Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Friday, December 4, 2009

Nasib Jawi

Hari ini hari pertama jemaah haji Malaysia pulang ke tanahair. Tahniah saya ucapkan kerana berjaya menjawab panggilan Allah Taala ke bumi Mekah untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima ini. Moga-moga tahun mendatang ini giliran saya pula, Insya-Allah.

Selepas hari raya tempoh hari, saya lihat banyak gambar-gambar korban diambil dan dipaparkan di kebanyakan blog-blog. Saya juga kepingin menangkap gambar ibadah korban namun tidak kesampaian, salah perhitungan. Pulang ke Batu Pahat selepas solat Jumaat dan kebanyakan surau di sekeliling rumah saya menjalankan ibadah korban pada hari Sabtu maka saya sangkakan di kampung isteri saya begitu juga rupanya tidak maka melepaslah saya untuk merakamkan detik-detik ibadah korban itu dijalankan.

Apapun, saya masih sempat merakam beberapa gambar. Gambar yang saya paparkan kini saya namakan "Nasib Jawi" mengenangkan tulisan jawi semakin terpinggir dalam kehidupan kita. Soalan mudah saya, bilakah kali terakhir tuan atau puan membaca atau menulis jawi?


Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.

Kini amnya tulisan jawi terhad penggunaannya di kalangan mereka yang berada di dalam institusi agama Islam seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

Gambar ini diambil di Masjid Jamek Parit Bulat, Muar, Johor.

Sunday, September 27, 2009

Sakit Itu Menggugurkan Dosa-dosa

Mohd Naufal Hadi, 7 tahun sedang dalam proses pemulihan selepas pembedahan penyakit radang usus buntu (acute appendicities). Antara tanda-tanda awal penyakit ini adalah demam panas, loya-loya dan muntah, rasa pedih atau sakit di bahagian perut kanan bawah apabila dipicit, membongkok atau berjalan.Kemajuan dalam sains kesihatan telah menyelamatkan ramai pesakit dan proses pembedahan juga menjadi semakin mudah dan selamat.



Apabila sakit, bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya Allah masih sayangkan kita dan sakit itu adalah 'cubit-cubit' sayang Allah kepada kita yang mungkin lalai untuk menyayangiNya. Maka janganlah kita merungut-rungut apabila sakit baik pesakit atau orang yang menjaganya juga merawatnya kerana itu semua adalah ujian. Semoga Allah memberikan keampunan yang bukan sedikit kepada pesakit dan mereka di sekelilingnya yang mengambil berat kepada kebajikan pesakit tersebut.



“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.” (HR. Bukhari-Muslim)

Monday, June 29, 2009

Kubur Islam Bertaraf 5 Bintang

Ketahuilah hukum mengadakan binaan di atas kubur. Saya selalu merungut melihat kubur-kubur di Malaysia yang punya binaan di atasnya kerana kubur bukan hak mutlak. Jika ingin tunjukkan kasih sayang, doa adalah sebaik-baik cara untuk menyatakan kasih sayang kita.



Di Singapura, binaan kuburnya sudah mencapai taraf 5 bintang. Gambar dan cerita lanjut boleh anda capai di laman blog CINA ISLAM.


Sunday, June 22, 2008

Kisah Datuk Bomoh Melampau


“Lengang sahaja gerai-gerai makanan di sini? Minggu lepas saya datang ke sini saya lihat ramai pelanggan pada waktu begini.” sapa Azmin kepada seorang pelayan yang membawakannya makanan dan minuman yang dipesannya.

”Memang betul pelanggan semakin berkurangan. Mereka lari ke restoran di seberang jalan sana.” balas pelayan tersebut sambil menunjukkan restoran tersebut.

”Sejak restoran itu dibuka, ramai peniaga di sini mengeluh. Pendapatan harian kami semakin berkurangan, ’ sambung pelayan itu tanpa dipinta. Kelihatan wajah kekecewaan di wajahnya. Azmin sekadar merenung restoran itu yang kelihatan tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.

”Saya mesti ajar mereka!” Azam Azmin di dalam hati. Tanpa sedar dia menepuk kuat meja makannya sehingga tertumpah air yang dipesannya tadi.

* * *

”Apa hajat anak datang berjumpa saya?” Datuk Bomoh serius bertanya kepada Azmin yang bersila di hadapannya. Asap kemenyan daripada bekas bara kelihatan berkepul-kepul mengisi ruang di antara mereka.

”Saya mahu Datuk Bomoh jatuhkan perniagaan seseorang.” tegas Azmin tanpa ragu. Tersenyum-senyum Datuk Bomoh itu mendengarnya sambil mengurut-ngurut janggut tebalnya.

”Boleh, pasti boleh. Namun jika anak tidak keberatan, boleh beritahu mengapa anak mahu menjatuhkan perniagaan orang itu?” Datuk Bomoh melanjutkan pertanyaannya. Dipotongnya limau nipis dengan keris usang yang berbalut kain kuning.

Kini giliran Azmin tersenyum. Diperkemaskan silanya lalu membalas, ”Jika perniagaan orang itu ditutup, saya percaya ramai peniaga lain yang lain dapat cari makan Datuk Bomoh.”

Berkerut dahi Datuk Bomoh mendengarnya. ”Anak ini bukan seorang peniaga?”

”Saya bukan peniaga, saya bekerja di sebuah bank di bandar Maharani.” Balas Azmin jujur.

”Jika kamu bukan peniaga, mengapa kamu mahu menjatuhkan perniagaan orang lain? Kamu tidak ada untung apa-apa.” tingkah Datuk Bomoh. Dimasukkan kerisnya ke dalam sarung.

”Begini sebenarnya, saya kasihan melihat peniaga-peniaga makanan di situ. Sejak restoran itu dibuka, pendapatan mereka semakin berkurangan. Saya sekadar ingin menolong mereka melalui Datuk Bomoh.” Balas Azmin cuba menyakinkan Datuk Bomoh.

”Baiklah, kerana niat kamu ingin menolong orang saya akan bantu. Namun ada pengerasnya. Mesti bayar, jika tidak bayar tidak menjadi.” Datuk Bomoh mengingatkan Azmin.

”Tidak ada masalah. Niat saya ikhlas.” Jamin Azmin.

”Baiklah, saya perlukan nama pemilik restoran itu dan nama restoran tersebut.” pinta Tok Bomoh. Dicabutnya keris dari sarungnya , ditaburnya kemenyan. Semerbak bau menerjah deria hidu Azmin.

”Nama pemilik saya tidak pasti namun nama restoran itu saya ingat betul” balas Azmin jujur.

”Jika begitu tidak mengapalah. Beritahu saya nama restoran itu.” Datuk Bomoh bertanya sambil membawakan mukanya dekat dengan muka Azmin.

Azmin membalas, ”Nama restorannya McDonald dan Kentucky Fried Chicken. Boleh?”

Merah padam muka Datuk Bomoh mendengarnya.

* * *

Moral Cerita

  • Jangan percayakan bomoh, pawang atau dukun. Syirik. Salah satu daripada dosa besar.
  • Kalau bomoh itu betul-betul handal, kenapa tidak ada yang berjaya jatuhkan rangkaian restoran besar?
  • Amalkanlah konsept D.U.I.T. (Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal).

Wednesday, April 2, 2008

Boikot Barangan Belanda

Banyak peribahasa atau simpulan bahasa yang mengaitkan dengan Belanda. Contoh yang saya ingat sekarang adalah Paku Belanda. Maksudnya, mereka yang sangat kedekut. Pendek kata, sangat negatif maksudnya untuk apa sahaja yang dikaitkan dengan Belanda.

Tayangan filem FITNA benar-benar mencabar kesabaran kita. Maruah Islam dipijak-pijak buat kesekian kalinya. Sudahlah masalah sesama kita tidak selesai-selesai, kini golongan kuffar ini cuba untuk mencemarkan maruah Islam.


AYUH KITA BOIKOT BARANGAN DARI BELANDA!

Bagaimana? Jangan beli barangan mereka. Jika sudah terbeli janganlah dibuang pula, membazir pula. Untuk mendapatkan senarai syarikat Belanda yang ada di Malaysia apa kata lawat blog DrAzwan atau Persatuan Pengguna Islam. Sambil-sambil itu, ambillah masa sedikit membaca label maklumat barangan, ambil tahu dari mana syarikat pengeluar barangan tersebut.

Ini jihad kita. Jika saya ajak saudara saudari semua berperang dengan mereka, mungkin tidak terjangkau oleh kita lagi pada saat ini. Kita mulakan dengan ini. Analoginya mudah, bayangkan jika majikan kita umumkan pemotongan gaji sebanyak 50%!

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP