Tuesday, May 27, 2008

Adakah Kita Semberono Mengikut-ngikut?

Saya berikan dua cerita untuk anda fikirkan bersama.

Cerita 1 : Kisah 4 Ekor Monyet.

4 ekor monyet ditempatkan ke dalam sebuah sangkar. Di atas sangkar itu tergantung sesisir pisang yang masak ranum. Maka kesemua monyet itupun berusaha memanjat jeriji sangkar tersebut untuk mendapatkan pisang tersebut. Namun, sebaik sahaja mereka memanjat jeriji maka air yang kuat akan disemburkan ke arah mereka. Setiap kali mereka memanjat, maka air akan dipancutkan bagi menghalang mereka daripada meneruskan niat mereka. Perkara ini berlarutan sehinggalah kesemua monyet tersebut tidak lagi berusaha mendapatkan pisang yang tergantung di atas sangkar mereka.

Selepas itu, seekor monyet dikeluarkan dan diganti dengan seekor monyet baru. Monyet baru ini sebaik sahaja nampak pisang tergantung maka ia cuba mendapatkannya. Niatnya terhalang kerana kali ini dia ditarik turun oleh 3 ekor monyet yang lebih senior. Dicuba berkali-kali namun dihalang sehingga akhirnya ia tidak lagi berusaha mendapatkan pisang tersebut walaupun tanpa mengetahu mengapa ia ditarik turun oleh monyet-monyet senior yang lain.

Kemudian seekor monyet senior dikeluarkan dan digantikan dengan yang baru. Maka proses yang sama berlaku sehinggalah kesemua 4 ekor monyet senior yang mengalami pengalaman dipancut air pada awalnya keluar.

Kini, monyet baru yang masuk menggantikan monyet senior yang terakhir juga ditarik turun oleh monyet-monyet yang lain yang langsung tidak pernah mengalami pengalaman dipancut air.

Cerita 2 : Kenapa dibuang Kepala dan Ekornya?

Kartini, seorang anak kecil berusia sembilan tahun menolong ibunya memasak ikan panggang untuk dibuat pecal (satu masakan istimewa masakan jawa). Kartini terperasan sesuatu lalu bertanya kepada ibunya. ”Ibu, kenapa ibu masak ikan tanpa kepala dan ekornya?


Ibu Kartini memandangnya dengan penuh kasih sayang namun agak kehairanan dengan soalan itu. Dia berfikir sejenak lalu menjawab. ”Embah Kartini dulu juga membuang kepala dan ekornya sebelum dipanggang.” (embah adalah nama panggilan untuk nenek dalam masyarakat Jawa)

Kartini tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ibunya. Maka dia pergi ke rumah Embahnya lalu bertanya. ”Embah, kenapa embah membuang kepala dan ekor ikan sebelum dipanggang?”

Embah Kartini memandang Kartini dengan penuh kasih-sayang. Dia berfikir sejenak lalu menjawab. ”Emak Embah yang menunjukkan cara begitu, ekor dan kepala ikan dibuang sebelum dimasak. Apa kata kita sama-sama bertanya pada emak Embah?” cadang Embah Kartini apabila melihat riak muka cucunya yang seperti tidak berpuas hati dengan jawapannya.

Lalu Kartini bersama-sama Embahnya ke rumah Embah Buyut (embah buyut adalah nama panggilan untuk moyang dalam masyarakat Jawa). Sesampainya di sana, dengan penuh sopan Kartini bertanya. ”Buyut, mengapa Buyut membuang kepala dan ekor ikan sebelum memasaknya?”

Embah Buyut mengambil masa yang lebih lama daripada Ibu dan Embah untuk menjawabnya. Sambil menggobek pinangya, Embah Buyut menjawab dengan bersahaja, ”Kepala dan ekornya Buyut buang kerana Buyut berikan kepada kucing kesayangan Buyut dahulu.”

Kartini memandang Embahnya yang hanya tesengih memandang cucunya

------------------T.A.M.A.T C.E.R.I.T.A-----------------------------

Adakah kita hanya mengikut sahaja adat, kebiasaan dan amalan nenek moyang kita malahan polisi syarikat tempat kita bekerja tanpa mengetahui sebabnya. Bertanyalah jika ada ruang untuk bertanya. Apabila dinyatakan sesuatu perkara itu dilakukan kerana mengikut kehendak polisi, cubalah cabar orang itu dengan bertanya. ”Boleh saya tengok polisi tersebut?” Agak-agaknya, wujudkah polisi tersebut?

Jika anda bertanya kepada orang-orang tua, maka mereka mungkin menjawab. ”Engkau budak-budak lagi, ikut sahaja apa orang tua cakap.”

Adakah kerana mereka malas menjawab ataupun mereka sendiri tidak tahu mengapa amalan tersebut dilakukan?

Friday, May 23, 2008

Mengelak Jenayah Seks! Tukar Uniform Pelajar Perempuan

Baju kurung adalah baju tradisional Melayu yang sememangnya sopan dan sedap mata memandang. Ia kini sudah diterima oleh semua kaum. Oleh itu pada hari ini kita dapati majoriti wanita daripada semua kaum di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya sehelai baju kurung. Ia bukan baju milik Melayu, ia menjadi baju kebangsaan dan menjadi kebanggaan kita.

Isunya kini ialah baju kurung putih pelajar-pelajar sekolah. Selepas membaca ”PKPIM diserang, mana pemimpin-pemimpin Islam?”, saya terus membuka laman web pihak-pihak yang terlibat.

Sila baca.

1. Tukar Baju Elak Gangguan Seks.

2. Islamic Group’s Uniform Comment Slammed.

Saya ingin memberi satu pandangan peribadi saya dan ini akan menyokong Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (nota : saya bukan ahli PKPIM). Sememangnya uniform sekolah pelajar perempuan perlun ditukar kerana ia berwarna putih dan kebanyakan material kainnya sangat tipis. Tembus dan boleh nampak warna kulit!

Pelajar perempuan sekolah menengah adalah adalah remaja perempuan yang sedang mengalami perkembangan fizikal yang cukup hebat. Adakah perkembangan fizikal mereka ini tidak akan menarik perhatian lelaki? Anak remaja lelaki yang bersama-sama mereka juga sedang mengalami perkembangan fizikal dan mental dan rasa ingin tahu mengenai seks adalah salah satu daripadanya. Saya juga tidak dapat membayangkan guru-guru lelaki yang terpaksa menjaga pandangan mereka. Tersalah cara memandang mungkin dituduh cikgu miang, gatal dan mungkin cikgu gila seks. Selepas sekolah, anak-anak perempuan ini akan keluar sekolah, menunggu bas, berjalan di bandar dan sebagainya. Lelaki yang kurang iman, pasti matanya tidak melepaskan rezeki menjilat susuk tubuh anak dara yang sedang mekar.

Apa yang dicadangkan oleh PKPIM adalah untuk mengelakkan jenayah seksual. Apa itu jenayah seksual? Anda boleh baca lanjut di sini sebagai salah satu sumber definisi jenayah seksual.

Saya teringatkan firman Allah yang bermaksud ”Jangan kamu hampiri zina”. Allah menggunakan perkataan ’taqrabu’ iaitu hampiri bukannya ”melakukan”. Ini bermakna, apa sahaja perkara yang boleh mendorong manusia melakukan zina atau jenayah seks harus dijauhi. Antaranya adalah bahan-bahan pornografi dan pergaulan bebas. Jadi, adakah salah cadangan PKPIM untuk menambah baik uniform pelajar perempuan ini?

Makcik saya yang bekerja sebagai guru di selatan tanahair pernah bercerita kepada saya berkenaan isu ini. Beliau memberitahu saya pihak sekolah terpaksa memberi amaran kepada pelajar-pelajar perempuan supaya memakai singlet jika tidak bertudung (bertudung sangat digalakkan). Ini disebabkan kerana ada pelajar yang sengaja memakai coli yang cerah warnanya seperti merah, kuning dan sebagainya dan ini telah menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar lelaki.

Saya pernah melihat pelajar perempuan yang selamba sahaja membuka tudung sebaik keluar kawasan sekolah (kerana rambutnya diwarnakan) dan terserlah bentuk colinya yang berwarna itu. Dia diusik rakan-rakan lelakinya tetapi dia tidak marah, hanya ’marah-marah manja’.

Adakah ini bukan daya tarikan kepada berlakunya jenayah seksual?

Saya berharap agar Kementerian Pendidikan melihat isu ini secara serius. Saya sangat sedih jika PKPIM dikecam apatah lagi Kementerian Pendidikan diketuai oleh seorang menteri dari UMNO yang kononnya memperjuangkan nasib bangsa dan agama Islam.

Saya menyokong cadangan PKPIM – tukar uniform pelajar perempuan!

Thursday, May 22, 2008

Bersama Ahmad Fadzli Yusof ; Persahabatan Bertaut Kembali

Abahfateh dan Fadzli Yusof. Bersama-sama En. Marzuki Daud,
Pengurus Besar, Loji ; bersemangat dengan buku yang
diautograf oleh penulisnya.


Semalam saya bertemu semula dengan sahabat lama saya, Ahmad Fadzli Yusof. Kini beliau merupakan seorang penceramah motivasi, penulis buku, pengacara rancangan televisyen dan sering dijemput untuk menjadi tetamu untuk beberapa rancangan televisyen. Memang sukar saya hendak meyakinkan ketua saya dan rakan sekerja yang lain apabila saya mengambil keputusan untuk menjemput beliau. Ahmad Fadzli Yusof mungkin dikenali di Semenanjung Malaysia tetapi di Labuan, mungkin lebih banyak penampilan perlu dilakukan. Apapun saya bersyukur kerana beliau telah menyampaikan ceramah motivasi beliau dengan baik sekali. Maklumbalas yang diterima amat positif. Alhamdulillah.

Namun semalam, kami lebih banyak ngobrol-ngobrol tentang kenangan kami di sekolah dahulu. Masing-masing mengemaskini data terkini kawan-kawan kami dahulu. Sesekali mengimbas beberapa peristiwa yang kami kongsi bersama. Segala kenangan, pengalaman dan perasaan yang kami lalui dahulu itulah yang telah membentuk siapa kami hari ini. Tiba-tiba hati saya dihambat rindu dengan khabar rakan-rakan saya dahulu. Apatah lagi hari ini saya menerima e-mel daripada rakan sekolej dan sepengajian saya di UUM dahulu. Walaupun isi utama e-melnya adalah ucapan takziah di atas pemergian ibu namun saya saya berasa sungguh seronok sekali apabila namanya muncul di dalam kotak e-mel saya.

Saya sangat berharap dapat berhubung semula dengan rakan-rakan saya dahulu, baik di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di universiti dahulu. Hantarlah e-mel kepada saya di sunardim[at]yahoo.com, saya menunggu khabar berita daripada anda semua. Semoga persahabatan yang pernah terjalin, bertaut kembali.

Jika ada yang ingin menghulurkan salam perkenalan, saya sangat mengalu-alukannya.

Baca juga:
1. Tiru Penulis Ini : Ahmad Fadzli Yusof

Tuesday, May 20, 2008

Pergilah Ibuku


17 tahun dahulu, saya kehilangan ayah. Pada 8 Mei 2008 @ 2 Jamadilawal 1429 Hijriah, saya kehilangan ibu tercinta. Almarhumah pergi meninggalkan kami menemui Allah dengan memberikan kenangan bersama Almarhumah kepada 7 orang anak, menantu-menantunya dan 18 cucu.

Kematian adalah janji Allah. Saya redha kerana Almarhumah Ibu pulang kepada yang berhak iaitu Allah. Yang tinggal adalah kenangan, ilmu dan didikan yang diberikan kepada saya, adik beradik, menantu-menantunya malah kepada cucu-cucunya.

Terima kasih Emak atas segala-galanya, walaupun kita terputus hubungan dunia namun hubungan kita sebagai ibu dan anak kekal abadi. Saya akan menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai anak sehingga akhir hayat saya,

"Ya Allah, ampunkanlah dosa ibu dan bapaku, berikanlah rahmat dan keredhaanMu kepada Hajjah Mariati bt Hj Sirat dan Hj Maulan b Dollah Mokeri. Sayangilah dan rahmatilah mereka seperti mana mereka menyayangi dan merestui kami sewaktu kami masih kecil. Tempatkanlah mereka di kalangan mereka yang beramal soleh dan yang beriman. Tempatkanlah mereka di syurgaMu dan aku berdoa aku akan dipertemukan dengan mereka di Akhirat sana, di syurgaMu"

Al-Fatihah

Hajjah Mariati bt Hj Sirat (13 Januari 1945 - 8 Mei 2008)

Hj Maulan b Dollah Mokeri (8 Mei 1938 - 2 November 1991)


Baca juga:
1. Emak dan Bapak
2. Mother's Day Shall Be Different This Time
3. In Memory of Wak Iti


Monday, May 5, 2008

AIM 2008, Akademi Fantasia Ke-6

Akhirnya Alif AF6 tersingkir, saya kira seorang lagi yang layak disingkirkan ialah Toi AF6 namun minggu lalu, Akademi Fantasia hanya ingin menyingkirkan seorang, maka hanya Aliflah yang tersingkir. Akademi Fantasia di Istana Budaya pula memperlihatkan hanya segelintir pelajar yang mampu memberikan persembahan yang meyakinkan. Yang lain hancur.

AIM 2008 pula menyaksikan Faisal Tahir membuat kepulangannya semula. Malah dengan selambanya dia memakai baju Supermannya ketika memberikan persembahannya. Mujurlah dia tidak buka baju sekali lagi untuk menunjukkan dialah Superman sejati.

Apapun Abahfateh bukannya ingin berbicara tentang AIM 2008 ataupun Akademi Fantasia tetapi ingin mencatatkan beberapa catatan yang saya alami sepanjang hari minggu yang lalu. Lagipun hari Sabtu lepas, saya menonton Majalah 3. Yang lain hanyalah lintas langsung sementara menanti iklan habis.

1. Takziah kepada rakan, Abdullah Side

Saya menerima SMS daripada Azmin di Kuala Lumpur memaklumkan pemergian anak lelaki Abdullah Side, Anszar Aariz. Jenazahnya selamat dikebumikan di Kudat, Sabah semalam. Sekali lagi, takziah daripada saya sekeluarga.

Pemergian Almarhum memberi kesan kepada saya. Pertamanya, saya sendiri berkira-kira mahu melawatnya di hospital apabila saya balik ke Kajang minggu hadapan. Tiada rezeki nampaknya. Keduanya, memberi peringatan kepada saya, bahawa nyawa ini milik Allah. Tidak kira tua atau muda, apabila tiba masanya, kita akan pergi juga.

Ya Allah, apakah aku sudah bersedia menghadap-Mu jika Engkau menjemputku sekarang? Berikanlah segala hidayah dan keredhaan-Mu, Ya Allah.

2. Pertama kali Abahfateh menolong isteri membuat kek.

Saya memang suka memasak. Namu apabila tiba bab-bab membuat kek, saya menyerah diri. (roti tidak, saya gemar sekali belajar membuat roti)

Hendak tergelak pun ada semalam apabila saya menuangkan bahan kek ke dalam acuan. Macam budak kecil, sibuk bertanya betul atau tidak, cukup ataupun tidak dan sebagainya. Alhamdulillah, menjadi kek tersebut. Kini isteri saya sedang menajamkan kemahirannya untuk membuat hiasan kek. Bersedia untuk hari besar adik iparnya minggu hadapan.

3. Barang Naik.

Pening kepala saya mendengarkan kenyataan Menteri Pertanian bahawa bekalan beras negara mencukupi namun keluhan rakyat menunjukkan perkara sebaliknya berlaku. Apatah lagi dengan situasi dunia berhadapan dengan kenaikan harga beras. Secara peribadi, beras 5 kilo yang di beli awal April lalu masih banyak bakinya. Berkat tidak ambil nasi di waktu malam.

Namun pada hari minggu yang lalu, setiap kali saya membuat bayaran saya mengeluh panjang kerana semuanya naik harga. Saya senaraikan antaranya;

a. Harga milo ais, sirap ais dan limau ais = RM1.70/segelas (sirap pun sama harga dengan milo?)

b. Harga jahit kasut = RM15; dulu RM12 sahaja. Kenaikan 25%.

c. Harga dobi untuk basuh tilam toto = RM19; dulu RM17, dulunya RM15 dan dulunya RM13. Semuanya untuk tempoh setahun. Kenaikan 46%.

d. Harga susu anak saya : RM58; dulu RM54. Kenaikan 7%.

Saya perlu semak semula belanjawan keluarga saya. Hanya harga gunting rambut di kedai gunting mamak masih bertahan RM5 sehingga ke hari ini. Anda bagaimana?

Friday, May 2, 2008

Halal oh Halal (Bahagian 2)

Belum pun isu halal di hotel 5 bintang sejuk, kini kerajaan telah memindahkan satu fungsi JAKIM iaitu kuasa mengeluarkan sijil halal ke sebuah yang baru ditubuhkan. Artikel ini saya petik di UnivervitiPTS oleh Puan Ainon Ahmad.

Secara peribadi, saya runsing dan bimbang kerana apabila sesuatu fungsi sudah diperbadankan dan mempunyai unsur-unsur meraih keuntungan maka maruah agama dan umat Islam itu akan tercemar. Jakim yang selama ini langsung tidak diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap 'halal palsu', maka dengan adanya perbadanan seperti ini, akan adakah kuasa tersebut?

Abahfateh
===================

Buku Halal

PTS hanya menerbitkan buku-buku yang syariah-compliant.

Kita berangan-angan, suatu hari nanti PTS berjaya mendapatkan sijil dan logo "HALAL" dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi dicetak pada cover depan buku-buku PTS.

Apabila logo HALAL dapat dicetak pada cover buku-buku PTS, khususnya buku-buku novel remaja, ia dapat menambahkan lagi keyakinan pelanggan terhadap darjah keselamatan buku-buku itu apabila dibaca oleh remaja. Ini akan menjadikan buku-buku PTS amat dipercayai oleh guru-guru dan ibu bapa.

Tetapi PTS terkejut apabila mendapat tahu bahawa kerajaan telah menyerahkan hak pensijilan halal yang selama ini dikendalikan oleh JAKIM kepada sebuah syarikat yang bernama Halal Development Corportion (HDC).

Tengok wajah-wajah anggota lembaga pengarah HDC klik di sini.

Tengok lagi wajah-wajah orang penting HDC klik di sini.

Wah! Hebatnya syarikat HDC ini, sehinggakan berjaya mendapat hak pensijilan halal daripada kerajaan.


(Abahfateh : Orang dalam pengurusan pun 'tidak halal' dilihat)

Halal oh Halal (Bahagian 1)

Saya teringatkan janji saya pada Dr Azwan untuk meng'link'kan entrinya berkaitan dengan status halal hotel-hotel di Malaysia. Saya petik entrinya dan silalah lawat blog Dr Azwan untuk catatan tambahannya.

Semoga kita semua umat Islam bersatu padu.

Abahfateh.
============

Hidangan Restoran Hotel 5 Bintang - Halal Atau Haram?

Assalamualaikum,

Pada hari Ahad yang lepas, sekiranya anda mendengar siaran Radio 24 bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada jam 2 pm, terdapat satu wawancara yang sangat menarik di antara Pengulas Radio 24, Tokki dan 2 orang Chef.

Isu ini begitu menarik sehinggakan saya terasa rugi jika tidak mendengar celoteh mereka walaupun hanya hendak bangun ke tandas. Isu kepenggunaan kali ini ialah tentang Halal atau Tidak Halal Makanan yang Dihidangkan di Hotel 5 bintang.

Seperti yang kita maklum, waktu orang Islam berpusu-pusu untuk makan di Hotel 5 bintang ialah ketika bulan Ramadhan. Bukan sahaja individu, malah syarikat-syarikat juga menjamu pekerja-pekerja dan pelanggan masing-masing di Jamuan Berbuka Puasa di Hotel 5 bintang. Maklumlah, Setelah penat dan lapar berpuasa pada siangnya, tentulah waktu untuk berbuka itu sewajarnya diiringi dengan juadah-juadah yang lazat dan sedap.

Tetapi jangan terkejut kerana hidangan anda di Restoran 5 Bintang itu belum tentu HALAL. Apa hukumnya puasa anda sekiranya berbuka dengan makanan yang Haram?

Yang menariknya di dalam program ini, 2 orang Chef telah bersama-sama menceriakan rancangan ini. Apa kata mereka?

Salah seorang Chef memberitahu, dari pengalamannya dahulu, di dalam retoran hotel 5 bintang yang menghidangkan buffet, terdapat 5 bahagian dapur masakan (Masakan Melayu, Masakan Barat, Masakan Cina.... tak ingat lagi dua). Setiap satu dapur diketuai seorang Chef yang dipanggil Eksekutif Chef. Di dalam buffet, setiap dapur akan memasak makanan tertentu untuk buffet tersebut. Resepi-resepi untuk makanan yang dimasak daripada setiap dapur adalah hak mutlak Eksekutif Chef. Ini bermakna tiada orang lain berhak memberi komen tentang resipi yang telah ditetapkan oleh Eksekutif Chef.

Eksekutif Chef ini terdiri daripada orang yang pakar dan ahli di dalam masakannya untuk menjaga kualiti makanan yang dihasilkan (5 bintang lah katakan...). Sekiranya Dapur Masakan Melayu tentulah eksekutif Chefnya adalah seorang Melayu. Sekiranya western maka pakarnya tentulah orang dari luar negara, begitu juga masakan cina dan lain lain.

Sesetengah Chef yang mungkin berasal dari luar negara mempunyai cara memasak mereka yang tersendiri. Jika mereka sudah biasa meletakkan arak di dalam makanan di luar negara, mereka pasti akan meletakkan Arak ketika memasak di dapur sini.

Salah seorang chef berkata, ketika beliau baru memulakan kerjayanya, beliau melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang dimasak di Hotel 5 bintang ini. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis botol arak bersama-sama dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup. Jika tidak silap saya, bukan sup sahaja makanan yang mengandungi arak.

Selain daripada Arak, ada yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini. Menurut chef tersebut, terdapat dua mesin pengisar daging di dapur tempat beliau bekerja. Satu bertulis "PORK" pada papan tanda berdekatan dan satu lagi bertulis "NON-PORK". Tapi dia amat kecut perut.. bila semua orang seperti tak nampak (atau buat-buat tak nampak) sahaja papan tanda itu... Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana... sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin tersebut setiap kali habis bertugas. Yang memakan masakan itu pula ialah kita.

Pada kebiasaannya, sesetengah hotel mengasingkan pinggan yang digunakan untuk menghidangkan khinzir di satu tempat yang berasingan untuk dicuci. Ini adalah kerana, pencuci pinggan dahulunya adalah di kalangan orang Islam. Tetapi menurut chef itu sekarang, pencuci pinggan adalah di kalangan orang Myanmar dan Bangladesh. Mereka bukannya tahu pinggan mana yang ada khinzir ataupun tidak. Untuk memudahkan kerja, semuanya dicampurkan sekali. Habis semuanya....

Chef itu juga ada bercerita tentang kek-kek yang dihidangkan yang mempunyai arak, contohnya tiramisu. Banyak juga dessert dan kek yang tidak halal dihidangkan.

Adakalanya, daging yang di grill, ayam-ayam atau makanan yang dibakar adalah halal. Begitu juga dengan makanan laut. Namun, Chef menasihatkan agar lebih berhati-hati dengan pelbagai sos atau pencicah yang disediakan bersama kerana ia dikhuatiri tidak halal.

Ada juga pada waktu waktu tertentu chef ini akan keluar dan melihat-lihat para pelanggan. Sekiranya beliau melihat orang Islam mendekati makanan-makanan yang tidak halal, maka dia akan mendekati mereka dan berbisik "Encik, makanan ni tidak halal...". Tapi tentulah banyak daripada masa mereka berada di dalam dapur. Jadi nasiblah kepada para pelanggan Islam yang lain sekiranya tidak sengaja menikmati makanan yang haram.

JAKIM telah memberi sijil Halal kepada 3 buah hotel sahaja tetapi sampai tamat program wawancara Radio 24 itu, saya tidak dapat menangkap nama Hotel 5 Bintang yang mana satu. D'Saji Felda telah diiktiraf Halal oleh JAKIM menurut Tokki (PPIM) cuma ia bukan nama Hotel 5 Bintang yang ingin saya dengar.

Saya berasa sangat terkesan di dalam hati apabila mendengar program ini dan pendedahan pengalaman-pengalaman daripada 2 orang Chef jemputan. Salah seorangnya kini telah menjadi Ketua Chef untuk Tabung Haji dan salah seorang lagi bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat makanan. Ia menjadi pengajaran kepada kita bahawa makanan yang nampak mahal dan sedap itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kita.

Sekiranya anda tahu Hotel 5 Bintang yang diiktiraf Halal oleh JAKIM sila kongsikan kepada semua pembaca.

Wassalam...

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP