Segala Doa Untuk Anak-anak
22 Mei 2010, genap setahun anak perempuan saya, Fildzah Miza. Parti harijadi besar-besaran? Menumpang majlis kenduri tahlil rakan adalah, bagi saya doa kami sebagai ibubapa kepadanya agar menjadi anak yang solehah dan berjaya lebih penting daripada segala-galanya.
Bukan mudah mendidik anak-anak. Walaupun anak yang tua baru berusia 5 tahun, bahang segala cabaran untuk mendidiknya mulai terasa. Si tua semakin banyak bertanya dengan persoalan kenapa? Gaya saya, tidak semua jawapan saya berikan secara terus. Contohnya, soalannya yang berkisar dengan kekemasan dan kecantikan teratak tua kami saya jawab dengan kesedaran untuk bertanggungjawab menjaga kekemasan rumah secara bersama. Biarlah dia sendiri sedar bahawa ini rumahnya dan dia juga bertanggungjawab ke atasnya.
Di samping itu juga, ini jugalah cara untuk kami mengeratkan hubungan dan mengukuhkan ikatan kasih sayang kami.
Tiada ibubapa yang ingin melihat anak mereka hanyut dengan dunia semata-mata, kejayaan akhirat itu lebih abadi. Selain amal ibadah dan sedekah jariah kami, hanya doa kalian mendoakan kesejahteraan kami ketika jasad kami hancur dimamah ulat yang kami pinta. Semoga Allah melindungi kita semua terutama kalian yang bakal menempuh kehidupan yang lebih mencabar daripada kami.
0 comments:
Post a Comment