang merupakan kawan penulis. Anak-anak melihat orang-orang yang ada di sekeliling mereka dan ingin sekali menjadi sekali mereka. Pendedahan dan bimbingan yang berterusan akan memberikan panduan berguna kepada anak-anak dalam menentukan cita-cita mereka.
Perubahan? Anda inginkan perubahan? Entri saya kali ini bukan mengenai perubahan lanskap politik di Amerika Syarikat dengan terpilihnya Barrack Obama sebagai Presiden Amerika yang ke-44 ataupun yang seumpama dengannya.
Ketika saya kecil dahulu, saya pernah mengadu kepada ibu saya betapa susahnya pelajaran yang saya belajar pada tahun tersebut dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Emak saya menjawab mudah dan jawapan itu melekat di pemikiran saya sehingga hari ini. “Semakin besar kita, semakin sukar perkara yang akan kita hadapi.”
Mesej utama yang ibu saya sampaikan adalah sentiasa berubah. Ubah sikap, kelakuan, pandangan dan sebagainya apabila keadaan memerlukannya. Namun untuk berubah bukannya mudah bukan? Orang gemuk yang ingin mengubah diet pemakanannya kerana ingin kurus seringkali gagal. Pelajar yang ingin berubah menjadi pelajar yang rajin gagal di pertengahan tahun kerana kurangnya komitmen diri. Pekerja yang tidak produktif gagal menjadi sebaliknya kerana sering menyalahkan faktor luaran seperti rakan sekerja, tempat kerja dan juga majikannya.
Perkara pertama yang perlu ditukar adalah kepercayaannya. Mengapa harus menjadi kurus, berubah menjadi rajin dan produktif? Sekiranya kepercayaan tidak diubah, maka ia akan menjadi azam yang sia-sia. Sebagai contoh, seorang pelajar yang ingin berubah menjadi pelajar yang rajin kerana hanya percaya itu akan menyebabkan beliau akan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Adakah itu mencukupi? Belum tentu lagi kerana pelajar tersebut tiada kepercayaan kukuh mengapa beliau harus mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaannya. Sekiranya beliau melihat keputusan yang baik itu sebagai salah satu tiket untuk beliau berjaya dalam hidup, maka beliau akan tabah tidak kira apa juga masalah dan cabaran yang beliau hadapi.
Pokoknya, kepercayaan kitalah yang harus diubah. Hanya dengan kepercayaan yang betul, tepat dan teguh yang akan dapat memberitahu minda dan jasmani kita untuk lebih komited terhadap perubahan yang ingin kita lakukan.
Moto Nike, ‘Just Do It’ mungkin benar. Namun Honda lebih ampuh motonya dalam mendorong perubahan, ‘The Power of Dream’.
Bermimpilah dan tetapkan kepercayaan anda. Kepercayaan anda akan mendorong kelakuan dan tingkahlaku anda untuk lebih cemerlang.
Hari ini anda pasti sibuk. Tidak kiralah siapa pun anda. Samada dengan tugasan pejabat, urusan perniagaan ataupun urusan rumahtangga anda. Sila jawab dengan jujur.
Apakah kebaikan yang telah anda lakukan hari ini?
Saya sudah. Mengingatkan anda supaya membuat kebaikan pada hari ini. Semoga anda hari ini lebih baik daripada hari semalam.
Katak oh katak Mengapa kau panggil hujan Bagaimana aku tak panggil Ular nak makan aku
Lirik di atas adalah sebahagian lirik lagu Bangau oh Bangau.
Dalam dunia Melayu, banyak juga perkara yang dikaitkan dengan katak. Mati katak, bagai katak di bawah tempurung dan sebagainya. Di dalam lagu begitu juga seperti lagu ‘Lompat Si Katak Lompat’.
Dunia politik Malaysia juga tidak terkecuali dengan istilah katak. Katak di dalam politik Malaysia merujuk kepada ahli politik yang melompat parti seperti yang pernah berlaku di beberapa negeri seperti Sabah.
Begitulah pengaruh katak di dalam ruang lingkup kehidupan kita.
Para pembaca sekalian,
Jika seekor katak dimasukkan ke dalam periuk yang penuh dengan air yang mendidih pasti mati kataklah katak itu. Namun katak itu pasti lebih daripada gembira jika diletakkan di dalam periuk yang berisi air sejuk, Tanpa katak itu sedar, air dipanaskan sedikit demi sedikit dan katak itu secara perlahan berasa selesa dengan suhu yang meningkat sedikit demi sedikit. Tahu-tahu katak itu tidak dapat menerima takat suhu itu dan katak itu mati katak juga akhirnya.
Mengapakah perkara ini terjadi? Selama ini katak itu selesa dengan situasi suhu yang naik secara perlahan. Katak itu tidak memberi reaksi kepada perubahan itu (walaupun sedikit) kerana berasakan tidak perlu memberi tindak balas kepada perubahan itu. Inilah yang dikatakan zon selesa (comfort zone) yang perlu kita elakkan sama sekali.
Apakah perkara terakhir mengenai diri anda yang anda ubah dan bila? Lebih baik menjadi katak yang mati di dalam air mendidih daripada mati kerana direneh perlahan.
Saya ingin jadi orang yang pertama ucapakan selamat harijadi kepada diri saya sendiri. Alhamdulillah. Secara rasminya genap umur saya 30 tahun hari ini. Terasa tuakah saya? Tidak juga, anak-anak masih kecil lagi maka saya sentiasa rasa muda dan kadang-kadang kebudak-budakan kerana mereka.
Cuma kali ini hati saya terdetik, sudah bersediakah saya menghadapi kematian?
Nabi Muhammad sallahualaihiwassalam wafat pada usia 63 tahun. Maka secara adatnya, saya ada 33 tahun sahaja lagi untuk hidup. Mengikut perangkaan, purata umur bagi lelaki Malaysia (2005) adalah 71 tahun. Maka saya ada 41 tahun sahaja lagi.
Adakah saya takut mati?
Saya takut mati dalam keadaan saya yang banyak dosanya dan tidak beriman. Namun adakah kerana itu maka saya beribadah sahaja kepada Allah? Sepatutnya tidak, kerana maksud hadis menyebut bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi, dan beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari. Saya ingin menikmati hidup ini sebaik-baiknya bersama-sama dengan keluarga saya. Setiap saat saya akan hargai kerana mana tahu, anda mendapat khabar saya sudah dijemput Allah esok hari.
Saya ingin meninggalkan dunia yang fana ini dengan senyuman mengiringi pemergian saya dalam tangisan kesedihan mereka kerana legasi yang dapat dinikmati oleh generasi terkemudian daripada saya.
Selamat harijadi Abahfateh.
Saya sempat lawati BrainHistory.com untuk melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 22 November. Antara yang menarik:
2005 - XBox 360 video game is released by Microsoft
1990 - Margaret Thatcher announces her resignation as British Prime Minister
1989 - Conjunction of Venus, Mars, Uranus, Neptune, Saturn and Moon
1978 – Abahfateh was borned in Tanjung Karang, Selangor, Malaysia
1967 - Boris Becker, West Germany, tennis player, Wimbledon 1985, 86, 89
1963 - John F Kennedy, 35th President (1961-63), assassinated in Dallas at 46
1958 - Jamie Lee Curtis, born in Los Angeles, California, actress, Anything But Love, Halloween
1930 - Elijah Muhammad forms Nation of Islam in Detroit
1617 - Ahmed I, 14th sultan of Turkey (1603-17), dies
1247 - Robin Hood, dies (from "A Lytell Geste of Robyn Hood")
Tidak saya sangka sama sekali, mereka ada rekod tarikh kematian Robin Hood.
Hari minggu yang lalu, 2hb November 2008, saya sekeluarga serta Pakdi dan 'awek cun'nya telah berama-ramai menyertai Terry Fox Run 2008. Siapa Terry Fox? Anda boleh baca di sini.
Larian ini adalah salah satu usaha untuk mengumpulkan dana untuk kajian perubatan barah yang kini dikenalpasti sebagai salah satu daripada pembunuh utama di Malaysia malahan di dunia. Ini adalah kali ke-3 Terry Fox Run dianjurkan di Taman Tasik Perdana.
Gambar 1 - Garisan permulaan dan akhir Terry Fox Run 2008.
Hanya saya dan Pakdi yang berlari (sila baca berjalan). Yang lain-lain? Bermain-main di padang permainan. Sayapula buat kali pertama mengambil gambar peristiwa dengan kamera saya. Kelam kabut juga, bukan senang dan juga mungkin saya tidak bersedia sepenuhnya. Apapun, ini adalah satu pengalaman yang menarik untuk saya sendiri. Ini adalah kali pertama saya menyertai larian ini. Ketika hampir kesemua adik-beradik saya menyertai larian ini tahun lalu, saya masih di Labuan, sekadar menikmati gambar-gambar yang ada. Insya-Allah, saya akan cuba sertai larian ini pada tahun-tahun akan datang sebagai satu bentuk sokongan kepada usaha untuk melawan penyakit kanser. Kalaulah orang lain boleh buat larian tahunan untuk mengingati insan bernama Terry Fox, kenapa saya tidak boleh tumpang acara ini untuk mengingati ibu saya yang lebih dekat dengan saya. Apatah lagi apabila saya pulang ke rumah, baru saya teringat hari ini adalah hari perginya Almarhum Ayah saya, 17 tahun yang lalu. Al-Fatihah untuk kedua ibubapa saya.
Jika anda ingin tengok lebih gambar lagi, silalah jengah laman Flickr saya. Orang baru nak belajar mengambil gambar, harap maaf kalau kurang menarik.
Petang ini, 29 Ogos 2008 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan 1 akan membentangkan Belanjawan 2009. Satu rutin tahunan yang dinantikan oleh setiap lapisan masyarakat. Banyak perkara yang dinantikan oleh rakyat. Apakah bentuk-bentuk insentif yang akan diumumkan untuk menjaga kebajikan rakyat dan pada masa yang sama dapat menjana dan memacu ekonomi negara?
Kita nantikanlah petang ini. Atau kalau sibuk sangat, malam ini layarilah internet atau tunggu sahajalah surat khabar esok yang pastinya akan menyentuh perkara-perkara yang diumumkan di dalam Belanjawan 2009.
Satu perkara yang sangat dinantikan oleh kakitangan awam khasnya adalah pengumuman bonus. Menjadi harapan mereka agar bonus diberikan oleh kerajaan selaku majikan. Namun perlu diingatkan bahawa bonus adalah hak eksklusif majikan. Jika ada maka adalah, jika tiada berlapanglah dada.
Bonus memberikan harapan kepada ramai rakyat baik kakitangan awam ataupun swasta. Bonus adalah satu aliran tunai tambahan kepada seisi keluarga dalam menampung perbelanjaan yang meningkat saban tahun, Seringkali di dalam pembentangan belanjawan, kakitangan awam diingatkan supaya menggunakan bonus tersebut untuk tujuan belanja persediaan anak-anak ke sekolah, perayaan dan sebagainya. Intipatinya, ia harus dibelanjakan. Dalam ekonomi makro, ia wajar agar wang yang diberikan dapat mengalir keluar dan dapat merancakkan lagi kegiatan ekonomi.
Maka seringkalilah ungkapan-ungkapan sedemikian kedengaran.
“Bolehlah bayar hutang kad kredit.”
“Bertukarlah sport rim kereta aku.”
“Bolehlah buat bayar muka kereta aku.”
“Mana cukup bonus banyak itu, belum sampai sebulan sudah habis”.
Dan banyak lagi. Biasa mendengarnya?
Antara sebab utama ungkapan tersebut kedengaran kerana kegagalan merancang wang dengan baik dan bonus dianggap perbelanjaan tambahan
Teringat perbualan saya dengan saudara Thinkerich yang menceritakan bagaimana ramai kakitangan di bawahnya yang memohon sokongannya untuk pinjaman peribadi. Apabila diselidiki, kebanyakan daripada mereka gagal merancang perbelanjaan mereka dengan baik. Bagi saya pula terlampau banyak membeli barangan yang diingini daripada barangan keperluan. Akhirnya hutang terlampau banyak dan bonus dilihat satu-satunya cara untuk melangsaikannya.
Menganggap bonus sebagai perbelanjaan tambahan juga harus dielakkan. Menjadi fenomena kebanyakan orang di mana bonus dimasukkan sebagai sumber kewangan untuk perbelanjaan. Ingat, bonus adalah hak eksklusif majikan. Apa akan jadi jika tiada bonus? Anda kempunan dan kerana inginkan juga barangan tertentu maka anda berhutang tanpa kesudahan.
Jadi apa gunanya bonus jika bukan untuk dibelanjakan?
Jika anda banyak hutang. Langsaikan hutang anda mengikut keutamaan dan bertekad untuk tidak mempunyai hutang negatif (bad debt). Susunlah semula perbelanjaan anda dan berusahalah untuk menambahkan pendapatan anda.
Untuk menambahkan pendapatan anda, janganlah terjebak dengan mana-mana skim cepat kaya. Daripada sejumlah bonus itu, jadikanlah ia sebagai modal permulaan anda untuk memulakan perniagaan sambilan dan sebagainya. Oleh kerana anda menganggap bonus bukan sebahagian daripada belanjawan anda maka ia bermakna wang tersebut adalah wang yang anda sanggup hilang kerana pelaburan. Maka melaburlah di dalam saham, perumahan dan sebagainya. Namun, pastikan anda telah mendapat ilmu yang secukupnya.
Yang lebih utama, sebahagian besar daripada bonus itu anda menabunglah sekurang-kurangnya 20%. Ketepikan buku simpanan anda dan lupakanlah ia. Tahun hadapan bonus ada lagi, keluarkan dan simpanlah lagi. Pasti anda akan tersenyum dengan jumlah yang tertera di dalam buku simpanan tersebut.
Mungkin bonus boleh diakronimkan seperti berikut :
Anda pernah menderma darah? Jika pernah dan selalu menderma, syabas saya ucapkan. Jika anda pernah sekali dan tidak pernah lagi selepas itu, selalu-selalukanlah. Jika anda tidak pernah sama sekali, mulalah berderma darah.Namun, jika anda tidak boleh menderma darah kerana alasan kesihatan, tidak mengapalah.
Setitis darah anda mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang.
Saya sendiri mula menderma seawal usia 18 tahun. Ketika itu saya seolah-olah diarah oleh Almarhumah Emak saya untuk menderma darah. Katanya, “Bila sudah cukup umur nanti, mendermalah darah.”
Alhamdulillah, selang beberapa minggu selepas harijadi saya yang ke-18, saya menderma darah saya di Kolej Kediaman EON, Universiti Utara Malaysia. Gementar memanglah gementar, namun selepas usai semuanya, semacam ada kepuasan dalam diri ini. Selepas itu, sehingga kini saya pastikan dalam setahun saya menderma darah sekurang-kurangnya dua kali.
Hari ini ada kempen menderma darah yang dianjurkan oleh PETRONAS Wilayah Sabah / WP Labuan. Berduyun-duyun yang datang mengisi borang namun yang dapat menderma darah kurang daripada separuh. Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur ia disebabkan oleh beberapa faktor seperti bilangan hemoglobin yang tidak cukup, tekanan darah tinggi, kurang berat badan dan sebagainya. Itu alasan kesihatan yang boleh kita terima. Namun yang ramainya adalah takut untuk menderma darah.
Alasan seseorang untuk takut menderma darah pun kadang-kadang lucu untuk kita dengar. Yang paling umum takutkan jarum. Ada juga yang punya trauma dengan insiden-insiden tertentu yang masih tidak boleh disingkirkan daripada ingatan. Namun, dalam ramai-ramai orang, rakan saya ini mempunyai alasan kukuh mengapa dia takutkan jarum.
”Saya dulu kerja di kilang membuat jarum. Dari sekecil-kecil jarum sampailah sebesar-besar jarum untuk gajah. Itu yang teringat sampai sekarang.” beritahunya selepas saya galakkan beliau untuk menderma darah. Alhamdulillah, dapat juga 300cc daripadanya.
Rakan saya yang pernah buat jarum untuk gajah tersenyum lega jarumnya kecil sahaja.
Antara alasan-alasan umum yang lain boleh kita dengar adalah perempuan tidak digalakkan menderma kerana hilang darah setiap bulan, kurus sangat dan takut gemuk. Macam-macamlah alasan kalau tidak mahu itu. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Jangan berdalih lagi. Mari menderma darah. Ramai orang memerlukannya. Suatu hari nanti, jika bukan kita mungkin isteri, anak atau ibubapa kita memerlukan darah untuk menyambung hidup. Sedikit darah yang kita dermakan hari ini mungkin terbalas suatu hari nanti. Jika tidakpun, ada ganjaran menanti daripada Allah Taala kerana ini adalah suatu bentuk sumbangan ataupun sedekah.
Jangan tunggu lagi, jengah-jengahlah mana-mana hospital. Sila klik laman web Pusat Darah Negara untuk maklumat lanjut tentang kenapa dan mengapa kita mesti menderma darah.
Pengurusan stress adalah penting dalam kita menjalani kehidupan kita seharian. Siapa yang tidak ada masalah? Siapa yang tidak berhadapan dengan cabaran? Maka, pengurusan stress yang berkesan akan menentukan kejayaan seseorang. Sesiapa yang gagal menanganinya akan mengalami mimpi buruk, kemurungan, gangguan jiwa dan paling akhir membunuh diri (jauhkan kami daripada perkara ini Ya Allah).
Namun kadang-kadang stress juga boleh menghiburkan diri kita sekiranya kita mengambilnya dan melihatnya daripada sudut positif.
Beberapa hari yang lalu, jabatan saya telah menjemput seorang pakar motivasi iaitu Dr. H.M Tuah Iskandar untuk memberikan ceramah motivasi. Perancangan dan kerja-kerja telah dilakukan lebih sebulan yang lalu. Pada mulanya saya berasa selesa dengan perancangan yang dilakukan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti mengelakkan program tersebut bertembung dengan program-program syarikat yang lain, mesyuarat-mesyuarat pihak pengurusan dan lain-lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
Namun, seminggu sebelum program pelbagai perkara luar jangka berlaku. Daripada mesyuarat pihak pengurusan yang dijadualkan pada tarikh dan waktu yang sama sehinggalah kepada program-program latihan yang dijalankan. Kegusaran mula timbul, adakah program ini akan mendapat sambutan? Promosi diperhebatkan dan komunikasi dengan para ketua jabatan dijalankan untuk mendapatkan sokongan mereka. Sehingga ke saat-saat akhir saya dan rakan-rakan lain masih belum dapat menaruh keyakinan program ini akan berjalan lancar.
Perkara ini terbawa-bawa hingga ke malam. Saya bermimpi buruk. Program ceramah motivasi ini tidak berjalan lancar dan sambutan amat kurang sekali. Saya mengamuk di dalam mimpi tersebut dengan memarahi dan bertekak dengan rakan-rakan sekerja saya daripada jabatan lain sehinggalah ke tahap yang saya sendiri tidak terfikir hendak melakukannya. Termenung juga saya apabila bangun daripada tidur keesokan paginya.
Saya semakin tidak keruan apabila menerima panggilan mengatakan bekalan elektrik terputus. Alhamdulillah, pulih tidak lama kemudian. Saya bertenang seketika sambil meramas-ramas bantal comel saya. Lalu saya pun membuat apa yang sepatutnya saya buat. Mereka yang saya bergaduh di dalam mimpi, saya pohon maaf kerana ada rasa bersalah. Tergelak mereka mendengar cerita saya. Kemudian masing-masing mula bercerita pengalaman stress mereka dan kami pun sepakat dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan perkara seperti pertembungan program ini berlaku. Saat itu, saya rasa ringan sekali, seolah-olah tiada apa masalah sekalipun.
Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Semoga apa sahaja ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kakitangan syarikat saya bekerja.
Sesungguhnya aturan Allah itu sangat misteri. Oleh kerana saya menangani dan melihat stress saya secara positif, saya dapat berkongsi sesuatu yang baik, merapatkan hubungan dengan rakan sekerja yang lain dan mencapai resolusi bersama. Kini saya mendapat lebih pengertian mengapa kita harus melihat sesuatu secara positif. Saya harap anda juga begitu tidak kira betapa besar atau kecilnya cabaran yang kita hadapi.
Saya berikan dua cerita untuk anda fikirkan bersama.
Cerita 1 : Kisah 4 Ekor Monyet.
4 ekor monyet ditempatkan ke dalam sebuah sangkar. Di atas sangkar itu tergantung sesisir pisang yang masak ranum. Maka kesemua monyet itupun berusaha memanjat jeriji sangkar tersebut untuk mendapatkan pisang tersebut. Namun, sebaik sahaja mereka memanjat jeriji maka air yang kuat akan disemburkan ke arah mereka. Setiap kali mereka memanjat, maka air akan dipancutkan bagi menghalang mereka daripada meneruskan niat mereka. Perkara ini berlarutan sehinggalah kesemua monyet tersebut tidak lagi berusaha mendapatkan pisang yang tergantung di atas sangkar mereka.
Selepas itu, seekor monyet dikeluarkan dan diganti dengan seekor monyet baru. Monyet baru ini sebaik sahaja nampak pisang tergantung maka ia cuba mendapatkannya. Niatnya terhalang kerana kali ini dia ditarik turun oleh 3 ekor monyet yang lebih senior. Dicuba berkali-kali namun dihalang sehingga akhirnya ia tidak lagi berusaha mendapatkan pisang tersebut walaupun tanpa mengetahu mengapa ia ditarik turun oleh monyet-monyet senior yang lain.
Kemudian seekor monyet senior dikeluarkan dan digantikan dengan yang baru. Maka proses yang sama berlaku sehinggalah kesemua 4 ekor monyet senior yang mengalami pengalaman dipancut air pada awalnya keluar.
Kini, monyet baru yang masuk menggantikan monyet senior yang terakhir juga ditarik turun oleh monyet-monyet yang lain yang langsung tidak pernah mengalami pengalaman dipancut air.
Cerita 2 : Kenapa dibuang Kepala dan Ekornya?
Kartini, seorang anak kecil berusia sembilan tahun menolong ibunya memasak ikan panggang untuk dibuat pecal (satu masakan istimewa masakan jawa). Kartini terperasan sesuatu lalu bertanya kepada ibunya. ”Ibu, kenapa ibu masak ikan tanpa kepala dan ekornya?
Ibu Kartini memandangnya dengan penuh kasih sayang namun agak kehairanan dengan soalan itu. Dia berfikir sejenak lalu menjawab. ”Embah Kartini dulu juga membuang kepala dan ekornya sebelum dipanggang.” (embah adalah nama panggilan untuk nenek dalam masyarakat Jawa)
Kartini tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ibunya. Maka dia pergi ke rumah Embahnya lalu bertanya. ”Embah, kenapa embah membuang kepala dan ekor ikan sebelum dipanggang?”
Embah Kartini memandang Kartini dengan penuh kasih-sayang. Dia berfikir sejenak lalu menjawab. ”Emak Embah yang menunjukkan cara begitu, ekor dan kepala ikan dibuang sebelum dimasak. Apa kata kita sama-sama bertanya pada emak Embah?” cadang Embah Kartini apabila melihat riak muka cucunya yang seperti tidak berpuas hati dengan jawapannya.
Lalu Kartini bersama-sama Embahnya ke rumah Embah Buyut (embah buyut adalah nama panggilan untuk moyang dalam masyarakat Jawa). Sesampainya di sana, dengan penuh sopan Kartini bertanya. ”Buyut, mengapa Buyut membuang kepala dan ekor ikan sebelum memasaknya?”
Embah Buyut mengambil masa yang lebih lama daripada Ibu dan Embah untuk menjawabnya. Sambil menggobek pinangya, Embah Buyut menjawab dengan bersahaja, ”Kepala dan ekornya Buyut buang kerana Buyut berikan kepada kucing kesayangan Buyut dahulu.”
Kartini memandang Embahnya yang hanya tesengih memandang cucunya
Adakah kita hanya mengikut sahaja adat, kebiasaan dan amalan nenek moyang kita malahan polisi syarikat tempat kita bekerja tanpa mengetahui sebabnya. Bertanyalah jika ada ruang untuk bertanya. Apabila dinyatakan sesuatu perkara itu dilakukan kerana mengikut kehendak polisi, cubalah cabar orang itu dengan bertanya. ”Boleh saya tengok polisi tersebut?” Agak-agaknya, wujudkah polisi tersebut?
Jika anda bertanya kepada orang-orang tua, maka mereka mungkin menjawab. ”Engkau budak-budak lagi, ikut sahaja apa orang tua cakap.”
Adakah kerana mereka malas menjawab ataupun mereka sendiri tidak tahu mengapa amalan tersebut dilakukan?