Hari ini anda pasti sibuk. Tidak kiralah siapa pun anda. Samada dengan tugasan pejabat, urusan perniagaan ataupun urusan rumahtangga anda. Sila jawab dengan jujur.
Apakah kebaikan yang telah anda lakukan hari ini?
Saya sudah. Mengingatkan anda supaya membuat kebaikan pada hari ini. Semoga anda hari ini lebih baik daripada hari semalam.
Saya seorang penulis SMS dalam bahasa penuh. Singkatan yang digunakan adalah singkatan yang diterima umum seperti yang menjadi 'yg.', tidak menjadi 'tdk.' ataupun 'x' dan sebagainya. Namun singkatan mengarut-ngarut dan istilah slanga sama sekali saya tidak guna.
Jika ingin berbahasa, gunakan sesempurna mungkin. Berbahasa Melayulah sepenuhnya atau berbahasa Inggerislah sebaik-baiknya. Adakah saya ingin menunjukkan bahawa saya seorang pendokong bahasa? Sebahagiannya benar dan sebahagiannya lagi adalah untuk mengelakkan kejadian seperti di bawah ini berlaku. Ini adalah contoh sebenar yang saya petik daripada rakan blogger saya. Seorang guru Sejarah dan Bahasa Melayu.
Saya dapati penggunaan bahasa ringkas dalam sms, dan ejaan2 yang rosak seperti citer(cerita), amik (ambil) , jer…(sahaja), x (tidak), takleh (tidak boleh), x de (tiada), klu (kalau), nampaknya sudah terbawa-bawa dalam peperiksaan.
Kawan-kawan selalu ketawakan saya kerana biasanya saya menggunakan ayat yang gramatis bila ber SMS. Jadi, “pesanan ringkas” saya biasanya panjaaaaaang!.
“Aku taule ko Ibu pejuang Bahasa Melayu” Perli kawan saya.
Manakan tidak, saya selalu gagal menangkap maksud sebenar penghantarnya jika ditulis dengan ringkasan yang tidak mengikut piawai….
Contohnya, SMS dari seorang rakan;
SMS dari Ija (3.00 pagi) : kk, bbi dlm kndg x grk 24 ors dh, tkt
Saya tak faham maksud Ija. Apa pulak cerita babi dalam kandang? Mencarut malam-malam buta! Lalu saya balas….dengan ngantuknya….
SMS dari Saya : Taulah sekarang tengah panas dengan isu ba alif ba ya! Takkan mimpi pergi kandang khinzir kot?
Tiba-tiba telefon saya berdering…. “Ija Calling!”
“Aloo kak…Ija kat wad ni….baby dalam perut Ija tak bergerak-gerak. Dah sehari suntuk…Doktor kata……baby Ija dah tak ada…hu…hu..hu..”
Nota : Ija mengandung anak sulung, selama ini, jika ada masalah tentang kehamilannya, sayalah pakar rujuk dia…Macam manalah saya boleh tak peka dengan cubaannya untuk mengadu melalui SMS!!!!
Mesej dari Cikgu Bahasa::::: Berbahasa Biar Betul!!! Mesej daripada Abahfateh pula "Bahasa Jiwa Bangsa, Gaya Bahasa Menunjukkan Peribadi"
Katak oh katak Mengapa kau panggil hujan Bagaimana aku tak panggil Ular nak makan aku
Lirik di atas adalah sebahagian lirik lagu Bangau oh Bangau.
Dalam dunia Melayu, banyak juga perkara yang dikaitkan dengan katak. Mati katak, bagai katak di bawah tempurung dan sebagainya. Di dalam lagu begitu juga seperti lagu ‘Lompat Si Katak Lompat’.
Dunia politik Malaysia juga tidak terkecuali dengan istilah katak. Katak di dalam politik Malaysia merujuk kepada ahli politik yang melompat parti seperti yang pernah berlaku di beberapa negeri seperti Sabah.
Begitulah pengaruh katak di dalam ruang lingkup kehidupan kita.
Para pembaca sekalian,
Jika seekor katak dimasukkan ke dalam periuk yang penuh dengan air yang mendidih pasti mati kataklah katak itu. Namun katak itu pasti lebih daripada gembira jika diletakkan di dalam periuk yang berisi air sejuk, Tanpa katak itu sedar, air dipanaskan sedikit demi sedikit dan katak itu secara perlahan berasa selesa dengan suhu yang meningkat sedikit demi sedikit. Tahu-tahu katak itu tidak dapat menerima takat suhu itu dan katak itu mati katak juga akhirnya.
Mengapakah perkara ini terjadi? Selama ini katak itu selesa dengan situasi suhu yang naik secara perlahan. Katak itu tidak memberi reaksi kepada perubahan itu (walaupun sedikit) kerana berasakan tidak perlu memberi tindak balas kepada perubahan itu. Inilah yang dikatakan zon selesa (comfort zone) yang perlu kita elakkan sama sekali.
Apakah perkara terakhir mengenai diri anda yang anda ubah dan bila? Lebih baik menjadi katak yang mati di dalam air mendidih daripada mati kerana direneh perlahan.
Saya ingin jadi orang yang pertama ucapakan selamat harijadi kepada diri saya sendiri. Alhamdulillah. Secara rasminya genap umur saya 30 tahun hari ini. Terasa tuakah saya? Tidak juga, anak-anak masih kecil lagi maka saya sentiasa rasa muda dan kadang-kadang kebudak-budakan kerana mereka.
Cuma kali ini hati saya terdetik, sudah bersediakah saya menghadapi kematian?
Nabi Muhammad sallahualaihiwassalam wafat pada usia 63 tahun. Maka secara adatnya, saya ada 33 tahun sahaja lagi untuk hidup. Mengikut perangkaan, purata umur bagi lelaki Malaysia (2005) adalah 71 tahun. Maka saya ada 41 tahun sahaja lagi.
Adakah saya takut mati?
Saya takut mati dalam keadaan saya yang banyak dosanya dan tidak beriman. Namun adakah kerana itu maka saya beribadah sahaja kepada Allah? Sepatutnya tidak, kerana maksud hadis menyebut bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi, dan beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari. Saya ingin menikmati hidup ini sebaik-baiknya bersama-sama dengan keluarga saya. Setiap saat saya akan hargai kerana mana tahu, anda mendapat khabar saya sudah dijemput Allah esok hari.
Saya ingin meninggalkan dunia yang fana ini dengan senyuman mengiringi pemergian saya dalam tangisan kesedihan mereka kerana legasi yang dapat dinikmati oleh generasi terkemudian daripada saya.
Selamat harijadi Abahfateh.
Saya sempat lawati BrainHistory.com untuk melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 22 November. Antara yang menarik:
2005 - XBox 360 video game is released by Microsoft
1990 - Margaret Thatcher announces her resignation as British Prime Minister
1989 - Conjunction of Venus, Mars, Uranus, Neptune, Saturn and Moon
1978 – Abahfateh was borned in Tanjung Karang, Selangor, Malaysia
1967 - Boris Becker, West Germany, tennis player, Wimbledon 1985, 86, 89
1963 - John F Kennedy, 35th President (1961-63), assassinated in Dallas at 46
1958 - Jamie Lee Curtis, born in Los Angeles, California, actress, Anything But Love, Halloween
1930 - Elijah Muhammad forms Nation of Islam in Detroit
1617 - Ahmed I, 14th sultan of Turkey (1603-17), dies
1247 - Robin Hood, dies (from "A Lytell Geste of Robyn Hood")
Tidak saya sangka sama sekali, mereka ada rekod tarikh kematian Robin Hood.
Saya semakin jarang mengemaskini blog saya. Jika dahulu, seminggu sekurang-kurangnya 2 kali, kini seminggu sekali pun susah. Maaf sekali lagi jika anda datang ke rumah maya saya ini namun isinya kosong tiada yang baru.
Sejak akhir-akhir ini saya kurang bermaya, tidak bersemangat dan tidak berminat untuk berkongsi apa-apa. Kemaskini pun saya rasa entah apa-apa. Ada entri yang saya sudah taip, saya biarkan begitu sahaja, tidak saya terbitkan. Saya sedar hal ini dan cuba mencari puncanya. Alhamdulillah, saya sudah dapat 2-3 jawapannya.
Mungkin juga saya mengalami krisis perubahan umur, sudah hampir ke fasa 30an. Dulu ketika saya masuk umur 20 tahun pun sama juga rasanya seperti saya rasa hari ini. Apapun, terima kasih kerana masih sudi berkunjung.
Saya perlu 'fine tuning' pemikiran saya buat seketika. Saya akan kembali semula menemui anda. Tidak lama, dua tiga hari sahaja lagi.
Tikus? Anda suka tikus? Jika anda membayangkan tikus seperti Mickey Mouse ataupun Minnie Mouse, mungkin anda sanga menyukainya dengan berbisik "Comelnya tikus itu."
Jika anda membayangkan tikus itu seperti Mr. Jingle, tikus yang berkebolehan akrobatik dalam filem The Green Miles, mungkin anda sendiri teringin membela tikus sepertinya yang dapat menghiburkan anda.
Bagaimana dengan tikus-tikus besar yang senang di dapati di lorong-lorong belakang kedai di bandar tempat kediaman anda? Comel dan menawan? Saya pernah membatalkan niat saya makan di 'food court' gara-gara melihat 3 ekor tikus bermain nyorok-nyorok di bawah meja makan. Rumah saya diserang tikus sebenarnya. Entah dari mana datangnya. Maka perangkap dibeli sehingga dua buah dan memang tertangkap 2 ekor tikus yang saiznya tidaklah sebesar tikus di belakang kedai makanan. Namun dengan tertangkapnya 2 ekor tikus itu telah menjadikan sebilangan anak-anak tikus menjadi yatim piatu.
Saya baru tangkap seekor anak tikus itu, comel dan saya tidak sampai hati untuk membunuhnya. Buntu fikiran saya memikirkan cara terbaik menyingkirkan anak tikus itu. Isteri saya cadangkan diletakkan dahulu di dalam perangkap tikus yang memerangkap induknya. Tersilap langkah, anak tikus terjatuh dan seekor kucing dengan selambanya menangkapnya dan membawanya lari entah ke mana. Jauh di hati saya rasa lega yang teramat sangat. Namun kusut juga kerana memikirkan cara yang terbaik untuk menghindarkan rumah daripada serangan tikus apatah lagi sekeliling rumah saya memang masih kaya dengan flora dan faunanya. Rumah anda mungkin pernah mengalami nasib yang serupa dan anda mungkin ada cara untuk mengatasinya. Apa kata anda kongsikannya untuk saya dan juga pembaca-pembaca yang lain. Bahaya sungguh binatang bernama tikus ini, pembawa pelbagai penyakit. Moga-moga perkongsian anda membawa kebaikan kepada kita semua. Kongsilah!
Saya terfikir elok juga bela ular, tapi saya sendiri penakut dengan ular. Idea ditolak.
Hari minggu yang lalu, 2hb November 2008, saya sekeluarga serta Pakdi dan 'awek cun'nya telah berama-ramai menyertai Terry Fox Run 2008. Siapa Terry Fox? Anda boleh baca di sini.
Larian ini adalah salah satu usaha untuk mengumpulkan dana untuk kajian perubatan barah yang kini dikenalpasti sebagai salah satu daripada pembunuh utama di Malaysia malahan di dunia. Ini adalah kali ke-3 Terry Fox Run dianjurkan di Taman Tasik Perdana.
Gambar 1 - Garisan permulaan dan akhir Terry Fox Run 2008.
Hanya saya dan Pakdi yang berlari (sila baca berjalan). Yang lain-lain? Bermain-main di padang permainan. Sayapula buat kali pertama mengambil gambar peristiwa dengan kamera saya. Kelam kabut juga, bukan senang dan juga mungkin saya tidak bersedia sepenuhnya. Apapun, ini adalah satu pengalaman yang menarik untuk saya sendiri. Ini adalah kali pertama saya menyertai larian ini. Ketika hampir kesemua adik-beradik saya menyertai larian ini tahun lalu, saya masih di Labuan, sekadar menikmati gambar-gambar yang ada. Insya-Allah, saya akan cuba sertai larian ini pada tahun-tahun akan datang sebagai satu bentuk sokongan kepada usaha untuk melawan penyakit kanser. Kalaulah orang lain boleh buat larian tahunan untuk mengingati insan bernama Terry Fox, kenapa saya tidak boleh tumpang acara ini untuk mengingati ibu saya yang lebih dekat dengan saya. Apatah lagi apabila saya pulang ke rumah, baru saya teringat hari ini adalah hari perginya Almarhum Ayah saya, 17 tahun yang lalu. Al-Fatihah untuk kedua ibubapa saya.
Jika anda ingin tengok lebih gambar lagi, silalah jengah laman Flickr saya. Orang baru nak belajar mengambil gambar, harap maaf kalau kurang menarik.