Thursday, January 8, 2009

Palestin; apa kelemahan umat Islam?

Imej dari thedailybanter.com

Sudah hampir dua minggu askar-askar negara haram Israel menceroboh bumi Palestin. Ini bermakna selama itulah rakyat Palestin terutamanya kanak-kanak, warga tua dan wanita diseksa emosi mereka apatah lagi melihat tanah tumpah darahnya dilanyak dan saudara mara serta kenalan mereka terkorban di hadapan mata kita. Sukar untuk kita bayangkan penderitaan yang mereka alami yang bukan sekadar 2 minggu yang lalu tetapi sudah berlarutan sejak dahulu lagi.

Saya mengutuk dan mencela sekerasnya-kerasnya perbuatan tentera-tentera, pemimpin-pemimpin negara haram Israel dan konco-konco mereka seperti Amerika Syarikat. Semoga Allah melaknat perbuatan mereka.

Apa lagi yang boleh kita lakukan selain menyatakan kebencian kita?

Boikot barangan buatan Amerika dan Israel? Malangnya kita terlalu bergantung kepada mereka.

Hulurkan bantuan kewangan kepada Palestin? Saban hari duit seringgit merungut kerana asyik singgah ke tabung masjid dan tabung anak-anak yatim sahaja.

Hendak memimpin dunia Islam menentang Israel? Siapalah kita sedangkan Pengerusi OIC pun lambat sangat tindakannya selambat entri ini ditulis.

Berjuang bersama-sama kumpulan Hamas dan rakyat Palestin? Hendak menyatakan kebenaran Islam dan mencegah kemungkaran di depan mata pun kita terkunci mulut inikan pula hendak mengangkat senjata.

Seruan saya buatlah apa yang boleh kita buat dalam kapasiti kita sebagai seorang individu muslim. Jika anda mampu sehingga ke tahap berjuang di sana, saya doakan anda mendapat syahid. Malangnya dalam ramai umat dunia ini mengutuk keras pencerobohan Israel, ramai juga umat Islam yang semakin meninggalkan cara hidup Islam yang sempurna ini.

Mari kita fikir-fikirkan apa yang boleh kita pelajari di sebalik kerakusan Israel laknatullah ini? Ekonomi umat Islam sangat lemah dek kerana terlampau tinggi pergantungan kita kepada negara-negara barat bukan Islam. Umat Islam ketinggalan daripada segi teknologi kerana kita tidak berfikir dalam kerangka fikiran umat Islam yang hebat-hebat seperti Ibnu Sina, Ar-Razzi dan sebagainya.

Daripada segi politiknya pula, sudahlah negara-negara umat Islam dipecah-pecahkan daripada segi geo-politiknya, pemimpinnya pun tidak mahu bersatu padu kerana punya kepentingan masing-masing. Umat Islam pula semakin goyah pegangan agamanya kerana terlampau mengajar impian duniawi sehingga lupa kepada kekuatan rohani yang sebenarnya mampu menjadi senjata paling ampuh yang mampu memberi kekuatan kepada kita dalam apa jua keadaan.

Pemimpin umat Islam lemah. Tentera-tentera Islam pun sangat rapuh (ekonomi, teknologi, pertahanan dan sebagainya). Umat Islam pula sangat lalai secara amnya dan terlalu disibukkan dengan hal-hal yang kecil. Rasulullah pernah berkata, “Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Walaupun konteks hadis itu lebih kepada penawanan semula Kota Istanbul ke tangan orang Islam namun di situ ada disebut antara pra-syarat kemenangan untuk umat Islam ialah ketua itu mestilah sebaik-baik ketua begitu juga dengan orang bawahannya. Marilah kita berusaha daripada sekarang untuk mendapatkan ketua yang mengajak kita kepada kemenangan dunia dan akhirat yang sebenar juga membentuk masyarakat yang berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Siapapun anda, guru, professional, tentera, polis, pemimpin masyarakat, ahli akademik ataupun blogger seperti saya, marilah kita bersama-sama menyampaikan mesej kita tidak mampu lagi mengenang kehebatan Rasulullah, sahabat-sahabat dan pemimpin Islam terdahulu tanpa ada usaha untuk menjadi sehebat mereka juga.

Nota:

Kepada pembaca yang beragama Islam, bacalah doa dan selawat setiap kali membaca nama atau panggilan Nabi Muhammad.

3 comments:

ckLah @xiiinam Saturday, January 10, 2009 8:25:00 PM  

Gema perjuangan sekian dekad tetap bertalu
Berkumandang di gegendang saudara sejagat merata buana
Desing peluru yang merobek kujur jasad warga
tak mampu membunuh jiwa dan semangat seagama

Nakbah ini tak akan lestari
Gharqad pasti layu di tanah al Ayyubi

CikguZue Tuesday, January 13, 2009 2:19:00 AM  

salam ziarah,
semoga umat Islam di tanahair dan di mana jua mereka berada mula sedar drpd tidur yg sudah lama lena.

Anonymous Tuesday, January 13, 2009 10:43:00 PM  

ckLah - apa maksud nakbah dan gharqad?

apapun terima kasih kerana sudi mencoretkan sajak di ruangan ini.

CikguZue - betul. bangkit daripada lena bukan sekadar berarak di jalanraya berdemo, derma dan boikot.. ia lebih daripada itu.

terima kasih kerana singgah.

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP