Para pembaca sekalian, saya percaya anda semua memiliki jam. Apakah perkara-perkara yang anda pertimbangkan sebelum anda membeli jam tersebut?
Anda mungkin menimbangkan daripada segi harga, jenama, gaya, ketahanannya dan sebagainya. Akhirnya anda beli sebuah jam tangan berjenama terkenal yang mempunyai gaya ’sporty’ agar anda nampak bergaya ketika bersukan atau beriadah. Jam itu mungkin berharga RM250 – RM500. Jika anda tanya saya, mungkin jam paling mahal yang saya sanggup leburkan duit saya untuk membelinya adalah yang berharga RM100.
Keperluan saya hanyalah untuk mengetahui masa dan muat dipakai. Saya berasa puas dengannya dan tidak pernah berasa rendah diri melihat orang lain memakai jam lebih berjenama dan mahal. Kerana apa? Saya telah membeli sesuatu yang memenuhi keperluan saya dan ini bermakna jam itu cukup kualitinya bagi saya. (Jam tangan saya kini adalah pemberian syarikat tempat saya bekerja dan itulah sahaja jam yang saya ada)
"Keperluan saya hanyalah untuk mengetahui masa dan muat dipakai."
Kebanyakan daripada kita apabila diajukan soalan berkaitan apa itu kualiti rata-rata akan mengaitkan dengan jenama, harga dan gaya. Inilah yang menyebabkan kita akhirnya membayar sesuatu yang tidak perlu. Sebagai contoh, ’handphone’. Ramai di antara kita yang memilih untuk membeli ’handphone’ yang punya pelbagai fungsi. Daripada 3G, muzik, kamera, paparan video dan sebagainya. Akhirnya, apakah fungsi yang benar-benar kita pakai? Menerima dan membuat panggilan serta menerima dan menghantar SMS. Yang lain-lain? Amat jarang sekali digunakan secara optimum. Maka kita sekali lagi membayar untuk sesuatu yang jarang sekali kita gunakan.
Jadi apakah itu kualiti yang sebenarnya. Menurut salah seorang Guru Kualiti yang terkemuka iaitu Philip B. Crosby, beliau menyatakan ”The Definition of Quality Is Conformance to Requirements” atau Definisi Kualiti Adalah Memenuhi Keperluan.
Oleh itu, sekiranya anda menimbangkan untuk membeli sesuatu atau berususan dengan pelanggan anda pastikan anda sekurang-kurangnya mengenalpasti;
1. Keperluan yang mesti dipenuhi.
2. Keperluan yang bagus jika ada.
Sudah pasti anda perlu memenuhi perkara pertama. Perkara kedua biasanya melibatkan pertambahan kos. Saya percaya sekiranya kita betul-betul mengenalpasti apakah keperluan kita maka kita akan memperolehi sesuatu yang berkualiti.
2 comments:
hahaha. saya sudah insaf untuk memakai jam tangan yang mahal. dulu, saya pernah sekali tertinggal di tempat wuduk, dan ianya terus hilang.
saya pun pernah kehilangan... 3 kali lagi.. mahal juga lepas tu taubat dah . Sekarang bila nak ambil wuduk di surau atau masjid saya terus masuk kocek bukan sangkut/letak di tempat wuduk.
Post a Comment