Showing posts with label ucapan. Show all posts
Showing posts with label ucapan. Show all posts

Saturday, September 26, 2009

Kisah Hari Raya Aidilfitri

Kisah 1 : Selamat Hari Raya Eidulfitri 1430 Hijrah, Maaf Zahir dan Batin.


Jika di Negara Arab ucapan saya ini mungkin sudah tidak laku lagi namun memandangkan masyarakat Malaysia beraya selama sebulan maka saya kira masih belum terlewat saya melontarkan ucapan selamat ini.

Terima kasih kepada saudara mara dan rakan-rakan yang menghantar ucapan selamat hari raya kepada kami sekeluarga melalui SMS terutamanya. Tidak terbalas saya segala ucapan tersebut (memang tidak pernah membalasnya pun. Hehehe)


Jika ada salah dan silap sepanjang penulisan saya di dalam entri-entri sebelum ini saya pohon kemaafan kerana mungkin ketika itu saya menulis mengikut hati bukan akal yang dikurniakan Allah.

Ikhlas daripada saya,
Sunardi Maulan
Azlina Ngatdene

Muhammad Fateh
Muhammad Faiq
Fildzah Miza

Kisah 2 : Faiq Kemalangan di Hari Raya Pertama



Pada hari raya pertama ketika kami sedang bersiap-siap di rumah makcik saya di Hulu Langat untuk pulang ke kampung isteri saya di Johor anak saya, Faiq, jatuh di bilik air dan bahagian belakang kepalanya terhentak di bucu bilik air. Bunyi jatuhnya dapat saya dengar dengan jelasnya dari ruang hadapan rumah makcik saya itu. Jeritan dan tangisan anak saya itu pula dapat didengari sehingga rumah pakcik saya yang terletak kurang 50 meter. Kalut juga saya melihat darah yang mengalir keluar dengan banyaknya, kredit kepada isteri saya yang tenang menangani keadaan.

Dari Batu 18 1/2 , Hulu Langat sehingga ke Kajang puas kami mencari klinik untuk pemeriksaan lanjut namun semua klinik termasuklah yang tertulis Klinik 24 jam tutup. Akhirnya kami ke Unit Kecemasan sebuah hospital swasta di Kajang. Alhamdulillah layanan dan rawatan yang diberikan sangat cekap apatah lagi untuk menangani kerenah Faiq yang tidak mahu diapa-apakan itu. Daripada maklumat yang kakitangan Unit Kecemasan tersebut berikan, sebelum kami sudah ada beberapa kes serupa yang mereka terima. Mungkin kerana terlampau seronok atau terlampau letih yang menyebabkan ibu bapa alpa dan terlepas pandang dalam menjaga anak-anak mereka. Sehingga hari ini, Alhamdulillah keadaan Faiq baik dan luka di kepalanya sudah beransur pulih.
Rancangan kami untuk pulang ke Johor pada hari raya pertama tertangguh ke keesokan harinya. Saya ingin berkongsi sedikit tips untuk berhadapan dengan kes-kes sebegini kerana malang tidak berbau.

Rawatan


Rawatan yang diperlukan bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan.
Jika kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan kecil misalnya calar dan terseliuh, tekap kawasan cedera dengan air batu. Berikan anak anda ubat air penahan sakit (paracetamol) untuk mengurangkan kesakitan. Rehatkan kawasan cedera.

  • Jika anak anda mendapat luka, cuci dengan air, tekap kawasan cedera dengan ibu jari untuk beberapa minit untuk memberhentikan darah mengalir dan rehatkan. Balut dengan kain bersih.
  • Jika anda mengesyaki tulang anak anda patah, balutkan dengan selimut, kain yang tebal atau bantal untuk menghalang pergerakkan. Gunakan kain untuk menggantung tulang yang patah pada anggota badan yang atas.
  • Periksa kawasan balutan untuk pastikan pergerakan darah yang normal. Jika kulit menjadi sejuk atau berubah warna, longgarkan balutan.
  • Jika anda mengesyaki anak anda cedera serius, sila dapatkan bantuan doktor.
(sumber dari http://www.myhealth.gov.my)

Kisah 3 : Kisah-kisah Lain

Tidak banyak kisah menarik yang dapat saya kongsikan. Setakat cerita ziarah rumah saudara mara tidak perlulah. Cerita jalanraya yang sesak terutamanya di pekan-pekan kecil pun tidak perlulah, itu sudah menjadi topik utama di atas meja hidangan.

Saya bersyukur kerana Malaysia aman di hari raya ini.

Saya bersyukur kerana keluarga saya masih dapat menyambut hari raya dalam kesederhanaan.
Saya bersyukur kerana dapat menziarahi kubur kedua ibu bapa dan ibu mertua saya.
Saya bersyukur di sebalik episod malang yang berlaku mungkin ada hikmah yang tersembunyi. Saya bersyukur anak-anak saya dapat duit raya dan saya dapat bagi duit raya.
Saya bersyukur dapat melihat anak-anak saya gembira berhari raya.

Saya bersyukur kerana dapat menyambut hari raya bersama isteri tersayang.
Saya bersyukur umat Islam di seluruh dunia dapat beraya walaupun ada yang menghadapi kesukaran seperti saudara kita di Palestin.

Saya bersyukur kerana untuk tahun ketiga berturut-turut saya tidak kena penyakit hari raya. ;)
Saya bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan kepada saya walaupun saya berada dalam kelalaian.


Alhamdulillah, Segala Puji kepadaMu Allah, Tuhan Sekalian Alam.

Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN KARIM

SELAMAT BERPESTA DI BULAN IBADAH INI


PESTA IBADAH


MENGEJAR MALAM TERKANDUNG RAHMAT 1000 BULAN


MEMOHON KEAMPUNAN DAN RAHMAT ALLAH



SEMOGA KITA TIDAK SEKADAR LAPAR DAN DAHAGA

Tuesday, December 9, 2008

Selamat Hari Raya Eiduladha 1429H

Assalamualaikum,

Saya kira masih belum terlambat untuk saya sekeluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eiduladha 1429H. Jika hari raya puasa yang takbirnya tidak sampai 24 jam kita boleh sambut selama sebulan, mengapa tidak hari raya haji yang takbirnya selama 4 hari?

Bagi mereka yang berkorban, semoga ibadah korban anda sampai kepada Allah dengan niat anda yang ikhlas itu. Cumanya saya bosan lagi pada hari raya haji ini. Isi khutbahnya sama sahaja saban tahun. Imbasan semula kisah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihissalam dan keluarga baginda. Tidak ada pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan masyarakat. Nampaknya para penulis khutbah di jabatan agama sana masih tidak peka dengan peluang yang ada ketika hari raya. Sepatutnya ketika hari raya inilah isi khutbah harus lebih mengingatkan kita akan tanggungjawab dan cabaran yang kita hadapi dewasa ini. Mengapa? Khalayaknya lebih luas kerana para muslimat juga rata-rata hadir di masjid atau surau untuk solat hari raya, maka mesejnya lebih sampai dan tepat kepada sasarannya.

Entahlah, sampai bilalah fenomena ini akan berubah. Para khatib pun janganlah terlampau bergantung kepada teks, buatlah penambahbaikan dengan selitkan dua tiga perenggan yang berkaitan dengan isu utama di tempat tinggal masing-masing.

Salam Eiduladha!


Tuesday, October 7, 2008

Selamat Hari Raya Ei'dulfitri 1429H

Assalamualaikum,

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Ei'dulfitri 1429H kepada semua umat Islam. Saya pohon seikhlas hati saya kemaafan di atas segala cacat cela, kesilapan dan kelemahan sepanjang saya mengendalikan blog saya ini. Kepada anda yang setia mengikuti blog saya ini, saya ucapkan ribuan terima kasih. Yang singgah secara tidak sengaja, terus-teruslah membaca blog saya ini.

Aidilfitri tahun ini saya pulang ke kampung isteri saya di Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Sambutannya sederhana sahaja namun tetap meriah. Saya suka menyambut hari raya di sini kerana semangat kekitaan dan persaudaraan masih kuat di sana. Malam hari raya, saya heret anak saya Muhammad Fateh bertakbir dari rumah ke rumah bersama-sama (‘baraan’ istilah jawanya) dengan datuknya. Walaupun tebal juga kulit muka ini dengan telatah nakalnya (berlari keluar masuk rumah ketika orang bertakbir dan sebagainya), namun demi didikan dan pendedahan awal kepada ibadat dan budaya hari raya, saya tahankan sahaja. Sekurang-kurangnya, malam itu dia tahu perbezaan antara azan dan takbir hari raya.

Yang paling membuatkan saya terkilan dan ralat adalah baju raya isteri dan anak-anak saya tidak dapat disiapkan. Saya tidak kisah jika baju raya saya dan isteri tidak siap, masih ada baju raya yang lalu. Namun, anak-anak yang lebih terkesan dengannya. Apabila baju mereka siap pada hari raya kedua, Fateh sibuk memakainya sehari suntuk sampai enggan menanggalkannya dan dibawa ke tidur.

Namun, satu perkara yang paling saya belajar daripada hari raya tahun ini adalah berkenaan konsep pemberian duit raya. Ketika saya dan Fateh berdua sahaja tiba-tiba dia bertanya kepada saya dengan begitu jujur sekali. “Abah, kenapa orang itu tidak bagi duit raya tadi?”

Terdiam saya seketika kerana menyedari saya salah memberi pengertian pemberian duit raya kepadanya. Perlahan saya menjawab dengan penuh berhati-hati dengan harapan dia memahaminya “Tidak semua orang mampu beri duit raya. Kita beraya jumpa orang itu, ucap selamat hari raya dan minta maaf banyak-banyak. Kalau dia bagi duit raya, kita ambillah. Kalau dia tidak bagi, diam sahajalah. Kita tidak boleh meminta-minta. Tidak elok.”

Lama Fateh merenung saya, akhirnya tersenyum dan meneruskan permainannya yang terhenti tadi. Saya berharap sangat Fateh faham dengan konsep ini dan tidak menjadi mata duitan. Selepas ini, saya harus lebih berhati-hati dalam perkara-perkara seperti dengan anak-anak saya.

Apapun, sekali lagi saya ucapkan;

Selamat Hari Raya Ei'dulfitri 1429H, Maaf Zahir dan Batin.

Jangan lupa Puasa Enam, baru boleh raya sebenar-benarnya !

Ikhlas

Abahfateh, Sunardi bin Maulan
Azlina bt Ngatdene
Muhammad Fateh bin Sunardi
Muhammad Faiq bin Sunardi

Monday, August 25, 2008

Perubahan Dalam Hidup Untuk Kebaikan

7 tahun dan 24 hari. Itulah statistik masa menunjukkan lamanya saya di Labuan. Menyedari saya mula berasa selesa, saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat kerja. Dunia baru, cabaran baru. Itulah yang akan saya hadapi dalam hari yang mendatang.

Namun, cabaran yang terbesar adalah untuk memberitahu anak saya, Muhammad Fateh akan hakikat perubahan ini. Apalah yang anak berusia baru 3 tahun ini faham dengan keperluan bapanya untuk bertukar tempat kerja. Soalan "kenapa" tanpa noktah menyebabkan kami, suami isteri sukar menjawabnya kerana kami mahu dia faham kerana tidak mahu mengganggu emosinya.

Cabaran itu mula terasa apabila saya menyuruh Fateh mengucapkan selamat tinggal kepada Labuan sebaik sahaja kapalterbang berlepas. Ucapannya mudah namun mengharukan. "Bye-bye Labuan, nanti Fateh datang semula."

Di KLIA, ketika saya beratur untuk membeli kupon limosin, Fateh melihat-lihat pamplet pelancongan negeri-negeri di Malaysia dan teka pamplet apa yang diambil dan ditunjukkan kepada kami? Pamplet Labuan. Beliau menunjukkan pamplet itu kepada kami sambil menyatakan. "Kita pernah pergi sinikan? Nanti kita pergi lagi ye!"

Kami suami isteri hanya mampu berpandangan. Pagi ini, sebaik beliau bangun tidur pertanyaan-pertanyaan yang berulang seperti dia tidak akan balik ke Labuan, kita sudah berpindah ke Kajang dan sebagainya kembali berkumandang. Itulah kanak-kanak, emosinya sukar difahami dan menarik diikuti. Saya berharap ini adalah sebahagian daripada proses untuk beliau belajar menerima hakikat perubahan hidup yang pasti beliau akan lalui apabila beliau besar kelak.

Apapun, saya kini sudah kembali ke kampung halaman saya, Kajang. Alhamdulillah. Maaflah, jika blog ini baru dikemaskini lantaran kesibukan saya menguruskan semua urusan perpindahan.

Monday, August 18, 2008

Dodol, Dodol! Manisan Hari Raya

Berminat dengan dodol? Ingin makan dodol? Tapi tidak tahu bagaimana memasaknya? Klik di sini untuk maklumat selanjutnya....

Atau baca iklan di bawah sebelum anda klik di sini....



Wednesday, August 13, 2008

Jom Derma Darah

Anda pernah menderma darah? Jika pernah dan selalu menderma, syabas saya ucapkan. Jika anda pernah sekali dan tidak pernah lagi selepas itu, selalu-selalukanlah. Jika anda tidak pernah sama sekali, mulalah berderma darah. Namun, jika anda tidak boleh menderma darah kerana alasan kesihatan, tidak mengapalah.

Setitis darah anda mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

Saya sendiri mula menderma seawal usia 18 tahun. Ketika itu saya seolah-olah diarah oleh Almarhumah Emak saya untuk menderma darah. Katanya, “Bila sudah cukup umur nanti, mendermalah darah.”

Alhamdulillah, selang beberapa minggu selepas harijadi saya yang ke-18, saya menderma darah saya di Kolej Kediaman EON, Universiti Utara Malaysia. Gementar memanglah gementar, namun selepas usai semuanya, semacam ada kepuasan dalam diri ini. Selepas itu, sehingga kini saya pastikan dalam setahun saya menderma darah sekurang-kurangnya dua kali.

Hari ini ada kempen menderma darah yang dianjurkan oleh PETRONAS Wilayah Sabah / WP Labuan. Berduyun-duyun yang datang mengisi borang namun yang dapat menderma darah kurang daripada separuh. Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur ia disebabkan oleh beberapa faktor seperti bilangan hemoglobin yang tidak cukup, tekanan darah tinggi, kurang berat badan dan sebagainya. Itu alasan kesihatan yang boleh kita terima. Namun yang ramainya adalah takut untuk menderma darah.

Alasan seseorang untuk takut menderma darah pun kadang-kadang lucu untuk kita dengar. Yang paling umum takutkan jarum. Ada juga yang punya trauma dengan insiden-insiden tertentu yang masih tidak boleh disingkirkan daripada ingatan. Namun, dalam ramai-ramai orang, rakan saya ini mempunyai alasan kukuh mengapa dia takutkan jarum.

”Saya dulu kerja di kilang membuat jarum. Dari sekecil-kecil jarum sampailah sebesar-besar jarum untuk gajah. Itu yang teringat sampai sekarang.” beritahunya selepas saya galakkan beliau untuk menderma darah. Alhamdulillah, dapat juga 300cc daripadanya.

Rakan saya yang pernah buat jarum untuk gajah
tersenyum lega jarumnya kecil sahaja.

Antara alasan-alasan umum yang lain boleh kita dengar adalah perempuan tidak digalakkan menderma kerana hilang darah setiap bulan, kurus sangat dan takut gemuk. Macam-macamlah alasan kalau tidak mahu itu. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Jangan berdalih lagi. Mari menderma darah. Ramai orang memerlukannya. Suatu hari nanti, jika bukan kita mungkin isteri, anak atau ibubapa kita memerlukan darah untuk menyambung hidup. Sedikit darah yang kita dermakan hari ini mungkin terbalas suatu hari nanti. Jika tidakpun, ada ganjaran menanti daripada Allah Taala kerana ini adalah suatu bentuk sumbangan ataupun sedekah.

Jangan tunggu lagi, jengah-jengahlah mana-mana hospital. Sila klik laman web Pusat Darah Negara untuk maklumat lanjut tentang kenapa dan mengapa kita mesti menderma darah.

Baca juga:

1. Menderma Darah Tanggungjawab kita.
2. Kempen Menderma Darah

Satu Tanggungjawab Sosial oleh Abahfateh.

Sunday, August 3, 2008

Abahfateh Menjadi Chef?

Bagaimana? Saya ada atau tidak ada gaya seorang Chef? Mana ada chef memasak dengan mengenakan baju melayu teluk belanga dan dibantu oleh seorang pembantu chef yang baru berusia 3 tahun. Jika anda ingin tahu hasil adunan saya itu, silalah klik di sini - Blog Selera Malaya yang saya selenggarakan bersama isteri saya tersayang.1

Pernah satu ketika dahulu saya bercita-cita ingin menjadi chef. Saya pun kurang pasti mengapa sedangkan ketika itu chef kurang mendapat publisiti meluas di media seperti hari ini. Mungkin kerana itu, cita-cita itu menjadi kian pudar kerana tidak tahu bagaimana untuk menjadi chef. Apapun, mungkin secara profession saya bukan seorang chef tetapi menjadi seorang chef untuk keluarga sudah memberi kepuasan.

Saya kini sedang belajar-belajar resepi-resepi sihat. Cuba klik di sini juga - Jus Campuran Saleri dan Timun.

Saya juga sedang berkira-kira bagaimana hendak menjadikan minat saya kepada sesuatu yang dapat menghasilkan pendapatan tambahan untuk keluarga saya. Jika kena kira-kiranya, hari raya akan datang akan menjadi pemulanya.

Tunggu....

Thursday, July 24, 2008

Bantal Busuk?

Dua hari ini saya menjalankan program latihan untuk kakitangan syarikat saya. “One manshow”. Penat sangat rasanya. Semalam lebih bertenaga cuma hari ini, tona penyampaian saya menjadi lebih perlahan. Pengajarannya, untuk menjalankan program latihan harus berpasangan untuk kekalkan momentum penyampaian yang berkesan. Masalahnya, saya adalah satu-satunya orang yang sudah dilatih untuk program tersebut. Yang lain masih menunggu program 'TOT' (train the trainer) mereka.


Saya bukannya ingin bercerita ragam peserta latihan saya. Saya ingin bercerita satu benda yang sentiasa saya usung ke sana sini semenjak dua-tiga bulan yang lalu. Benda itu adalah bantal kecil berbentuk kereta milik anak saya, Faiq.

Memang menjadi masalah saya sejak dahulu lagi, saya mudah menggigil di hadapan orang pada awal penyampaian saya. Ketar habis kepala lutut. Dahulu ketika saya aktif berbahas di sekolah dan universiti, 1 minit pertama adalah kritikal kerana saya perlu susun dan sampaikan hujah dengan baik dan juga mengawal kegigilan saya itu, terutamanya di kepala lutut. Bila sudah panas badan, hilang gigil, sudah tidak menjadi masalah lagi.

Kini saya menggunakan bantal kereta itu untuk mengurangkan rasa gementar saya. Malah saya gunakan juga ia sebagai alat bantu mengajar saya. Alhamdulillah berkesan. Siapa sangka, benda sekecil ini boleh menyerap segala rasa gementar saya itu.

Dahulu saya ditegur, kerap berbuat bising dengan membuka dan menutup kembali pen marker ataupun pen kerana gementar. Kini, berdiri sebentar, ramas sekuat hati bantal itu dan saya percaya saya tampak berkeyakinan dalam menyampaikan apa jua ucapan saya. Sementara itu ramai pula yang menegur betapa comelnya bantal itu dan di mana saya dapatkannya.

Maaflah Faiq, Abah ambil buat harta abah pula.

Oh ya, hari ini ulangtahun Muhammad Fateh yang ke-3. Selamat Ulangtahun Fateh. Semoga Fateh menjadi anak yang baik dan soleh. Salam sayang!

Happy 3rd Anniversary Fateh.

Friday, July 18, 2008

Kisah "Datuk Mertuaku"

Saya tidak pernah merasai kasih sayang seorang insan yang bergelar datuk. Kedua-dua datuk saya meninggal dunia sebelum saya dilahirkan lagi. Ketika saya kecil dahulu, kadang-kadang terbit rasa cemburu juga mendengar cerita-cerita kawan-kawan saya dengan datuk mereka. Oleh itu, apabila berkahwin saya menumpang kasih dengan datuk mertua i.e. datuk isteri saya (adakah istilah datuk mertua ini?).

Saya ingin berkongsi satu pengalaman menarik kepada anda semua ketika saya mula-mula bertemu dengan keluarga bakal isteri saya ketika itu. Semoga menjadi panduan kepada anda yang masih bujang dan tidak berpunya lagi atau masih belum berjumpa dengan keluarga bakal isteri anda. Kisah ini berlaku pada Hari Raya Aildifitri tahun 2003.

Pagi itu saya bangun awal, maklumlah hendak berjalan jauh ke Johor dan tiada perancangan ingin bermalam di sana. Kiranya balik harilah. Bersama seorangn kawan, berkeretalah kami ke Batu Pahat. Walaupun sepanjang perjalananan itu kami ngobrol-ngobrol namun dalam minda saya ligat memikirkan jawapan-jawapan kepada soalan-soalan lazim yang bakal dikemukan. Contohnya, latar belakang keluarga, latarbelakang pekerjaan dan juga perancangan masa hadapan. Akhirnya, menjelang tengahari saya tiba di Parit Raja, Batu Pahat. Saya semakin menggelabah, mujur ada kawan menenangkan saya.

Rumah pertama yang kami pergi adalah rumah datuk bakal isteri saya. Kebetulan bakal isteri saya berada di rumah datuknya. Tiba sahaja di sana saya tengok-tengok ada banyak juga kereta. ”Ya Allah, satu kampungkah yang datang?” Hati saya berbisik. Saya semakin tidak keruan. Namun kawalan ’macho’ itu tetap diteruskan.

Saya dijemput naik maka kami pun naiklah dan terus duduk di ruang tamu. Semua orang ada di bahagian bawah rumah. Sesekali terdengar bunyi ketawa mengusik-usik bakal isteri saya itu. Kawan saya sudah tersenyum-senyum lalu berkata dalam loghat utara . ”Kawan, bertenang. Buat biasa sahaja.”

Tiba-tiba kedengaran bunyi papan dipijak. Kelihatan seorang tua berbadan kecil, dibelakangnya adalah bakal isteri saya. Lalu diperkenalkanlah orang tua itu kepada saya. Oh, rupa-rupanya inilah bakal datuk mertua saya. Selepas bersalaman dan bertanya khabar kami pun duduk bersama. Dalam fikiran saya lebih menjurus kepada apakah soalan-soalan cepu emas yang bakal dikemukan.

Kemudian diapun bertanya kepada saya dengan muka yang serius dan pekat telor jawanya. ”Rumah kau di Kajang itu tanah apa?”

Saya betul-betul tidak tahu apa mahu dijawab. Tidak ada dalam ’spot question’ Tanah lotkah? Tanah gambutkah? Habis semua jenis tanah saya sebut, apa yang teringat ketika belajar sains dan geografi dahulu. Habis semua jawapan-jawapan yang saya fikirkan sebelumnya.

Pengajarannya adalah kenal pasti latarbelakang semua bakal-bakal mertua anda. Petanikah mereka atau apa sahaja. Datuk mertua saya itu seorang petani maka ditanyalah tanah apa, apa jenis tanaman yang ditanam di kampung saya di Kajang dan sebagainya yang berkaitan dengan pertanian. Pengajaran keduanya, jadilah diri anda sendiri. Sehingga kini ia masih menjadi kenangan yang segar dan antara perkara yang diceritakan semula antara saya dan isteri saya. Kami akan tertawa semula mengenangkannya.

Namun kini datuk mertua saya itu sudah pulang menghadap Ilahi. Almarhum Datuk Amin telah meninggalkan dunia yang fana ini pada 15 Julai 2008. Al-Fatihah.

Walaupun saya tidak sempat mengenalinya secara sangat rapat, kisah di atas adalah antara kenangan manis antara saya dan Almarhum. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin Ya Rabbal ’Alamin.

Thursday, July 10, 2008

Ahmad Fadzli Menunggu Lima Komen Lagi

Kenapa ‘Ban’ Rancangan Tom Tom Bak?

Tahukah anda, setakat ini, sudah ada beberapa orang yang saya dapati tidak membenarkan anak-anak mereka menonton rancangan Tom Tom Bak di saluran Astro Ceria 611. Klik link ini untuk bacaan seterusnya. Sahabat saya, Ahmad Fadzli Yusof menunggu LIMA lagi pendapat sebelum beliau memberikan pandangannnya.

Monday, June 16, 2008

Selamat Hari Bapa

Anekdot Hari Bapa.

“Fateh, mari sini sebentar.” Ibufaiq memanggil Fateh yang sedang leka menatap buku bergambarnya. Abahfateh yang sedang asyik membaca terhenti bacaannya. Fateh segera pergi. Kelihatan Ibufaiq sedang berbisik sesuatu kepada Fateh, tersenyum-senyum mereka berdua. Kemudian datang Fateh kepada Abahfateh.

“Abah, selamat hari jadi,” ucap Fateh sambil tersengih-sengih kemudian terus berlari ke Ibufaiq dan memeluk ibunya. Meledak ketawa Ibufaiq mendengar.

“Hari jadi Abah lambat lagilah. Hujung tahun ini.” balas Abahfateh sambil tumpang ketawa Ibufaiq.

"Salahlah. Mari sini Ibu ajarkan.” Ibufaiq sekali lagi berbisik kepada Fateh. Fateh datang semula kepada Abahfateh. Tersengih-sengih Fateh melihatkan ayahnya sedang menunggu apa yang bakal diucapkan.

”Abah, selamat hari raya.” bersahaja Fateh mengucapkannya. Terus dia berlari ke ibunya. Terhambur ketawa Abahfateh dan Ibufaiq.

”Amboi, puasa pun belum lagi sudah ucap selamat hari raya.” usik Abahfateh dalam ketawanya.

”Habis itu, apa dia?” rengek Fateh kepada ibunya. Sekali lagi Ibufaiq berbisik. Fateh sekali lagi datang kepada Abahfateh.

”Abah, selamat hari abah”. Ucap Fateh lebih yakin.

”Baru betul begitu.” sambut Ibufaiq mendengar Fateh mengucapkannya dengan betul.

”Terima kasih. Sayang anak abah.” balas Abahfateh sambil memberikan kucupan kepada Fateh.

Catatan Hari Bapa

Masih belum terlambat saya mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa dan bakal-bakal bapa yang berada di luar sana. Semoga anda semua dapat menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kita semua agar mereka akan menjadi insan yang baik dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sekadar pandangan daripada isteri saya. Adakah kita terhad meluahkan rasa sayang dan penghargaan kita kepada insan tersayang pada hari-hari tertentu?

Al-Fatihah kepada ayah saya, ibu saya dan ibubapa kita sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah menemui Yang Esa.

Thursday, April 10, 2008

Aturan Allah itu Sangat Misteri.


Sudah lama saya tidak mengemaskini blog saya. Strategi awal saya sebenarnya apabila blog saya menginjak umur 1 bulan saya ingin berhenti seketika untuk penilaian semula dan menuntut ilmu lebih banyak lagi. Namun, banyak perkara yang berlaku kepada
keluarga saya menyebabkan semua aktiviti yang dirancang terpaksa dibatalkan ataupun ditunda pada saat-saat akhir.

Antaranya, anak kedua saya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru. Kesannya, hajat saya untuk melawat ibu saya yang sakit dan berkumpul bersama keluarga terpaksa dibatalkan. Melayang juga sejumlah wang saya ke AirAsia akibat pembatalan penerbangan saya.

Apapun, saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian ini semua. Aturan Allah itu kadang-kadang tidak tercapai oleh logik akal kita semua. Sangat misteri aturanNya.

Friday, February 29, 2008

Selamat Datang ke Blog Abahfateh : Kisahnya...

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Setelah sekian lamanya saya memendam hajat di hati untuk mempunyai blog sendiri (maksud saya blog yang benar-benar aktif dan bukannya dikemaskini setahun sekali) Pernah ada 2 blog sebelum ini dan hasilnya tak berapa jalan. Akhirnya saya padam dan peram selama-lamanya.

Insya-Allah, saya akan berkongsi apa-apa yang berfaedah untuk anda semua dengan mengkhusus kepada beberapa perkara yang menjadi minat saya.

Cukuplah itu, banyak sangat nanti tak terbuat. Saya cuba untuk update blog saya sekurang-kurangnya 2 minggu sekali. Bebanan tugas harian selalunya menyebabkan saya kurang bermaya untuk buat perkara lain di rumah. Apatah lagi ada orang lain yang lebih memerlukan perhatian saya di rumah.

Selamat Datang, Insya-Allah… Blog Abahfateh akan menyambut hari ulangtahun yang pertama pada 29 Februari 2012.

Eh… jangan lupa jengah blog saya ini semula nanti.

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP