Tuesday, May 27, 2008

Adakah Kita Semberono Mengikut-ngikut?

Saya berikan dua cerita untuk anda fikirkan bersama.

Cerita 1 : Kisah 4 Ekor Monyet.

4 ekor monyet ditempatkan ke dalam sebuah sangkar. Di atas sangkar itu tergantung sesisir pisang yang masak ranum. Maka kesemua monyet itupun berusaha memanjat jeriji sangkar tersebut untuk mendapatkan pisang tersebut. Namun, sebaik sahaja mereka memanjat jeriji maka air yang kuat akan disemburkan ke arah mereka. Setiap kali mereka memanjat, maka air akan dipancutkan bagi menghalang mereka daripada meneruskan niat mereka. Perkara ini berlarutan sehinggalah kesemua monyet tersebut tidak lagi berusaha mendapatkan pisang yang tergantung di atas sangkar mereka.

Selepas itu, seekor monyet dikeluarkan dan diganti dengan seekor monyet baru. Monyet baru ini sebaik sahaja nampak pisang tergantung maka ia cuba mendapatkannya. Niatnya terhalang kerana kali ini dia ditarik turun oleh 3 ekor monyet yang lebih senior. Dicuba berkali-kali namun dihalang sehingga akhirnya ia tidak lagi berusaha mendapatkan pisang tersebut walaupun tanpa mengetahu mengapa ia ditarik turun oleh monyet-monyet senior yang lain.

Kemudian seekor monyet senior dikeluarkan dan digantikan dengan yang baru. Maka proses yang sama berlaku sehinggalah kesemua 4 ekor monyet senior yang mengalami pengalaman dipancut air pada awalnya keluar.

Kini, monyet baru yang masuk menggantikan monyet senior yang terakhir juga ditarik turun oleh monyet-monyet yang lain yang langsung tidak pernah mengalami pengalaman dipancut air.

Cerita 2 : Kenapa dibuang Kepala dan Ekornya?

Kartini, seorang anak kecil berusia sembilan tahun menolong ibunya memasak ikan panggang untuk dibuat pecal (satu masakan istimewa masakan jawa). Kartini terperasan sesuatu lalu bertanya kepada ibunya. ”Ibu, kenapa ibu masak ikan tanpa kepala dan ekornya?


Ibu Kartini memandangnya dengan penuh kasih sayang namun agak kehairanan dengan soalan itu. Dia berfikir sejenak lalu menjawab. ”Embah Kartini dulu juga membuang kepala dan ekornya sebelum dipanggang.” (embah adalah nama panggilan untuk nenek dalam masyarakat Jawa)

Kartini tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ibunya. Maka dia pergi ke rumah Embahnya lalu bertanya. ”Embah, kenapa embah membuang kepala dan ekor ikan sebelum dipanggang?”

Embah Kartini memandang Kartini dengan penuh kasih-sayang. Dia berfikir sejenak lalu menjawab. ”Emak Embah yang menunjukkan cara begitu, ekor dan kepala ikan dibuang sebelum dimasak. Apa kata kita sama-sama bertanya pada emak Embah?” cadang Embah Kartini apabila melihat riak muka cucunya yang seperti tidak berpuas hati dengan jawapannya.

Lalu Kartini bersama-sama Embahnya ke rumah Embah Buyut (embah buyut adalah nama panggilan untuk moyang dalam masyarakat Jawa). Sesampainya di sana, dengan penuh sopan Kartini bertanya. ”Buyut, mengapa Buyut membuang kepala dan ekor ikan sebelum memasaknya?”

Embah Buyut mengambil masa yang lebih lama daripada Ibu dan Embah untuk menjawabnya. Sambil menggobek pinangya, Embah Buyut menjawab dengan bersahaja, ”Kepala dan ekornya Buyut buang kerana Buyut berikan kepada kucing kesayangan Buyut dahulu.”

Kartini memandang Embahnya yang hanya tesengih memandang cucunya

------------------T.A.M.A.T C.E.R.I.T.A-----------------------------

Adakah kita hanya mengikut sahaja adat, kebiasaan dan amalan nenek moyang kita malahan polisi syarikat tempat kita bekerja tanpa mengetahui sebabnya. Bertanyalah jika ada ruang untuk bertanya. Apabila dinyatakan sesuatu perkara itu dilakukan kerana mengikut kehendak polisi, cubalah cabar orang itu dengan bertanya. ”Boleh saya tengok polisi tersebut?” Agak-agaknya, wujudkah polisi tersebut?

Jika anda bertanya kepada orang-orang tua, maka mereka mungkin menjawab. ”Engkau budak-budak lagi, ikut sahaja apa orang tua cakap.”

Adakah kerana mereka malas menjawab ataupun mereka sendiri tidak tahu mengapa amalan tersebut dilakukan?

0 comments:

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP