Tuesday, July 27, 2010

Bertukar Link

Pembaca budiman,

Saya bertukar link ke : www.sunardimaulan.blogspot.com

Jumpa semua di sana.

Sunday, May 23, 2010

Segala Doa Untuk Anak-anak

22 Mei 2010, genap setahun anak perempuan saya, Fildzah Miza. Parti harijadi besar-besaran? Menumpang majlis kenduri tahlil rakan adalah, bagi saya doa kami sebagai ibubapa kepadanya agar menjadi anak yang solehah dan berjaya lebih penting daripada segala-galanya.

Foto 1 : Sebji Kek Kek New York buatan sendiri untuk 3 insan, nama anak sendiri tetap yang teratas.

Bukan mudah mendidik anak-anak. Walaupun anak yang tua baru berusia 5 tahun, bahang segala cabaran untuk mendidiknya mulai terasa. Si tua semakin banyak bertanya dengan persoalan kenapa? Gaya saya, tidak semua jawapan saya berikan secara terus. Contohnya, soalannya yang berkisar dengan kekemasan dan kecantikan teratak tua kami saya jawab dengan kesedaran untuk bertanggungjawab menjaga kekemasan rumah secara bersama. Biarlah dia sendiri sedar bahawa ini rumahnya dan dia juga bertanggungjawab ke atasnya.

Di samping itu juga, ini jugalah cara untuk kami mengeratkan hubungan dan mengukuhkan ikatan kasih sayang kami.
Foto 2 : Fateh dan sampah rumput kering.

Foto 3 : Tugas Fateh hanya memasukkan sampah rumput kering ke dalam kereta sorong.

Foto 4 : Fateh dan Faiq, seronok bersama menolah kereta sorong penuh dengan sampah.

Tiada ibubapa yang ingin melihat anak mereka hanyut dengan dunia semata-mata, kejayaan akhirat itu lebih abadi. Selain amal ibadah dan sedekah jariah kami, hanya doa kalian mendoakan kesejahteraan kami ketika jasad kami hancur dimamah ulat yang kami pinta. Semoga Allah melindungi kita semua terutama kalian yang bakal menempuh kehidupan yang lebih mencabar daripada kami.


Foto 5 : Muhammad Fateh, Fildzah Miza dan Muhammad Faiq. Semoga kalian menjadi insan yang soleh dan bertakwa di sisi Allah.

Saturday, May 1, 2010

Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya.

Fateh dan motor pamannya. "Bersinarlah motor ini," sejurus selepas membasuhnya.

Fateh dan Faiq, bergaduh-gaduh dahulu, bersama-sama kemudian.

Mereka diupah RM5 seorang untuk membantu pakciknya membasuh motorsikalnya. Ini semua latihan untuk mereka dan sebagai salah satu cara untuk memberitahu mereka bahawa bukan mudah mendapatkan duit.

Mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya. Budaya subsidi dan berasa mudah mendapatkan sesuatu harus disingkirkan daripada pemikiran mereka agar mereka menjadi seorang insan yang mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.



Si kecik ini juga cuba membantu, akhirnya terduduk selepas tidak dilayan langsung oleh abang-abangnya yang lebih teruja untuk memancutkan air ke motor.

Tuesday, March 16, 2010

Anak 'Wedok'ku

Kata orang, menjaga lembu seladang lebih mudah daripada menjaga anak dara seorang. Semoga anak-anakku dipelihara Allah daripada godaan dunia.


Fildzah Miza - 6 bulan

Sehodoh-hodoh anak kita pada pandangan orang, si dia tetap yang tercantik di mata kita. Namun apabila anak kita ditegur orang kerana perangainya yang tidak cantik, anggaplah ia satu rahmat agar dapat diperbaiki dan dia menjadi cantik di mata orang dan kita sendiri.

Fildzah Miza - 9 bulan

Apapun, anak itu madu, itulah racun juga. Kitalah yang mencorakkannya.

Sunday, March 7, 2010

Nasib Si Beruk


Beruk ini tempat tinggalnya kini di sebuah taman haiwan di hadapan sebuah bukit yang terkenal di Broga, Semenyih, Selangor. Ada banyak beruk di tempat itu, dirantai, pergerakan mereka terhad dan nampak kelaparan. Apabila kita menghampiri mereka, terserlah dari sinar mata mereka mengharapkan pengunjung memilih mereka disuakan sedikit makanan. Semua beruk ini masih bayi lagi, tidak kelihatan bapa atau ibu beruk. Kasihan anak-anak beruk ini.

Dari mana asal beruk-beruk ini? Apakah nasib beruk-beruk ini apabila sudah dewasa dan tidak comel lagi? Adakah beruk-beruk ini dijaga dengan baik dan sebagainya?

Adakah ini satu bentuk eksploitasi ke atas haiwan?
Beruk adalah makhluk Allah juga yang perlu dijaga sebaik-baiknya mengikut tabiatnya.

Nota :
Dalam masyarakat Melayu, beruk memainkan peranannya yang tersendiri seperti bekerja sebagai pemetik buah kelapa. Malahan beruk dijadikan sebagai sumber peribahasa seperti bagai beruk ipuh, bagai bunyi siamang kenyang, bagai kera diberi kaca dan berhakim kepada beruk

.

Saturday, January 16, 2010

Menggapai Awan Nan Tinggi



Ramai yang menyangka, menaikkan layang-layang lalu terbang tinggi di awan semudah mengukir mimpi di malam hari.

Rupa-rupanya tanpa ilmu, tunjuk ajar dan layang-layang yang baik, bukannya langit yang dicabar, bukannya angin yang ditentang tetapi turun laju menyembah tanah.

Begitulah aku, aku ingin segala layang-layang mimpiku menjadi nyata dengan petunjuk yang benar, dari Allah dan dari mereka yang berilmu.

Wednesday, January 13, 2010

Fotografi Makanan - Kek Keju New York

Salah satu status yang saya paparkan di dalam Facebook saya adalah mengenai menikmati sepotong kek kaju blueberry dan secangkir kopi pahit cap 434 yang terkenal itu. Oleh kerana saya gagal mendapatkan jem blueberry maka isteri kesayangan telah menukarnya kepada kek keju new york. Tetapi bukanlah saya ingin bercerita mengenai cara-cara membuatnya, itu saya serahkan kepada isteri saya untuk berkongsi di laman blognya, saya ingin berkongsi bagaimana kami berkongsi saat menyeronokkan melalui minat masing-masing. Apabila kek siap, adakah sampai di situ sahaja iaitu saya merasanya dan memberi ulasan?


Kali ini saya cuba untuk mengambil gambar makanan (food photography) dan ini merupakan kali pertama saya melakukkannya.
Berbekalkan kamera dan mobile softbox yang saya beli di MyFotozone saya mula menembak dengan fasiliti yang terhad. Kek diletak di atas kerusi kecil yang dialas dengan pelapik meja. Prop tambahan adalah secawan kopi dan
bunga kertas yang dipetik di halaman rumah saya. Hasilnya seperti di atas.

Apa yang lebih menyeronokkan adalah kami sekeluarga bersama-sama menikmati petang tersebut. Anak-anak sibuk bertanya bila agaknya saya selesai mengambil gambar kerana ingin makan bersama-sama manakala isteri tidak jemu melayan kerenah anak-anak. Agaknya inilah seronoknya ambil gambar makanan, lepas bergambar boleh terus makan.


Kek keju
new york isteri saya? Selepas dua percubaan, kali ini saya berikan dua 'thumbs up' kepadanya. Errrr, nak order tak?

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP