Pertemuan Semula KISAS 95
Alhamdulillah, perancangan yang telah diatur sekian lama akhirnya berjaya dilaksanakan semalam. Majlis Sua Kembali KISAS SPM 1995 telah diadakan dengan jayanya pada 1 Ogos 2009. Para bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah yang mengambil SPM pada 1995 telah bersua kembali setelah hampir 15 tahun terpisah dan inilah julung kalinya perhimpunan sebesar ini dilangsungkan. Majlis ini mendapat sokongan penuh daripada pentadbiran KISAS dan juga Alumni Kolej Islam (ALKIS).
Bersua muka selepas lama tidak bertemu, sekadar bertukar khabar berita melalui perkhabaran rakan-rakan memang mengujakan. Bangga mendengar kejayaan masing-masing di dalam apa jua bidang yang diceburi. Ada yang menjadi usahawan, warga pendidik, pengamal undang-undang, profesional, ahli motivasi dan sebagainya. Usik-mengusik di antara satu sama lain terutamanya dikalangan pelajar lelaki dengan 'pengembangan' diri masing-masing dan bertanya perkembangan diri terkini menjadi agenda utama sepanjang pertemuan setengah hari itu.
Bertemu semula dengan sebahagian guru yang masih ada merupakan masa yang tidak patut dilepaskan begitu sahaja. Guru adalah guru, tidak perlu emas atau permata dibawa untuk mengucapkan terima kasih, cukup sekadar khabar kejayaan yang diraih dan doa ikhlas dari hati sudah dapat memancarkan sinar kebahagian di dalam hati mereka.
Sebahagian gambar yang saya diambil selepas penat mengemas. Pengajaran yang baik, jangan ambil gambar ketika penat terutamnya jika tangan yang penat. Banyak gambar tidak boleh diterima kerana kabur akibat gegaran dek tangan yang menggigil kepenatan.
Saya terlibat dalam program ini bukan sekadar sebagai seorang peserta tetapi sebagai urusetia juga. Puas rasanya dapat mengumpulkan rakan-rakan, harap-harap kalian berpuas hati dengan susunan yang diatur, sepuluh jari dihulurkan jika terdapat sebarang kekurangan. Saya, kamera dibawa ke hulur ke hilir tapi langsung tidak sempat mengambil sebarang gambar kerana sibuk memastikan program berjalan lancar. Kesempatan hanya muncul ketika para urusetia sedang berehat dan bersedia untuk pulang selepas selesai mengemaskan semua barangan.
Insya-Allah, kita akan bertemu dalam jaringan yang lebih besar merentasi generasi SPM '95.
2 comments:
salam... Congrats!!! rugi jugak tak dapat datang. Ramai tak kelas 5/7 yg datang?
Rizal, terima kasih. Tidak mengapa, faham jarak memisahkan kita antara Malaysia dan Timur Tengah. 5/7? 6 orang... Hisham, Kamariah, Muslihah, Anis, Hasanuldin dan diri ini sendiri. 50%!
Post a Comment