Monday, June 16, 2008

Selamat Hari Bapa

Anekdot Hari Bapa.

“Fateh, mari sini sebentar.” Ibufaiq memanggil Fateh yang sedang leka menatap buku bergambarnya. Abahfateh yang sedang asyik membaca terhenti bacaannya. Fateh segera pergi. Kelihatan Ibufaiq sedang berbisik sesuatu kepada Fateh, tersenyum-senyum mereka berdua. Kemudian datang Fateh kepada Abahfateh.

“Abah, selamat hari jadi,” ucap Fateh sambil tersengih-sengih kemudian terus berlari ke Ibufaiq dan memeluk ibunya. Meledak ketawa Ibufaiq mendengar.

“Hari jadi Abah lambat lagilah. Hujung tahun ini.” balas Abahfateh sambil tumpang ketawa Ibufaiq.

"Salahlah. Mari sini Ibu ajarkan.” Ibufaiq sekali lagi berbisik kepada Fateh. Fateh datang semula kepada Abahfateh. Tersengih-sengih Fateh melihatkan ayahnya sedang menunggu apa yang bakal diucapkan.

”Abah, selamat hari raya.” bersahaja Fateh mengucapkannya. Terus dia berlari ke ibunya. Terhambur ketawa Abahfateh dan Ibufaiq.

”Amboi, puasa pun belum lagi sudah ucap selamat hari raya.” usik Abahfateh dalam ketawanya.

”Habis itu, apa dia?” rengek Fateh kepada ibunya. Sekali lagi Ibufaiq berbisik. Fateh sekali lagi datang kepada Abahfateh.

”Abah, selamat hari abah”. Ucap Fateh lebih yakin.

”Baru betul begitu.” sambut Ibufaiq mendengar Fateh mengucapkannya dengan betul.

”Terima kasih. Sayang anak abah.” balas Abahfateh sambil memberikan kucupan kepada Fateh.

Catatan Hari Bapa

Masih belum terlambat saya mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa dan bakal-bakal bapa yang berada di luar sana. Semoga anda semua dapat menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kita semua agar mereka akan menjadi insan yang baik dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sekadar pandangan daripada isteri saya. Adakah kita terhad meluahkan rasa sayang dan penghargaan kita kepada insan tersayang pada hari-hari tertentu?

Al-Fatihah kepada ayah saya, ibu saya dan ibubapa kita sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah menemui Yang Esa.

1 comments:

fared Monday, June 16, 2008 5:22:00 PM  

Selamat Hari Abah buat AbahFateh :D
moga menjadi abah yang mithali dan di sayangi anak-anak. amin. :)

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP