Monday, November 24, 2008

Kisah Katak

Katak oh katak
Mengapa kau panggil hujan
Bagaimana aku tak panggil
Ular nak makan aku

Lirik di atas adalah sebahagian lirik lagu Bangau oh Bangau.


Dalam dunia Melayu, banyak juga perkara yang dikaitkan dengan katak. Mati katak, bagai katak di bawah tempurung dan sebagainya. Di dalam lagu begitu juga seperti lagu ‘Lompat Si Katak Lompat’.


Dunia politik Malaysia juga tidak terkecuali dengan istilah katak. Katak di dalam politik Malaysia merujuk kepada ahli politik yang melompat parti seperti yang pernah berlaku di beberapa negeri seperti Sabah.

Begitulah pengaruh katak di dalam ruang lingkup kehidupan kita.


Para pembaca sekalian,

Jika seekor katak dimasukkan ke dalam periuk yang penuh dengan air yang mendidih pasti mati kataklah katak itu. Namun katak itu pasti lebih daripada gembira jika diletakkan di dalam periuk yang berisi air sejuk, Tanpa katak itu sedar, air dipanaskan sedikit demi sedikit dan katak itu secara perlahan berasa selesa dengan suhu yang meningkat sedikit demi sedikit. Tahu-tahu katak itu tidak dapat menerima takat suhu itu dan katak itu mati katak juga akhirnya.

Mengapakah perkara ini terjadi? Selama ini katak itu selesa dengan situasi suhu yang naik secara perlahan. Katak itu tidak memberi reaksi kepada perubahan itu (walaupun sedikit) kerana berasakan tidak perlu memberi tindak balas kepada perubahan itu. Inilah yang dikatakan zon selesa (comfort zone) yang perlu kita elakkan sama sekali.

Apakah perkara terakhir mengenai diri anda yang anda ubah dan bila? Lebih baik menjadi katak yang mati di dalam air mendidih daripada mati kerana direneh perlahan.

0 comments:

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP