Pemberitahuan : 'Ini adalah entry' yang kedua. Nantikan entri yang terakhir. Kesetiaan anda mengikuti kisah-kisah ini amatlah dihargai. - Abahfateh.
Kisah 2
”Kamu sudah dapat bungkusan yang saya poskan hari itu?” tanya Abahfateh kepada Pakdi yang sedang menikmati sarapan paginya. Bersama-sama mereka ialah abang sulung mereka.
Pakdi memandang Abahfateh, dengan kerut di dahinya dia berkata. ”Bungkusan yang kamu katakan tempoh hari? Alhamdulillah, sudah selamat sampai.”
Pakdi menghulurkan sebungkus nasi lemak kepada Abahfateh. Perlahan dia bersuara seakan-akan berbisik. ”Betulkah apa yang kamu tulis dalam e-mel tempohari? Selewatkah itukah mereka disediakan dengan kursus pengurusan kewangan peribadi?” Kenapa tidak diberikan kepada para eksekutif muda seawal mereka mula bekerja?”
Terhenti Abahfateh membuka bungkusan nasi lemaknya mendengar soalan yang bertubi-tubi itu. ”Betullah, kursus demikian hanya diberikan kepada mereka yang bakal bersara. Walaupun dikatakan kursus tersebut boleh dihadiri oleh mereka yang berusia seawal 40an, namun keutamaan tetap diberikan kepada mereka yang bakal bersara dalam tempoh yang terdekat. Kursus dan tempat terhad, akhirnya sudah dekat usia persaraan, baru boleh pergi.”
Sambungnya lagi. ”Saya kasihan mendegar luahan hati seorang peserta kursus tersebut. Dia kata kursus itu, dia termenung panjang memikirkan kedudukan kewangannya. 2 tahun lagi dia hendak bersara tapi masih ada anak yang berusia 9 tahun untuk ditanggung. Pendedahan yang diberikan oleh penceramah tersebut benar-benar menyedarkannya bahawa situasi kewangannya sangat kritikal.”
Habis, apa yang kamu nasihatkan kepadanya?” tiba-tiba abang sulung mereka mencelah perbualan mereka. Sambil melipat” suratkhabar yang dibacanya, dia mendekatkan dirinya ke arah mereka berdua.
Ketawa kecil Abahfateh mendengarnya. ”Saya nasihatkan dia agar bersedia menjual rumahnya sekarang dan berpindah ke Sipitang, usahakan kebun dan jalani kehidupan yang lebih sederhana”
”Sipitang? Di mana Sipitang?” tanya Pakdi, berkerut lagi dahinya.
”Satu kawasan di pantai barat Sabah. Kalau di Semenanjung Malaysia macam kampung-kampung Melayu di Batu Pahat, Hulu Langat dan sebagainya,” terang Abahfateh. Jarinya menguis-nguis meja seolah-olah melakar peta Sabah untuk menunjukkan lokasi tempat tersebut.
”Itulah yang menjadi masalahnya apabila sesuatu kursus itu diberikan kepada sasaran yang salah” abang sulung mereka tiba-tiba bersemangat menyambung perbualan.
”Ia patut diberikan kepada para pekerja baru dan muda dalam syarikat. Kalau kamu perhatikan gaya hidup sebahagian daripada eksekutif muda syarikat kami, memang sukar dipercayai.” balas Encik Sumardi. Pakdi mendengar penuh minat.
Abahfateh mengenepikan bungkusan nasi lemaknya yang belum berbuka itu lalu menyambung penuh semangat. ”Salah satu perkara yang selalu dibincangkan ialah gaji yang tidak cukup tinggi. Masalahnya sekarang, isu gaji tidak cukup tinggi atau pengurusan kewangan peribadi yang lemah?”
Abahfateh memerhatikan wajah mereka satu persatu. Apabila tiada siapa yang membuka mulut maka dia menyambung, ”Sebagai contoh, ada seorang eksekutif muda, sibuk bertanya bagaimana untuk menjimatkan penggunaan petrol. Yang dia nampak adalah wang dia yang habis kerana perbelanjaan petrol tetapi wang dia yang habis kerana bayaran ansuran bulanan keretanya yang berjenama tinggi itu kenapa tidak dipersoalkan?”
”Labuan adalah pulau bebas cukai, rugilah kalau sekadar beli kereta nasional” duga Pakdi selepas mendengar hujah Abahfateh yang bersemangat itu.
”Itulah sebabnya saya berikan fail kursus tersebut. Hasilkan modul latihan untuk latih para eksekutif muda menguruskan kewangan peribadi mereka secara bijak. Jadikan ia sebahagian daripada produk syarikat kamu dan jual program tersebut,” balas Abahfateh sambil tersenyum melihat Pakdi yang tersengih-sengih seperti kerang busuk itu.
”Beginilah, saya rasa apa yang Abahfateh bimbangkan adalah gaya hidup yang tidak sepadan dengan pendapatan mereka. Akhirnya hidup bergelumang hutang walaupun dalam usia yang masih muda.” abang sulung mereka berkata, lembut nadanya mungkin cuba mengendurkan suasana.
”Kita setuju bahawa ia terjadi disebabkan oleh pengurusan kewangan peribadi yang lemah. Yang kedua, rasa-rasanya apa?” tanya abang sulung mereka. Tiada jawapan daripada Pakdi yang sedang menghirup tehnya dan Abahfateh yang baru membuka bungkusan nasi lemaknya.
”Yang kedua adalah rasa takut dipinggirkan oleh rakan sekeliling. Mereka takut jika mereka tidak memiliki telefon bimbit model terkini, fesyen terkini dan sebagainya mereka akan ditinggalkan dan tidak diterima di kalangan rakan-rakan mereka.” abang sulung mereka menjawab sendiri soalannya.
”Ada contoh?” tanya Pakdi, berkerut dahinya.
Abahfateh segera menjawab. ”Saya pernah bermesyuarat bersama seorang eksekutif muda. Waktu pagi, saya lihat dia menikmati secawan kopi buatan kafe terkenal. Selepas makan tengahari, sekali lagi kopi yang sama di tangannya. Petangnya, dia sanggup keluar daripada mesyuarat sekadar untuk membeli kopi yang sama.”
”Itu baru satu contoh,” sambung abang sulung mereka.
”Ramai eksekutif muda yang memiliki PDA dan telefon bimbit canggih. Kata mereka, mengikut gaya semasa dan kerana saya juga memiliknya. Masalahnya, saya hanya memilikinya selepas bertahun-tahun saya bekerja membina asas kewangan yang kukuh,” kata abang sulung mereka dengan nada kesal.
”Lebih malang lagi, barangan tersebut tidak digunakan sepenuhnya,”sambung Pakdi tersenyum.
”Juga menggunakan kad kredit untuk membelinya. Akhirnya, bonus yang diterima habis digunakan untuk membayar hutang kad kredit. Tiada peruntukan untuk simpanan langsung.” balas Abahfateh lalu terus menyuap nasi lemaknya.
”Banyak lagi contoh boleh diberikan. Tetapi apabila kita nasihatkan tentang pengurusan wang yang betul dikatanya kita kolotlah, konservatiflah, kedekutlah, tidak tahu tentang gaya anak muda kinilah, macam-macamlah. Fikirlah sendiri samada kita ingin menikmati kesenangan sekarang atau kesenangan pada masa hadapan,” abang sulung mereka menyimpulkan perbualan mereka pada pagi itu.
0 comments:
Post a Comment