Thursday, June 5, 2008

Kisah Malam Terakhir Sebelum Harga Minyak Naik.

”Ibu sangka waktu ibu kecil sahajalah yang paling susah di kampung dahulu, rupanya-rupanya waktu Fateh lagi mencabar, lagi susah untuk dihadapi.”

Malam semalam saya adalah di antara ribuan pengguna yang mengambil kesempatan terakhir untuk memenuhkan tangki minyak kereta masing-masing dengan harga RM1.92/liter. Ketika beratur, terngiang-ngiang di telinga saya nasihat kakikatangan saya untuk mengisi lebih awal kerana khabar angin mengatakan ia akan berkuat-kuasa serta merta bukan pada Ogos seperti jangkaan awal saya.

Sememangnya topik hari itu adalah berkenaan harga minyak yang bakal naik dan kesannya. Ketika waktu makan tengahari, kami di kafetaria berpakat membuka RTM1 untuk mengikuti Warta 1 tengahari. Namun tiada berita yang keluar.

Saya simpulkan kepada rakan-rakan yang lain. ”Kabinet belum habis mesyuarat lagi. Kita dengar berita di radio sahajalah nanti.”

Petang itu saya pulang awal selepas isteri memberitahu beliau syak anak kami, Fateh kena demam campak. Sedang bersiap untuk ke klinik, saya terima SMS daripada rakan berbunyi. ”Isi minyak penuh-penuh malam ini. Harga minyak naik malam ini. Maklumat daripada PETRONAS Dagangan Berhad.”

Saya beritahu isteri. ”Kita pergi lepas solat maghriblah. Hendak isi minyak.” Isteri saya setuju apatah lagi anak kecil kami, Faiq sudah tertidur di atas tilamnya.

Sedang saya tukar baju, tiba-tiba rakan yang lain datang dengan suaminya. Saya sambut mereka dan kami berbual-bual lagi. Masih tentang harga minyak di samping perkara yang menjadi hajat mereka. Kemudian mereka pulang.

Sejurus selepas itu, saya terima panggilan daripada orang saham. Di hujung gagang telefon kedengaran beliau macam marah-marah, kesal, geram dan sebagainya. Agaknya beliau minta saya sampaikan rasa kesalnya kepada Tan Sri Presiden PETRONAS. Kami berdua memang akur dengan kenaikan harga cuma tidak dapat menerima kadar kenaikannya dan masa ia dinaikkan. Antara kata-kata saya, ”Kalau dulu Pak Lah boleh tipu tarikh bubarkan Parlimen, inikan pula tarikh harga minyak naik. Lepas ini entah apalah lagi.”

Selepas itu, SMS tiba tanpa henti buat seketika.

Selepas solat maghrib, kami singgah ke stesen minyak yang baru dibuka 2 hari lalu. Alhamdulillah, selang 1 kereta sahaja sebelum giliran saya. Tiba giliran saya, saya terpaksa tunggu hampir 5 minit sebelum terima isyarat ’boleh isi’ daripada isteri saya yang membuat pembayaran. Sebaik isteri saya masuk ke dalam kereta, beliau beritahu saya, ”Budak-budak di kaunter itu berpeluh dalam kedinginan. Panik mungkin. Tuan punya stesen pula macam tidak tahu hendak buat apa.”

Tergelak saya mendengarnya sambil mencongak sedih berapa perlu saya bayar untuk tangki penuh mulai 5 Jun 2008.

Pada 4 Jun 2008; tangki penuh = RM73.50

Jika 5 Jun 2008; tangki penuh = RM73.50 X 142%
= RM104.37

Saya kongsi angka tersebut dengan isteri dan beliau macam terdiam tidak terkata apa. Mungkin membuat congakannya sendiri.

Kemudian, kami terus ke klinik. Fateh sudah mamai, suhu badannya makin tinggi. Dalam perjalanan, kami lihat kereta sudah beratur panjang, setiap stesen minyak, kereta beratur dalam 1km hingga 1.5km. Di Labuan, ada 6 stesen minyak sahaja, 3 PETRONAS, 2 Shell dan 1 Esso. Kami suami isteri bersyukur banyak-banyak kerana kami hanya perlu tunggu tidak sampai setengah jam berbanding yang lain.

Tiba di klinik, kami terus berjumpa doktor. Sekali periksa, doktor sahkan Fateh demam campak. Yang menariknya, kami berbincang tentang kenaikan harga minyak lebih berbanding sakit anak saya. Doktor tersebut bimbangkan beberapa perkara, kenaikan harga barang keperluan, kenaikan harga perkara asas yang lain (beliau kongsi bahawa TNB akan naikkan taarif) dan juga berapa ringgit beliau harus penuhkan kereta 4X4 Harriernya.

Antara perkataannya yang menyentuh hati saya ialah, ”Saya sebenarnya rasa sedih sangat, sedih sangat apabila harga minyak ini naik sebanyak ini.”

Selepas itu kami ke pasaraya membeli beberapa barang keperluan. Setiba di pasaraya isteri saya berbisik. ”Tak ramai orang, biasanya ramai betul sampai hendak berjalan pun susah.”

Saya sambut. ”Semua orang sibuk isi minyak.”

Dalam perjalanan pulang ke rumah, isteri saya sarankan agar kami kira jarak kereta yang berbaris panjang. Berpandukan meter jarak kereta, kami kira setiap seratus meter. 900 meter jaraknya daripada kereta terakhir hingga ke simpang masuk stesen minyak!

Sesampainya di rumah, kami suami isteri masih berbincang tentang kesan kenaikan harga minyak ke atas keluarga kami. Saya seolah-olah hilang ’mood’ malam itu apabila lebih banyak berdiam diri daripada berbicara. Tanpa sedar saya berbicara. ”Jika kita yang punya pendapatan sebaik ini pun terasa, bagaimana agaknya mereka yang lebih rendah daripada kita?”

Isteri saya hanya mendengarnya sahaja. Anggukannya sahaja yang saya lihat. Mungkin terkesan dengan bicara saya, beliau berpaling kepada Fateh yang sedang asyik menonton televisyen lalu berkata, ”Ibu sangka waktu ibu kecil sahajalah yang paling susah di kampung dahulu, rupanya-rupanya waktu Fateh lagi mencabar, lagi susah untuk dihadapi.”

Benarlah kata isteri saya, dahulu hidup susah sekurang-kurangnya ada sumber makanan di sekeliling rumah. Kini, pucuk ubi dan ubi kayu pun kena dibeli.

5 comments:

Anonymous Thursday, June 05, 2008 12:06:00 PM  

aku nak tanam sayur kat kajang. haha

pakdi
http://my.pakdi.net

syamsul Friday, June 06, 2008 10:59:00 AM  

Abah Fateh, meskipun dikau jauh nun disana, byk perkara yg kita kongsikan bersama seperti harga minyak yg baru ni..

Anonymous Friday, June 06, 2008 2:03:00 PM  

pakdi - kat kajang tue kat mana? rumah? ke kau nak pajak tanah?

bro syamsul - biasalah tue. tak lamo lagi dekatlah.

Anonymous Sunday, June 08, 2008 1:48:00 PM  

saya cuma kesiankan individu yang bergaji rm450 sebulan dan tiada alaun lain. nampaknya,paklah menyimbah minyak yang telah naik harga kepada orang ramai. mari kita sama-sama naik minyak!! :D

Anonymous Monday, June 09, 2008 4:06:00 PM  

tanam je la kat belakang umah. buat makan sendiri je. hehe

pakdi
http://my.pakdi.net

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP