Showing posts with label peribadi abahfateh. Show all posts
Showing posts with label peribadi abahfateh. Show all posts

Tuesday, July 27, 2010

Bertukar Link

Pembaca budiman,

Saya bertukar link ke : www.sunardimaulan.blogspot.com

Jumpa semua di sana.

Saturday, January 16, 2010

Menggapai Awan Nan Tinggi



Ramai yang menyangka, menaikkan layang-layang lalu terbang tinggi di awan semudah mengukir mimpi di malam hari.

Rupa-rupanya tanpa ilmu, tunjuk ajar dan layang-layang yang baik, bukannya langit yang dicabar, bukannya angin yang ditentang tetapi turun laju menyembah tanah.

Begitulah aku, aku ingin segala layang-layang mimpiku menjadi nyata dengan petunjuk yang benar, dari Allah dan dari mereka yang berilmu.

Monday, January 4, 2010

Muhammad Fateh bersekolah

Muhammad Fateh, hari pertama ke tadika dengan botol susunya yang masih belum mampu dilepaskannya lagi.

Hari ini, 4 Januari 2010 anak sulung saya Muhammad Fateh memulakan sesi tadika pada usianya 5 tahun. Beliau saya hantar ke Tadika Seri Atun, Prima Saujana, Kajang yang mengambil modul Little Caliph atas pilihannya sendiri selepas hampir 2 bulan membawanya ke sana-sini melihat sendiri 'sekolah'nya.

Tadika yang bermediumkan Bahasa Melayu dan Inggeris ini dan berteraskan Islam ini saya harapkan dapat menjadi permulaan ke arah pembentukannya menjadi seorang muslim yang cemerlang dunia dan ukhrawi. Apa yang saya dan isteri memilih juga tadika ini adalah kerana pengajarannya adalah berdasarkan perkembangan dan kemajuan anak itu sendiri dan ia melibatkan ibubapa. Ini bermakna, soal mendidik dan mengajar anak-anak itu dipikul oleh ibubapa dan guru sendiri, satu konsep yang saya ingin lihat terjelma pada sistem pendidikan kita secara keseluruhannya. Di samping itu pastinya suasana pendidikan Islam saya kira akan dapat memberikan asas agama yang baik di sini.

Pagi ini, saya menghantarnya ke tadikanya tetapi prosesnya bermula dari malam sebelumnya dengan menyuruhnya tidur awal, proses membangunkannya dan seterusnya melayan segala kerenahnya (bayangkan beliau meminta saya mendukungnya ke bilik air yang hanya 2-3 langkah sahaja dari katilnya). Apapun itulah kenangan yang akan dikenang sampai ke mati.

Tanpa sedar, air mata ini menitis ketika kelibatnya menghilang daripada pandangan mata kerana anak yang dahulunya cuma sepanjang lengan saya kini sudah melangkah ke satu dunia baru. Selamat berjaya anakku, Muhammad Fateh. Semoga engkau menjadi anak yang beriman dan menjadi contoh kepada umat seperti Sultan Muhammad Al-Fateh yang Abah namakan bersempenanya dengannya.


Mengabdikan kenangan bersama ibu dan adik tersayang.

Saturday, September 26, 2009

Kisah Hari Raya Aidilfitri

Kisah 1 : Selamat Hari Raya Eidulfitri 1430 Hijrah, Maaf Zahir dan Batin.


Jika di Negara Arab ucapan saya ini mungkin sudah tidak laku lagi namun memandangkan masyarakat Malaysia beraya selama sebulan maka saya kira masih belum terlewat saya melontarkan ucapan selamat ini.

Terima kasih kepada saudara mara dan rakan-rakan yang menghantar ucapan selamat hari raya kepada kami sekeluarga melalui SMS terutamanya. Tidak terbalas saya segala ucapan tersebut (memang tidak pernah membalasnya pun. Hehehe)


Jika ada salah dan silap sepanjang penulisan saya di dalam entri-entri sebelum ini saya pohon kemaafan kerana mungkin ketika itu saya menulis mengikut hati bukan akal yang dikurniakan Allah.

Ikhlas daripada saya,
Sunardi Maulan
Azlina Ngatdene

Muhammad Fateh
Muhammad Faiq
Fildzah Miza

Kisah 2 : Faiq Kemalangan di Hari Raya Pertama



Pada hari raya pertama ketika kami sedang bersiap-siap di rumah makcik saya di Hulu Langat untuk pulang ke kampung isteri saya di Johor anak saya, Faiq, jatuh di bilik air dan bahagian belakang kepalanya terhentak di bucu bilik air. Bunyi jatuhnya dapat saya dengar dengan jelasnya dari ruang hadapan rumah makcik saya itu. Jeritan dan tangisan anak saya itu pula dapat didengari sehingga rumah pakcik saya yang terletak kurang 50 meter. Kalut juga saya melihat darah yang mengalir keluar dengan banyaknya, kredit kepada isteri saya yang tenang menangani keadaan.

Dari Batu 18 1/2 , Hulu Langat sehingga ke Kajang puas kami mencari klinik untuk pemeriksaan lanjut namun semua klinik termasuklah yang tertulis Klinik 24 jam tutup. Akhirnya kami ke Unit Kecemasan sebuah hospital swasta di Kajang. Alhamdulillah layanan dan rawatan yang diberikan sangat cekap apatah lagi untuk menangani kerenah Faiq yang tidak mahu diapa-apakan itu. Daripada maklumat yang kakitangan Unit Kecemasan tersebut berikan, sebelum kami sudah ada beberapa kes serupa yang mereka terima. Mungkin kerana terlampau seronok atau terlampau letih yang menyebabkan ibu bapa alpa dan terlepas pandang dalam menjaga anak-anak mereka. Sehingga hari ini, Alhamdulillah keadaan Faiq baik dan luka di kepalanya sudah beransur pulih.
Rancangan kami untuk pulang ke Johor pada hari raya pertama tertangguh ke keesokan harinya. Saya ingin berkongsi sedikit tips untuk berhadapan dengan kes-kes sebegini kerana malang tidak berbau.

Rawatan


Rawatan yang diperlukan bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan.
Jika kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan kecil misalnya calar dan terseliuh, tekap kawasan cedera dengan air batu. Berikan anak anda ubat air penahan sakit (paracetamol) untuk mengurangkan kesakitan. Rehatkan kawasan cedera.

  • Jika anak anda mendapat luka, cuci dengan air, tekap kawasan cedera dengan ibu jari untuk beberapa minit untuk memberhentikan darah mengalir dan rehatkan. Balut dengan kain bersih.
  • Jika anda mengesyaki tulang anak anda patah, balutkan dengan selimut, kain yang tebal atau bantal untuk menghalang pergerakkan. Gunakan kain untuk menggantung tulang yang patah pada anggota badan yang atas.
  • Periksa kawasan balutan untuk pastikan pergerakan darah yang normal. Jika kulit menjadi sejuk atau berubah warna, longgarkan balutan.
  • Jika anda mengesyaki anak anda cedera serius, sila dapatkan bantuan doktor.
(sumber dari http://www.myhealth.gov.my)

Kisah 3 : Kisah-kisah Lain

Tidak banyak kisah menarik yang dapat saya kongsikan. Setakat cerita ziarah rumah saudara mara tidak perlulah. Cerita jalanraya yang sesak terutamanya di pekan-pekan kecil pun tidak perlulah, itu sudah menjadi topik utama di atas meja hidangan.

Saya bersyukur kerana Malaysia aman di hari raya ini.

Saya bersyukur kerana keluarga saya masih dapat menyambut hari raya dalam kesederhanaan.
Saya bersyukur kerana dapat menziarahi kubur kedua ibu bapa dan ibu mertua saya.
Saya bersyukur di sebalik episod malang yang berlaku mungkin ada hikmah yang tersembunyi. Saya bersyukur anak-anak saya dapat duit raya dan saya dapat bagi duit raya.
Saya bersyukur dapat melihat anak-anak saya gembira berhari raya.

Saya bersyukur kerana dapat menyambut hari raya bersama isteri tersayang.
Saya bersyukur umat Islam di seluruh dunia dapat beraya walaupun ada yang menghadapi kesukaran seperti saudara kita di Palestin.

Saya bersyukur kerana untuk tahun ketiga berturut-turut saya tidak kena penyakit hari raya. ;)
Saya bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan kepada saya walaupun saya berada dalam kelalaian.


Alhamdulillah, Segala Puji kepadaMu Allah, Tuhan Sekalian Alam.

Sunday, September 13, 2009

Permainan Rubik Yang Mencabar Minda

Anda pernah mencuba menyelesaikan permainan rubik? Saya secara peribadi tidak pernah dapat menyelesaikannya, rekod terbaik saya adalah dua permukaan sahaja. Menurut Wikipedia, pengenalannya kepada rubik adalah seperti berikut;

"The Rubik's Cube is a 3-D mechanical puzzle invented in 1974 by Hungarian sculptor and professor of architecture Ernő Rubik. Originally called the "Magic Cube", the puzzle was licensed by Rubik to be sold by Ideal Toys in 1980 and won the German Game of the Year special award for Best Puzzle that year. As of January 2009, 350 million cubes have sold worldwide making it the world's top-selling puzzle game. It is widely considered to be the world's best-selling toy.

In a classic Rubik's Cube, each of the six faces is covered by 9 stickers, among six solid colours (traditionally white, red, blue, orange, green, and yellow).A pivot mechanism enables each face to turn independently, thus mixing up the colours. For the puzzle to be solved, each face must be a solid colour. Similar puzzles have now been produced with various numbers of stickers, not all of them by Rubik. The original 3×3×3 version celebrated its twenty-fifth anniversary in 2005."



Gambar di atas, adalah Adik Muhammad Hafz Hadi, 14 tahun yang merupakan pakar rubik dalam keluarga saya. Beliau adalah anak kepada abang sulung saya dan kini sedang menuntut di sebuah Sekolah Menengah Agama di daerah Hulu Langat.

Saya menyedari beliau mula bermain rubik enam bulan yang lalu. Rekodnya adalah seperti berikut:

Rubik 2x2x2 = 17 saat
Rubik 3x3x3 = 25 saat
Rubik 4x4x4 = 37 saat
Rubik 5x5x5 = 15 minit

Rubik yang dipegangnya adalah rubik 5x5x5 dan ketika gambar ini diambil beliau baru sahaja menghabiskannya sambil matanya leka menonton televisyen. Itulah kebolehannya dan saya harap apa yang beliau ada dapat melatih dan menajamkan lagi fikiran dan daya intelektualnya.

Rekod dunia kini dipegang oleh Erik Akkersdik dari Belanda yang berjaya menyelesaikan rubik 3x3x3 dalam masa 7.08 saat pada Terbuka Chez 2008. Pembaca sekalian boleh menyaksikannya di capaian ini.


Wednesday, September 9, 2009

Ikhlas Itu Dari Hati


Saya baru belajar, belajar mengambil foto dengan cara yang betul. Saya ingin hasilkan gambar-gambar yang memberi impak baik dalam kehidupan peribadi saya mahupun kepada masyarakat.

Foto di atas adalah gambar anak-anak saya dengan pakcik kecil mereka ketika pulang ke kampung tempoh hari. Saya gemarkan foto anak-anak kecil kerana wajah dan cahaya mata mereka ikhlas, tidak ada kepura-puraan.


Alangkah indahnya sekiranya kita meningkat dewasa namun hati kita suci dan ikhlas seperti anak-anak kecil ini.

Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN KARIM

SELAMAT BERPESTA DI BULAN IBADAH INI


PESTA IBADAH


MENGEJAR MALAM TERKANDUNG RAHMAT 1000 BULAN


MEMOHON KEAMPUNAN DAN RAHMAT ALLAH



SEMOGA KITA TIDAK SEKADAR LAPAR DAN DAHAGA

Sunday, June 21, 2009

Anak Itu Harta

Kedua-dua anak saya ini, Muhammad Fateh (kanan) dan Muhammad Faiq kini sudah bergelar abang. Alhamdulillah anak ketiga saya telah selamat dilahirkan pada 22hb Mei 2009 yang lalu.


Maka, hari ini genap sebulanlah anak ketiga saya itu. Orang-orang tua kata masih di dalam hari. Ibunya masih berpantang maka aktiviti kami tiada apa-apa, begitu-begitu sahajalah apatah lagi isteri dan anak-anak saya kini menghabiskan masa di kampung ibunya di Batu Pahat. Saya pula bergelar 'weekly husband', hanya seminggu sekali dapat bertemu dengan anak-anak.

Syukur kerana hajat saya inginkan anak perempuan tercapai juga. Saya berangan-angan sebenarnya untuk mendapatkan anak sulung perempuan. Kedua dan ketiga biarlah lelaki dan yang bongsu perempuan. Kenapa?

Sulung biarlah perempuan kerana biarlah dia dapat membantu ibunya sedikit sebanyak apabila besar kelak disamping biasanya adik-adik lebih mendengar cakap kakak daripada abang. Kedua dan ketiga biarlah lelaki kerana mereka akan membantu bapanya dan juga ibu dan kakaknya. Mereka juga akan belajar menjadi lelaki budiman kerana belajar erti sopan santun dan budi bahasa dri ibu dan kakak mereka. Manakala yang bongsu biarlah perempuan kerana biarlah kemanjaan dan keletahnya dapat menemani kami di hari tua kelak. Ini semua pendapat saya semata-mata , tidak ada sebarang kajian yang terbukti benar di atas semua andaian ini. Tetapi kita hanya merancang dan Allah sahaja yang menentukan semuanya.

Itu semua hanya angan-angan sahaja. Yang lebih utama adalah mereka semua diberikan pendidikan yang secukupnya, dunia dan akhirat terutamanya. Semoga mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Maka dalam banyak-banyak ucapan ataupun pertanyaan, pertanyaan ringkas daripada sepupu saya yang paling menyentuh hati adalah, "Sudah tambah Jundullah*?" Insya-Allah, mereka akan menjadi penegak agama Allah.

Fildzah Miza, selamat datang ke dunia yang fana ini.



* Jundullah = Tentera Allah

Tuesday, June 2, 2009

Dalam Proses Kemunculan Semula

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sukacita saya maklumkan bahawa blog ini akan kembali aktif tidak lama lagi. Insya-Allah dalam tempoh seminggu dua ini.

Kepada mereka yang rajin masuk ke dalam blog saya ini untuk meninjau samada saya sudah aktif atau belum saya ucapkan terima kasih. Insya-Allah saya tidak akan menghampakan anda semua.

Tunggu saya.

Wassalam.

Monday, April 20, 2009

Berundur Seketika Melihat Jalan Di Hadapan


Perkembangan saya kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini. Blog ini semakin jarang saya kemaskini malahan saya juga sudah jarang-jarang menjenguk ke blog rakan-rakan yang lain. Meninggalkan komentar pula jauh sekali.

Entahlah, bukan kepada blog semata-mata, aspek kehidupan saya juga terkesan dengan apa yang saya alami kini. Saya sendiri kurang pasti apa faktornya. 'Middle Age Crisis'? Oho, masih jauh lagi saya fikir. Entahlah, mungkin banyak perkara saya fikirkan sekarang ini. Daripada hal kelahiran anak ketiga saya bulan hadapan sehinggalah banyak perkara-perkara yang belum usai lagi. Cumanya saya sedar bahawa kebelakangan ini saya menyimpan banyak impian. Cita-cita yang realistik sebenarnya namun terlupa Allah hanya memberi saya tulang empat kerat sahaja dan satu otak sahaja. Saya perlu berundur seketika sehinggalah saya dapat selesaikan satu persatu apa yang mengganggu saya selama ini.

Saya seperti anak saya ini, punya cita-cita dan impian yang banyak. Bezanya anak saya ini, Muhammad Faiq perlu belajar lebih banyak perkara dan mengalami pengalaman pahit manis yang pertama kali untuknya seperti jatuh basikal. Saya pula sudah punya banyak pengalaman dan kerana itu saya rasa saya boleh lakukan semuanya. Sangkaan saya itu silap rupa-rupanya, saya juga seperti anak kecil perlu banyak belajar pelbagai perkara. Sebagai lelaki bijak (maaf, masuk bakul sekali-sekala), saya kira saya berundur setapak ke belakang untuk melihat apakah perkara yang perlu saya dahulukan dan minat. Insya-Allah, saya akan kembali selepas penjenamaan semula...

Selamat tinggal dunia blog, saya undurkan diri saya sementara cuma mencari sesuatu yang mungkin saya cicirkan dan tidak sedari selama ini.

Friday, April 3, 2009

Mengimbau Kenangan di Bumi Wakafan.

Dari tahun 1994 sehingga 1995, saya menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor (KISAS) . Sesetengah rakan saya sehingga tahun 1997, kebanyakan mereka punya iltizam yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke Timur Tengah, Alhamdulillah.


Sudah 14 tahun saya tidak menjenguk sana betul-betul. Kali terakhir saya lalu, masuk dan pusing-pusing sebentar adalah pada satu petang minggu pada tahun 2005. Hari ini saya dan sahabat masuk dan berjumpa dengan guru-guru lama yang masih ada. Alhamdulillah, terima kasih kepada guru-guru saya samada mereka mengajar saya ataupun tidak di atas segala tunjuk ajar yang menjangkaui tuntutan ilmu dunia semata-mata.


KISAS telah banyak berubah terutamanya daripada segi fizikal. Namun satu soalan yang saya diajukan kepada saya oleh seorang pelajar menyebabkan sukar saya menjawabnya iaitu suasana KISAS pada era saya dan era sekarang. Saya baru kembali dan amatlah tidak adil saya memberikan penilaian dengan pemerhatian sekadar dua tiga jam. Namun memang itulah soalan yang saya kira cukup popular diajukan oleh mana-mana pelajar KISAS dari satu generasi kepada generasi yang lain.



Warisan Keluarga Kesultanan Selangor yang wajar dipelihara, kini dalam perhatian untuk baik pulih.



Insya-Allah, jika tiada aral melintang satu majlis pertemuan semula akan dapat diadakan pada bulan Ogos ini.


Beristiqamahlah Dengan Apa Yang Telah Diperintahkan!




Wednesday, March 4, 2009

Gerakan Memansuhkan PPSMI

Saya menyokong gerakan anti-PPSMI. Bukan kerana saya berat kepada mana-mana pihak tatapi berdasarkan pengalaman saya sendiri. Zaman saya belajar tidak ada PPSMI dan satu-satunya masa saya mendengar istilah Inggeris adalah ketika kelas Bahasa Inggeris.

Namun kerana Bahasa Inggerislah saya pernah mengalami rasa rendah diri yang sangat teruk. Bukan mudah saya hendak mengatasinya dan ia mengambil masa yang panjang kerana ia bukannya mengenai memperbaiki penguasaan bahasa semata-mata tetapi mengembalikan keyakinan diri saya.

Ia bermula ketika saya bersekolah rendah. Saya pernah teruk diketawakan oleh guru bahasa Inggeris saya dan sebahagian rakan-rakan saya yang baik bahasa Inggerisnya gara-gara saya gagal menggunakan ‘preposition’ pada tempat yang betul. Kesan daripada peristiwa itu, saya tidak ambil peduli tentang pembelajaran bahasa Inggeris sehinggalah saya berada di dalam darjah enam kerana guru yang mengajar tidak memandang rendah pelajar yang lemah bahasa Inggerisnya seperti saya. Namun rakan-rakan saya yang mentertawakan saya dahulu tidak pernah menolong saya memperbaiki bahasa Inggeris saya malahan secara sinis memberitahu saya, “Bukankah ada empat pilihan jawapan? Mana-mana jawapan yang sedap bunyinya itulah jawapannya.” Dengan tip mudah yang mereka berikan saya peroleh B untuk Bahasa Inggeris dalam UPSR saya.

Melangkah ke pendidikan menengah juga bukan mudah. Oleh kerana saya belajar di SMKA, perlu belajar 3 bahasa, Bahasa Melayu (saya memang tertunggu-tunggu kelas ini walau segarang manapun gurunya), Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Pergaulan saya dengan rakan-rakan yang tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada saya dalam Bahasa Inggeris benar-benar memberi kesan kepada saya. Alhamdulillah, guru-guru saya juga baik pengajarannya. Walaupun daripada segi pencapaian gred mungkin sederhana tetapi saya tahu saya telah memperbaiki penguasaan saya. Ketika di menengah atas, saya bersyukur kerana lebih ramai rakan yang sudi memberi tunjuk ajar di samping bimbingan guru yang berterusan. Ketika di tingkatan limalah, saya mula berani membuat pengucapan awam dalam bahasa Inggeris. Bayangkanlah, saya perlukan lima tahun untuk mengumpul kekuatan untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. Saya memperoleh A dalam PMR dan C3 dalam SPM. Alhamdulillah, saya tidak pernah menyesal dengan keputusan tersebut.

Di alam universiti, Allah seolah-olah menguji saya dengan terpilihnya saya dalam Jawatankuasa Pelajar dalam Bahasa Inggeris ketika di matrikulasi. Masih saya ingat betapa gagapnya saya berbual dalam bahasa Inggeris dengan rakan-rakan dan guru-guru bahasa Inggeris. Namun daripada situlah saya seolah-olah mendapat lonjakan semanngat untuk terus memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris saya.

Ketika saya di dalam tahun pertama sehinggalah tahun akhir, salah satu bentuk bantuan yang rakan-rakan saya akan minta adalah menterjemahkan artikel-artikel bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Mereka yang meminta bantuan sebegini rata-ratanya adalah pelajar yang berasal dari luar bandar dan majoriti mereka adalah dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bukannya mudah kerana saya juga bergelut dengan istilah-istilah IT dalam bahasa Inggeris yang perlu saya fahami inikan pula untuk menterjemahkan artikel-artikel ekonomi, pengurusan perakaunan dan sebagainya. Namun, mengenangkan saya juga pernah berada dalam situasi mereka saya tolong juga dan sekiranya kurang pasti saya juga akan merujuk rakan-rakan saya yang lebih arif. Secara tidak langsung, ia menjadi sebahagian daripada proses pengukuhan Bahasa Inggeris saya.

Tamat pengajian, saya dipanggil oleh penaja saya untuk mengikuti kursus khas pembelajaran insentif Bahasa Inggeris selama sebulan. Di dalam kursus tersebut, saya berasa bodoh sekali. Ujian penilaian awal menunjukkan penguasaan Bahasa Inggeris saya sangat lemah. Namun, pembelajaran Bahasa Inggeris yang interaktif cara pembelajaran yang baru dan segar (lari daripada sistem pembelajaran konvensional) dan galakan yang berterusan membuatkan saya melalui satu proses pembelajaran semula yang benar-benar telah membawa saya ke tahap yang lebih baik lagi. Bayangkanlah anak-anak Melayu bercakap bahasa Inggeris ketika sedang enak-enak makan keropok lekor rebus panas.

Kini, saya sudah bekerja di sebuah syarikat GLC. Sebagai sebuah syarikat yang beroperasi di peringkat antarabangsa, Bahasa Inggeris adalah penting sebagai bahasa komunikasi dan perdagangan walaupun jauh di sudut hati saya berasa sedih kerana Bahasa Melayu seolah-olah terpingir dan ia pernah menjadi ’lingua-franca’ ketika Melaka sedang meniti zaman kegemilangannya.

Alhamdulillah, penguasaan Bahasa Inggeris saya baik walaupun tidak sefasih seperti kebanyakan orang yang apabila bercakap keluar telor Amerika, Inggeris ataupun Australianya, cukuplah saya dengan telor Malaysia saya. Bagi saya asalkan tujuan komunikasi itu tercapai cukuplah. Yang penting adalah mesej yang ingin saya sampaikan adaalah betul dan difahami dengan tepat.

Oleh itu tidak dapat saya bayangkan bagaimana agaknya berapa ramai anak-anak Malaysia yang kini bukan sahaja bergelut untuk menguasai Bahasa Inggeris malahan Sains dan Matematik. Jika mereka mengalami nasib seperti saya tidak dapat saya bayangkan rasa rendah diri mereka baik di bandar mahupun luar bandar apabila membandingkan diri mereka dengan rakan-rakan lain yang baik Bahasa Inggeris.

Dalam isu ini, PPSMI bukanlah ubatnya untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris tetapi kaedah peyampaian Bahasa Inggeris itu sendiri. Guru-guru perlulah lebih kreatif dalam mengajar Bahasa Inggeris itu. Bagaimana? Saya kira ada orang yang lebih mahir dan pakar dalam bidang ini.

Saya tidak pernah cemburu dengan mereka yang hebat Bahasa Inggerisnya malah mengagumi mereka namun saya tidak mahu PPSMI diteruskan kerana Bahasa Melayu tidak akan dilihat sebagai bahasa ilmu yang mampu membijakkan anak bangsanya.

Inilah pengalaman peribadi saya yang menjadi salah satu sebab saya anti-PPSMI bukan anti bahasa Inggeris. Cukup-cukuplah saya berjumpa dengan anak Melayu yang kelu lidahnya berbahasa Melayu dan malu bertutur dalam bahasa ibundanya. Saya seorang bapa juga tidak mahu anak-anak saya hanya tahu bertutur satu bahasa sahaja maka guru sahaja tidak cukup, ibu bapa juga mesti merangsang anak-anak mereka. Daripada pembacaan saya, bahasa ibunda harus diberikan kepada anak-anak kecil sehingga usia 4 tahun dan selepas itu barulah boleh diajar bahasa kedua.

Mungkin saya dahulu belajar Bahasa Inggeris sekadar untuk lulus dalam peperiksaan namun mungkin keadaan itu sudah terbalik sekarang di kalangan anak-anak kita.

Saturday, January 31, 2009

Kisah Upih Pinang

Bidalan Melayu ada menyebut, tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain. Memang benar kata bidalan itu kerana saya percaya ramai di antara kita yang tidak boleh melupakan tempat kita dibesarkan dahulu. Bukan sekadar tempatnya malahan mungkin apa sahaja alatan mainan yang kita gunakan dahulu masih dapat kita bayangkan sehingga ke hari ini. Untuk generasi Y, jika anda membayangkan permainan itu adalah konsol video permainan anda ataupun sekurang-kurangnya haiwan peliharaan elektronik anda maka saya sarankan anda terus membaca perenggan berikutnya.


Ketika saya di kampung isteri saya tempoh hari tatkala saya sedang duduk-duduk sambil mengawasi anak-anak saya bermain tiba-tiba pandangan saya menangkap sepelepah pinang elok terletak di atas tanah di pinggir perdu pokok pinang. Maka saya ambil pelepah pinang tersebut dan melurus-luruskan upih pinang tersebut. Selepas berpuas hati dengan keadaan upih pinang itu saya panggil anak saya, Fateh lalu menyuruhnya duduk di atas upih pinang tersebut.


Pada mulanya dia agak ragu-ragu dengan arahan saya itu namun selepas meyakinkan dia bahawa dia akan mengalami keseronokan yang dia tidak pernah alami sebelum ini maka dia pun duduk di atas upih pinang tersebut. Benar kata saya, selepas itu hanya gelak ketawa yang mengisi ruang kami di bawah pokok di hadapan rumah kampung itu. Kemudian anak kedua saya pula mengambil gilirannya dan selepas itu kedua-dua anak saya saya tarik di dalam bulatan kecil. Sesekali mereka terguling-guling di atas tanah kerana gagal mengawal keseimbangan mereka. Apapun itu adalah antara saat yang menggembirakan buat saya, isteri dan anak-anak pada hari itu .



Saat Fateh berasa cuak untuk duduk di atas upih pinang tersebut.

Itulah permainan tarik upih pinang. Hanya bermodalkan upih pinang kering kami sekeluarga mendapat kegembiraan pada hari tersebut. Tidak perlu membeli konsol permainan video, melawat kompleks beli belah dan sebagainya yang saya kira melibatkan kos yang cukup tinggi juga. Itu baru tarik upih pinang, ada banyak lagi permainan tradisional yang kian dilupakan oleh generasi kini. Entahlah, adakah generasi sekarang terutamanya yang duduk di bandar-bandar besar masih bermain galah panjang, baling selipar atau tin, guli, teng-teng, konda kundi ataupun bermain lompat getah?


Indahnya permainan tradisional ini adalah kerana kita tidak boleh memainkannya seorang diri, kita perlukan sekumpulan orang untuk memainkannya. Secara tidak langsung ini akan dapat mengeratkan lagi perhubungan di antara satu sama lain. Bukan sahaja di kalangan anak-anak tetapi juga ibubapa. Begitu unik masyarakat Melayu dahulu kerana dengan permainan sahaja ia dapat alat perpaduan masyarakat. Dewasa ini sangat menyedihkan melihat anak-anak sekarang yang terperap dengan dunia internet mereka, asyik dengan konsol permainan video ataupun terpaku di hadapan televisyen sehingga lupa untuk menjalin hubungan dengan yang lain dan terbentuklah satu masyarakat ataupun generasi yang bersifat bagaikan enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.


Berbalik kepada upih pinang tadi, tahukah anda bahawa seebelum teknologi polimer (plastik) ditemui, upihlah yang digunakan oleh datuk nenek kita untuk menimba air daripada perigi. Selain itu, upih juga digunakan untuk membungkus makanan. Sepengetahuan saya, makanan yang dibungkus upih dapat mengekalkan kepanasan makanan tersebut disamping memberikan bau yang harum. Di Johor, sesetengah pengusaha dodol membungkus dodol mereka menggunakan upih, dodol anda memang wangi baunya dan tidak mudah tengik.


Itulah kisahnya upih pinang yang memberikan pelbagai kegunaan kepada kita. Sayangnya, kita kadang kala tidak kenal yang mana pelepah pinang, yang mana pelepah kelapa. Saya pernah lihat sekumpulan dewasa bermain tarik pelepah kelapa bukannya pelepah pinang, Hendak digelakkan kasihan rasanya. Simpan sahajalah di dalam hati.



Fateh dan Faiq sedang gelak-gelak di atas upih pinang
tanpa mengetahui abah mereka sudah keletihan menarik mereka berdua.


Monday, January 26, 2009

Gerhana dan Rancangan Serangan Ke Atas Israel

Hari ini bukan sahaja hari pertama sambutan Tahun Baru Cina, tetapi hari ini juga berlakunya peristiwa alam semulajadi yang perlu kita sama-sama hayati dan fikirkan akan kebesaran Allah iaitu gerhana matahari. Bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain, kami menyaksikan kebesaran Allah ini. Maha Suci Allah.



Topeng pengimpal yang digunakan untuk mencerap gerhana matahari.

Usai gerhana matahari, kami menjalani latihan tembakan meriam untuk menyerang balas tentera-tentera zionis. Latihan ini diketuai oleh seorang guru dan disertai oleh bapa-bapa di kampung ini. Anak-anak menjadi pemerhati. Sasaran kami ialah pejabat Perdana Menteri negara haram Israel.


Sebenarnya kami bermain roket tekanan angin yang dibawakan oleh pakcik saya dari Johor Baharu. Saya kira niat asalnya untuk menunjukkannya kepada anak-anak saudaranya yang lain agar timbul minat untuk belajar sains. Namun, ia berakhir dengan bapa-bapa kepada anak saudaranya yang bermain. Seronok juga sambil menyegarkan kembali pengetahuan saya mengenai sains seperti daya tujahan halaju dan sebagainya. Mungkin ini sebenarnya cara yang paling berkesan untuk mendidik anak-anak kita meminati sains dan matematik. Ini tidak, diajarnya dalam bahasa Inggeris, sudahlah minat terhadap sains dan matematik kurang, bahasa Inggeris pun lemah akhirnya yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran.


Saya tunjukkan beberapa keping gambar untuk pembaca sekalian. Amaran, ia harus dimainkan di kawasan lapang.




Akhirnya dilancarkan roket. Ada yang singgah di atap rumah malahan mendarat di dalam parit.

Tuesday, January 13, 2009

Apabila Keikhlasan Dinilai.


Sebak sungguh di hati ini apabila melihat wajah anak-anak Palestin yang tidak tahu apa-apa dengan konflik di sekeliling mereka menjadi korban kekejaman tentera negara haram Israel. Hampir menitis air mata ini apabila saya mengantikan wajah anak-anak itu dengan wajah anak-anak saya. Jeritan dan rengekan sakit mereka saya gantikan dengan suara anak-anak saya menyebabkan saya tidak mampu lagi untuk melihatnya.


Sememangnya konflik Palestin dan Israel memang satu konflik yang cukup lama. Sejarahnya cukup panjang. Ia bukan sekadar pencerobohan atau penjarahan kuasa asing ke bumi Palestin yang berlaku lebih kurang 60 tahun dahulu tetapi ia berakar umbi daripada zaman dahulu kala, ketika zaman Nabi Musa sehinggalah ke Utusan Akhir Zaman, Nabi Muhammad.


Perbualan saya dengan seseorang lewat petang tadi cukup membuatkan saya termenung panjang dengan keimanan yang kita miliki pada hari ini. Rintihannya akan betapa nipisnya iman yang dia miliki sehinggakan tidak mampu berbuat seperti apa yang telah ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah membuatkan saya juga terfikir nilai iman yang ada pada diri ini.


Tersangatlah jauhnya jika kita membandingkan diri kita ini dengan Saidina Usman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mahupun isteri baginda Saidatina Khadijah yang sanggup memberikan semuan harta mereka untuk perjuangan Islam. Hati ini menangis mengenangkan betapa Abdul Rahman bin Auf sanggup meninggalkan Mekah sehelai sepinggang kerana menyahut perintah Nabi Muhammad untuk berhijrah ke Madinah. Penyerahannya kepada Allah sangat tinggi, percaya bahawa Allah akan melindunginya dan rezeki itu ada di mana-mana.


Mungkin keterlaluan membandingkan diri ini dengan sahabat-sahabat Rasullulah. Namun dalam konflik Palestin dan Israel, ia benar-benar menguji keimanan kita. Dalam konteks kehidupan kita hari ini apabila ada pihak yang memohon sumbangan untuk saudara kita di Palestin, pernahkah kita terfikir untuk memberi semua wang yang ada di dalam beg duit kita sekurang-kurangnya? Tepuk dada, tanyalah iman.


Jika dalam kehidupan harian kita, berapa ramai daripada kita yang sanggup berhenti bekerja kerana tidak meredhai dengan tugas yang kita lakukan kerana melanggar peraturan Allah. Mungkin kebanyakan kita hanya menutup mata sahaja kerana khuatir akan terjejas periuk nasi kita.


Perbualan kami diakhiri dengan kisah kenalannya yang sanggup berhenti kerja kerana sama sekali tidak bersetuju dengan amalan syarikatnya yang melanggar peraturan agama. Isterinya tidak bekerja dan beliau berhenti kerja pun tanpa punya perancangan tertentu untuk menyara keluarganya. Dengan bantuan Allah atas tawakalnya dan niatnya yang ikhlas dalam mencari keredhaannya, beliau kini hidup di dalam gaya hidup yang diingininya dan berada di bawah keredhaanNya.


Penderitaan saudara kita benar-benar menguji keimanan kita sebenarnya. Nilai keikhlasan kita itulah yang akan dinilai Allah seperti nilai keikhlasan Habil dan Qabil dalam mempersembahkan bahan korban kepada Allah. Analogi yang diberikannya cukup menginsafkan saya.


“Orang miskin yang ada dua ringgit dalam poketnya dan berikan kesemuanya untuk tolong saudaranya di Palestin tanpa banyak soal lebih tinggi nilainya daripada orang kaya yang hulurkan seribu ringgit tetapi banyak kira-kiranya.”


Ya Allah, tambahkan keimanan dan ketaqwaan ke dalam hatiku ini. Amin.

Thursday, January 8, 2009

Palestin; apa kelemahan umat Islam?

Imej dari thedailybanter.com

Sudah hampir dua minggu askar-askar negara haram Israel menceroboh bumi Palestin. Ini bermakna selama itulah rakyat Palestin terutamanya kanak-kanak, warga tua dan wanita diseksa emosi mereka apatah lagi melihat tanah tumpah darahnya dilanyak dan saudara mara serta kenalan mereka terkorban di hadapan mata kita. Sukar untuk kita bayangkan penderitaan yang mereka alami yang bukan sekadar 2 minggu yang lalu tetapi sudah berlarutan sejak dahulu lagi.

Saya mengutuk dan mencela sekerasnya-kerasnya perbuatan tentera-tentera, pemimpin-pemimpin negara haram Israel dan konco-konco mereka seperti Amerika Syarikat. Semoga Allah melaknat perbuatan mereka.

Apa lagi yang boleh kita lakukan selain menyatakan kebencian kita?

Boikot barangan buatan Amerika dan Israel? Malangnya kita terlalu bergantung kepada mereka.

Hulurkan bantuan kewangan kepada Palestin? Saban hari duit seringgit merungut kerana asyik singgah ke tabung masjid dan tabung anak-anak yatim sahaja.

Hendak memimpin dunia Islam menentang Israel? Siapalah kita sedangkan Pengerusi OIC pun lambat sangat tindakannya selambat entri ini ditulis.

Berjuang bersama-sama kumpulan Hamas dan rakyat Palestin? Hendak menyatakan kebenaran Islam dan mencegah kemungkaran di depan mata pun kita terkunci mulut inikan pula hendak mengangkat senjata.

Seruan saya buatlah apa yang boleh kita buat dalam kapasiti kita sebagai seorang individu muslim. Jika anda mampu sehingga ke tahap berjuang di sana, saya doakan anda mendapat syahid. Malangnya dalam ramai umat dunia ini mengutuk keras pencerobohan Israel, ramai juga umat Islam yang semakin meninggalkan cara hidup Islam yang sempurna ini.

Mari kita fikir-fikirkan apa yang boleh kita pelajari di sebalik kerakusan Israel laknatullah ini? Ekonomi umat Islam sangat lemah dek kerana terlampau tinggi pergantungan kita kepada negara-negara barat bukan Islam. Umat Islam ketinggalan daripada segi teknologi kerana kita tidak berfikir dalam kerangka fikiran umat Islam yang hebat-hebat seperti Ibnu Sina, Ar-Razzi dan sebagainya.

Daripada segi politiknya pula, sudahlah negara-negara umat Islam dipecah-pecahkan daripada segi geo-politiknya, pemimpinnya pun tidak mahu bersatu padu kerana punya kepentingan masing-masing. Umat Islam pula semakin goyah pegangan agamanya kerana terlampau mengajar impian duniawi sehingga lupa kepada kekuatan rohani yang sebenarnya mampu menjadi senjata paling ampuh yang mampu memberi kekuatan kepada kita dalam apa jua keadaan.

Pemimpin umat Islam lemah. Tentera-tentera Islam pun sangat rapuh (ekonomi, teknologi, pertahanan dan sebagainya). Umat Islam pula sangat lalai secara amnya dan terlalu disibukkan dengan hal-hal yang kecil. Rasulullah pernah berkata, “Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Walaupun konteks hadis itu lebih kepada penawanan semula Kota Istanbul ke tangan orang Islam namun di situ ada disebut antara pra-syarat kemenangan untuk umat Islam ialah ketua itu mestilah sebaik-baik ketua begitu juga dengan orang bawahannya. Marilah kita berusaha daripada sekarang untuk mendapatkan ketua yang mengajak kita kepada kemenangan dunia dan akhirat yang sebenar juga membentuk masyarakat yang berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Siapapun anda, guru, professional, tentera, polis, pemimpin masyarakat, ahli akademik ataupun blogger seperti saya, marilah kita bersama-sama menyampaikan mesej kita tidak mampu lagi mengenang kehebatan Rasulullah, sahabat-sahabat dan pemimpin Islam terdahulu tanpa ada usaha untuk menjadi sehebat mereka juga.

Nota:

Kepada pembaca yang beragama Islam, bacalah doa dan selawat setiap kali membaca nama atau panggilan Nabi Muhammad.

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP