Tuesday, April 29, 2008

Gaya Hidup Ranggi

Pemberitahuan : 'Ini adalah entry' yang kedua. Nantikan entri yang terakhir. Kesetiaan anda mengikuti kisah-kisah ini amatlah dihargai. - Abahfateh.


Kisah 2

”Kamu sudah dapat bungkusan yang saya poskan hari itu?” tanya Abahfateh kepada Pakdi yang sedang menikmati sarapan paginya. Bersama-sama mereka ialah abang sulung mereka.

Pakdi memandang Abahfateh, dengan kerut di dahinya dia berkata. ”Bungkusan yang kamu katakan tempoh hari? Alhamdulillah, sudah selamat sampai.”

Pakdi menghulurkan sebungkus nasi lemak kepada Abahfateh. Perlahan dia bersuara seakan-akan berbisik. ”Betulkah apa yang kamu tulis dalam e-mel tempohari? Selewatkah itukah mereka disediakan dengan kursus pengurusan kewangan peribadi?” Kenapa tidak diberikan kepada para eksekutif muda seawal mereka mula bekerja?”

Terhenti Abahfateh membuka bungkusan nasi lemaknya mendengar soalan yang bertubi-tubi itu. ”Betullah, kursus demikian hanya diberikan kepada mereka yang bakal bersara. Walaupun dikatakan kursus tersebut boleh dihadiri oleh mereka yang berusia seawal 40an, namun keutamaan tetap diberikan kepada mereka yang bakal bersara dalam tempoh yang terdekat. Kursus dan tempat terhad, akhirnya sudah dekat usia persaraan, baru boleh pergi.”

Sambungnya lagi. ”Saya kasihan mendegar luahan hati seorang peserta kursus tersebut. Dia kata kursus itu, dia termenung panjang memikirkan kedudukan kewangannya. 2 tahun lagi dia hendak bersara tapi masih ada anak yang berusia 9 tahun untuk ditanggung. Pendedahan yang diberikan oleh penceramah tersebut benar-benar menyedarkannya bahawa situasi kewangannya sangat kritikal.”

Habis, apa yang kamu nasihatkan kepadanya?” tiba-tiba abang sulung mereka mencelah perbualan mereka. Sambil melipat” suratkhabar yang dibacanya, dia mendekatkan dirinya ke arah mereka berdua.

Ketawa kecil Abahfateh mendengarnya. ”Saya nasihatkan dia agar bersedia menjual rumahnya sekarang dan berpindah ke Sipitang, usahakan kebun dan jalani kehidupan yang lebih sederhana”

”Sipitang? Di mana Sipitang?” tanya Pakdi, berkerut lagi dahinya.

”Satu kawasan di pantai barat Sabah. Kalau di Semenanjung Malaysia macam kampung-kampung Melayu di Batu Pahat, Hulu Langat dan sebagainya,” terang Abahfateh. Jarinya menguis-nguis meja seolah-olah melakar peta Sabah untuk menunjukkan lokasi tempat tersebut.

”Itulah yang menjadi masalahnya apabila sesuatu kursus itu diberikan kepada sasaran yang salah” abang sulung mereka tiba-tiba bersemangat menyambung perbualan.

”Ia patut diberikan kepada para pekerja baru dan muda dalam syarikat. Kalau kamu perhatikan gaya hidup sebahagian daripada eksekutif muda syarikat kami, memang sukar dipercayai.” balas Encik Sumardi. Pakdi mendengar penuh minat.

Abahfateh mengenepikan bungkusan nasi lemaknya yang belum berbuka itu lalu menyambung penuh semangat. ”Salah satu perkara yang selalu dibincangkan ialah gaji yang tidak cukup tinggi. Masalahnya sekarang, isu gaji tidak cukup tinggi atau pengurusan kewangan peribadi yang lemah?”

Abahfateh memerhatikan wajah mereka satu persatu. Apabila tiada siapa yang membuka mulut maka dia menyambung, ”Sebagai contoh, ada seorang eksekutif muda, sibuk bertanya bagaimana untuk menjimatkan penggunaan petrol. Yang dia nampak adalah wang dia yang habis kerana perbelanjaan petrol tetapi wang dia yang habis kerana bayaran ansuran bulanan keretanya yang berjenama tinggi itu kenapa tidak dipersoalkan?”

”Labuan adalah pulau bebas cukai, rugilah kalau sekadar beli kereta nasional” duga Pakdi selepas mendengar hujah Abahfateh yang bersemangat itu.

”Itulah sebabnya saya berikan fail kursus tersebut. Hasilkan modul latihan untuk latih para eksekutif muda menguruskan kewangan peribadi mereka secara bijak. Jadikan ia sebahagian daripada produk syarikat kamu dan jual program tersebut,” balas Abahfateh sambil tersenyum melihat Pakdi yang tersengih-sengih seperti kerang busuk itu.

”Beginilah, saya rasa apa yang Abahfateh bimbangkan adalah gaya hidup yang tidak sepadan dengan pendapatan mereka. Akhirnya hidup bergelumang hutang walaupun dalam usia yang masih muda.” abang sulung mereka berkata, lembut nadanya mungkin cuba mengendurkan suasana.

”Kita setuju bahawa ia terjadi disebabkan oleh pengurusan kewangan peribadi yang lemah. Yang kedua, rasa-rasanya apa?” tanya abang sulung mereka. Tiada jawapan daripada Pakdi yang sedang menghirup tehnya dan Abahfateh yang baru membuka bungkusan nasi lemaknya.

”Yang kedua adalah rasa takut dipinggirkan oleh rakan sekeliling. Mereka takut jika mereka tidak memiliki telefon bimbit model terkini, fesyen terkini dan sebagainya mereka akan ditinggalkan dan tidak diterima di kalangan rakan-rakan mereka.” abang sulung mereka menjawab sendiri soalannya.

”Ada contoh?” tanya Pakdi, berkerut dahinya.

Abahfateh segera menjawab. ”Saya pernah bermesyuarat bersama seorang eksekutif muda. Waktu pagi, saya lihat dia menikmati secawan kopi buatan kafe terkenal. Selepas makan tengahari, sekali lagi kopi yang sama di tangannya. Petangnya, dia sanggup keluar daripada mesyuarat sekadar untuk membeli kopi yang sama.”

”Itu baru satu contoh,” sambung abang sulung mereka.

”Ramai eksekutif muda yang memiliki PDA dan telefon bimbit canggih. Kata mereka, mengikut gaya semasa dan kerana saya juga memiliknya. Masalahnya, saya hanya memilikinya selepas bertahun-tahun saya bekerja membina asas kewangan yang kukuh,” kata abang sulung mereka dengan nada kesal.

”Lebih malang lagi, barangan tersebut tidak digunakan sepenuhnya,”sambung Pakdi tersenyum.

”Juga menggunakan kad kredit untuk membelinya. Akhirnya, bonus yang diterima habis digunakan untuk membayar hutang kad kredit. Tiada peruntukan untuk simpanan langsung.” balas Abahfateh lalu terus menyuap nasi lemaknya.

”Banyak lagi contoh boleh diberikan. Tetapi apabila kita nasihatkan tentang pengurusan wang yang betul dikatanya kita kolotlah, konservatiflah, kedekutlah, tidak tahu tentang gaya anak muda kinilah, macam-macamlah. Fikirlah sendiri samada kita ingin menikmati kesenangan sekarang atau kesenangan pada masa hadapan,” abang sulung mereka menyimpulkan perbualan mereka pada pagi itu.

Monday, April 28, 2008

3 Kisah Gaya Hidup Ranggi

Pemberitahuan : 'Entry' ini mempunyai 3 kisah. Kisah-kisah ini akan diterbitkan secara berturut-turut. Kesetiaan anda mengikuti kisah-kisah ini amatlah dihargai. - Abahfateh.

Kisah 1

”Khusyuk nampak tengok gambar kamera itu,” tegur Emma. Abahfateh segera menoleh ke belakang. Kelihatan Emma tersenyum-senyum.

Abahfateh seraya berkata sambil menghulurkan gambar kamera tersebut. ”Saya sudah lama teringinkan sebuah kamera digital SLR. Malam tadi saya cuba kamera ini, kepunyaan kawan.”

”Kamera ini model terkinikah?” tanya Emma sambil melihat gambar tersebut.

”Ya. Ini model kamera digital SLR terkini yang baru dikeluarkan. Harganya pun sangat berpatutan”

Sambil memulangkan gambar tersebut, Emma berkata. ”Kalau begitu, buatlah keputusan yang sebijaknya.”

Balas Abahfateh sambil tersenyum. ”Insya-Allah, saya sedang menimbangkannya. Banyak faktor perlu saya fikirkan. Kalau saya ikutkan nafsu, semalam lagi saya sudah membelinya.”

”Kalau saya, saya beli terus. Nanti teringat-ingat, susahkan diri sahaja,” celah Helmi tiba-tiba. Rupa-rupanya diam-diam dia mencuri dengar perbualan Abahfateh dan Emma dari tempat bekerjanya.

Abahfateh merenung Helmi dalam-dalam, menarik nafasnya seraya berkata. ”Inilah masalahnya dengan generasi kamu ini. Membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Terutamanya apabila melibatkan kewangan. Kamu fikir asal ada wang, semua perkara boleh jadi?” kedengaran keras nada suaranya.

”Hati-hati, dia sudah mulakan syarahannya, ” balas Emma sambil tersenyum mendengar kata-kata Abahfateh. Dia sudah masak dengan perangai Abahfateh yang suka memberi teguran. Walaupun kedengaran seperti bebelan, namun penuh dengan kata-kata yang boleh dijadikan panduan.

”Bukanlah maksud saya begitu. Saya maksudkan jika sayalah, saya terus beli sahaja. Buat apa mahu fikir-fikir lagi.” Helmi berterus-terang.

”Beginilah, bagi saya pula, pembelian barang sebegini perlu saya bincangkan dengan isteri saya kerana ia melibatkan kewangan keluarga. Ia banyak memberi kesan, kamu tahu tidak?” balas Abahfateh. Suaranya lebih lembut kini.

”Saya bujang lagi. Saya hendak merujuk siapa pula jika begitu?” balas Helmi tersenyum-senyum.

”Banyak pula alasan kamu sekarang. Sudah, pergi sambung kerja masing-masing,” arah Abahfateh kepada kedua-duanya lalu menamatkan perbualan mereka.

Pemberitahuan : 'Entry' ini mempunyai 3 kisah. Kisah-kisah ini akan diterbitkan secara berturut-turut. Kesetiaan anda mengikuti kisah-kisah ini amatlah dihargai. - Abahfateh.

Thursday, April 17, 2008

Sebungkus Mee Segera dan Sebutir Telur Ayam.


”Bagaimana jualan hari ini?” tegur Abahfateh kepada Makcik Devi.

Makcik Devi memandang Abahfateh dengan senyuman penuh makna lalu membalas ”Jualan hari ini baik. Mungkin kerana ada kerja-kerja membaiki jalan di hujung sana, ramai pekerja datang ke sini membeli air.”

Abahfateh tersenyum mendengarnya lalu terus ke peti sejuk. Dibukanya pintu peti sejuk dan melihat-lihat pilihan air minuman yang ada. Sesekali dia menjeling ke arah kaunter pembayaran. Kelihatan Makcik Devi sedang sibuk melayan pelanggan-pelanggannya yang membeli barangan.

”Berapa harga sebungkus mee segera ini??” kedengaran pemuda itu bertanya kepada Makcik Devi sambil menunjuk bungkusan mee segera tersebut. Abahfateh tertarik mendengar pertanyaan itu. Dia melihat seorang pemuda yang berpakaian lusuh, mukanya berminyak dan kelihatan sangat penat.

”Yang itu harganya 60 sen.” ringkas jawab Makcik Devi. Pantas pemuda itu mengeluarkan syiling daripada poketnya. Berhati-hati dia mengira duit syiling tersebut. Terpancar senyuman di wajahnya. Lantas dia beratur di belakang pelanggan yang lain menunggu giliran ke kaunter pembayaran. Abahfateh mengambil sekotak minuman lalu beratur di belakang pemuda tersebut. Dia tersenyum apabila pemuda tersebut menoleh ke arahnya.

Berhampiran kaunter terdapat satu rak yang penuh dengan sangkar telur ayam. Pemuda itu mengambil sebutir telur lalu segera ke kaunter dan bertanya, ”Sebutir telur ini berapa pula harganya?”

”Sebutir telur harganya 30 sen. Kamu mahu?” jawab Makcik Devi sambil mengambil bungkusan mee segera itu dan dimaksukkan ke dalam sebungkus plastik. Pemuda itu sekali lagi mengeluarkan syilingnya dan mengiranya berhati-hati. Perlahan dia mengambil telur tersebut dan meletakkan kembali ke tempat asalnya.

”Tidak mengapalah. Hari ini saya makan mee segera ini sahajalah.” balas pemuda tersebut. Abahfateh terdiammendengarnya. Segera pemuda itu membayar harga sebungkus mee segeranya dan berlalu dari kedai itu.

”Siapa pemuda itu?” tanya Abahfateh sambil mengeluarkan duit.

”Oh, saya rasa dia pekerja membaiki jalan itulah. Tidak pernah saya lihat dia sebelum ini.” balas Makcik Dewi.

”Kasihan dia, mahu beli telur sebutir pun tidak mampu.” balas Abahfateh.

”Kenapa makcik tidak berikan sahaja telur itu percuma?”tanya Abahfateh pula.

”Saya orang berniaga. Kenapa kamu tidak bayarkan sahaja harga telur itu tadi?” tempelak Makcik Devi. Abahfateh terdiam.

”Kamu bekerja di syarikat besar. Saya rasa kamu lebih mampu.” sambung Makcik Devi lagi. Hanya sekuntum senyuman dapat diberikan oleh Abahfateh.

Wednesday, April 16, 2008

Membudayakan Amalan Sedekah Di Dalam Diri.

Assalamualaikum w.b.t,

Salam Sejahtera.

Bilakah kali terakhir anda bersedekah? Apakah warna wang yang anda sedekahkan itu? Biru? Hijau? Merah? Atau ungu? Anda tidak perlu menjawab soalan saya itu, simpanlah semoga niat ikhlas anda itu berkekalan dan menjadi salah satu benteng daripada sambaran api neraka.

Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud :

Bandingan (perbelanjaan – derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi setiap yang dikehendakiNya, dan Allah amat luas (rahmat) kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

Besarnya pahala bersedekah itu. Jangan ragu kerana sesungguhnya janji Allah itu benar-benar belaka. Namun sejauh mana kita membudayakan amalan bersedekah itu. Saya sedih melihat warna-warna wang yang diletakkan di atas bakul yang berjalan di hadapan kita ketika khutbah berlangsung. Kurang sangat warna hijau atau merahnya. Jika melihat kepada papan kenyataan masjid yang tercatat jumlah kutipan mingguan, ia tidak menggambarkan jumlah kedatangan jemaah yang datang bersembahyang di masjid tersebut. Memang benar, biarlah satu sen asalkan kita benar-benar ikhlas. Persoalannya sampai bila kita hendak bersedekah satu sen? Gaji kita mungkin naik setiap tahun namun jumlah sedekah kita masih di takuk lama.

Saya tidak mahu menyentuh soal hati, keikhlasan dan sebagainya. Saya ingin berkongsi apa yang saya amalkan untuk membudayakan amalan bersedekah ini. Saya berdoa agar apa yang kongsikan ini dapat diamalkan oleh anda semua.

1. Bersedekah melalui potongan gaji.

Jika majikan anda membenarkan pemotongan gaji untuk disalurkan kepada badan tertentu, lakukan ia. Saya bernasib baik kerana majikan saya membenarkannya dan mempunyai saluran tersendiri untuk menyalurkan amal jariah kakitangannya.

Jika tidak ada, kenalpasti satu badan yang anda ingin beri sumbangan dan arahkanlah bank anda membuat potongan berkala setiap bulan.

2. Gunakan sistem sampul.

Setiap kali anda menerima gaji, tetapkan jumlah yang anda ingin sedekahkan dan simpankan di dalam sampul khas. Bahagikan kepada berapa jumlah Jumaat yang ada dalam bulan itu. Berikan sedekah anda setiap kali anda pergi bersembahyang Jumaat. Mengapa tidak sekaligus? Bagi saya ia penting untuk mendidik dan membersihkan hati yang sememangnya sudah kotor ini. Mengapa kita tidak mandi seminggu sekali tetapi mandi setiap hari?

3. Belanjalah kanak-kanak.

Saya gemar membelanja kanak-kanak. Kegembiraan yang terpancar pada wajah mereka adalah kegembiraan saya. Bukan dalam bentuk wang, sebaliknya dalam bentuk makanan, permainan atau gula-gula sudah cukup. Hati kanak-kanak itu bersih, ucapan terima kasih mereka adalah satu doa kepada kita juga. Insya-Allah.

4. Sedekahkan baki wang anda.

Di kebanyakan restoran bukankah ada banyak tabung-tabung badan kebajikan? Masukkan baki anda dalam bentuk syiling ke tabung tersebut. Samada ia sampai atau tidak, itu tanggungjawab tuanpunya restoran.

5. Banyakkan senyuman.

Inilah sedekah yang paling mudah kita berikan. Senyumlah kepada semua! Pahala dapat, otot-otot di muka pun bergerak sama. Cara paling mudah untuk awet muda!

Jika anda pernah bermain Cashflow 101, salah satu petak yang ada adalah petak ’Charity’. Petak ini memberi peluang kepada anda untuk melalukan amal kebajikan dengan memberi sejumlah wang. Selepas itu, anda akan mendapat beberapa keistimewaan. Sekiranya orang bukan Islam pun dapat melihat kebaikan membuat kebajikan, mengapa tidak kita, umat Islam, yang dijanjikan Allah dengan ganjaran akhirat yang berlipat kali ganda?

5 cara tersebut bukanlah satu-satunya cara untuk membudayakan amalan sedekah ini. Ini yang saya amalkan, anda mungkin ada cara yang lebih hebat lagi. Marilah kita bersama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik di luar sana. Berkongsi rezeki Allah kerana harta yang kita ada ini bukanlah milik kita seratus peratus

Thursday, April 10, 2008

Aturan Allah itu Sangat Misteri.


Sudah lama saya tidak mengemaskini blog saya. Strategi awal saya sebenarnya apabila blog saya menginjak umur 1 bulan saya ingin berhenti seketika untuk penilaian semula dan menuntut ilmu lebih banyak lagi. Namun, banyak perkara yang berlaku kepada
keluarga saya menyebabkan semua aktiviti yang dirancang terpaksa dibatalkan ataupun ditunda pada saat-saat akhir.

Antaranya, anak kedua saya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru. Kesannya, hajat saya untuk melawat ibu saya yang sakit dan berkumpul bersama keluarga terpaksa dibatalkan. Melayang juga sejumlah wang saya ke AirAsia akibat pembatalan penerbangan saya.

Apapun, saya percaya ada hikmah di sebalik kejadian ini semua. Aturan Allah itu kadang-kadang tidak tercapai oleh logik akal kita semua. Sangat misteri aturanNya.

Wednesday, April 2, 2008

Boikot Barangan Belanda

Banyak peribahasa atau simpulan bahasa yang mengaitkan dengan Belanda. Contoh yang saya ingat sekarang adalah Paku Belanda. Maksudnya, mereka yang sangat kedekut. Pendek kata, sangat negatif maksudnya untuk apa sahaja yang dikaitkan dengan Belanda.

Tayangan filem FITNA benar-benar mencabar kesabaran kita. Maruah Islam dipijak-pijak buat kesekian kalinya. Sudahlah masalah sesama kita tidak selesai-selesai, kini golongan kuffar ini cuba untuk mencemarkan maruah Islam.


AYUH KITA BOIKOT BARANGAN DARI BELANDA!

Bagaimana? Jangan beli barangan mereka. Jika sudah terbeli janganlah dibuang pula, membazir pula. Untuk mendapatkan senarai syarikat Belanda yang ada di Malaysia apa kata lawat blog DrAzwan atau Persatuan Pengguna Islam. Sambil-sambil itu, ambillah masa sedikit membaca label maklumat barangan, ambil tahu dari mana syarikat pengeluar barangan tersebut.

Ini jihad kita. Jika saya ajak saudara saudari semua berperang dengan mereka, mungkin tidak terjangkau oleh kita lagi pada saat ini. Kita mulakan dengan ini. Analoginya mudah, bayangkan jika majikan kita umumkan pemotongan gaji sebanyak 50%!

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP