Sunday, December 28, 2008

Azam Tahun Baru


Tahun baru datang lagi. Kali ini Tahun Baru Islam dan juga Tahun Baru Georgian hampir sama tahun ini. Selangnya cuma 2 hari sahaja. Ujiam besar buat umat Islam kerana pada malam ahad sebelumnya sudah berdoa akhir tahun dan awal tahun. Selang 2 hari kemudian takkanlah hendak berjoget di Dataran Merdeka pula?


Apabila tibanya tahun baru, maka soalan yang paling popular adalah apakah azam anda pada tahun ini? Secara umumnya, azam itu dibuat kerana 3 perkara.

Pertama ingin mencapai sesuatu ataupun membina cita-cita baru seperti ingin berkahwin, lulus cemerlang dalam peperiksaan ataupun berusaha untuk naik pangkat.


Kedua ingin memperbaiki kelemahan yang sedia ada seperti mendapatkan berat badan ideal, mengurangkan sifat panas baran, lebih berjimat dan menambahkan simpanan di bank.


Ketiga pula adalah memperkukuhkan kekuatan yang sedia ada seperti memperbaiki bacaan Al-Quran yang sudah sedia baik.


Persoalannya, apakah yang diperlukan untuk merealisasikan azam kita itu. Maka banyaklah panduan yang diberikan di majalah-majalah, akhbar dan dibincangkan secara langsung ataupun tidak langsung di dalam media elektronik. Kebanyakan yang saya ikuti adalah bagaimana untuk mencapai azam. Contohnya jangan berazam terlalu banyak, berkomunikasilah dengan pasangan anda untuk mendapatkan sokongan sehinggalah tulis besar-besar azam anda untuk dilekatkan di tempat yang selalu anda lalu/singgahi. Anda boleh pilih cara apakah yang sesuai untuk anda namun janganlah lupa akan faktor penting untuk merealisasikan azam anda, kepercayaan anda.
Apakah faktor pendorong kepercayaan anda yang akan dapat menukarkan ia kepada bentuk tindakan?


Sebagai contoh, apabila seseorang itu diberitahu oleh doktornya bahawa beliau menghidap kencing manis dan dinasihatkan agar menjaga permakanannya, seseorang itu pasti akan dapat menjaga permakanannya walaupun dia mungkin digelar ‘lori DBKL’ oleh rakan-rakannya sebelum itu. Apakah kepercayaan orang itu yang mendorong tindakannya itu?


Seseorang yang pernah gagal dalam peperiksaan yang penting contohnya, lazimnya apabila diberi dorongan yang sewajarnya maka dia akan bangkit semula dan mendapat kelulusan tertinggi. Saya ada banyak mendengar kisah-kisah mereka yang dahulunya gred 2 ataupun 3 dalam SPM, kini bergelar Doktor Falsafah, punya kelulusan Sarjana dan sebagainya ataupun setidaknya-tidaknya berjaya dalam perniagaan yang diusahakannya. Apakah yang mendorong tingkahlaku mereka dalam menggapai impian mereka?


Ia sebenarnya terletak dalam pemikiran kita. Kepercayaan kita akan mendorong kita untuk menunjukkan tingkah laku, berfikir sewajarnya. Sebagai contoh, kerana percayakan Allah dan percayakan adanya Hari Pembalasan, maka kita pun patuh kepada setiap suruhanNya dan laranganNya. Bagi mereka yang tidak percayakan Allah, tidak mungkin mereka solat 5 waktu.


Maka dalam membina azam, kita perlu bina dahulu mengapa kita berazam sedemikian. Sebagai contoh, pelajar yang berazam untuk lulus SPM tahun 2009 kerana percaya ia boleh mengubah atau menentukan nasib hidupnya maka pelajar tersebut akan tekun berusaha sehinggalah memperolehi kelulusan yang tertinggi yang beliau mampu dengan kualiti sebagai insan yang berkualiti. Berbeza dengan pelajar yang percaya lulus periksa sekadar untuk masuk universiti, maka biasanya mungkin pelajar itu sekadar masuk universiti, lulus begitu-begitu sahajalah malahan kurang berjaya membentuk dirinya sebagai graduan yang laku dalam pasaran pekerjaan.


Azam untuk menguruskan badan sekadar untuk kelihatan cantik, seksi ataupun tampan biasanya mungkin tidak bertahan lama berbanding kerana percaya berat badan yang ideal adalah lambang kesihatan yang unggul di mana seseorang itu akan dapat ‘hidup’ lama untuk keluarganya.


Kepercayaan itu harus anda bina terlebih dahulu sebelum membina azam. Kegagalan percaya kenapa alasan anda membina azam itu biasanya tidak cukup berkuasa untuk mendorong anda untuk menunjukkan tingkah laku yang sewajarnya untuk merealisasikan azam tersebut.


Satu lagi kaedah untuk menguatkan kepercayaan kita adalah berasa sakit mengenainya. Contoh pesakit kencing manis seperti di atas juga mungkin didorong oleh kerana pesakit itu telah berasa sakitnya berada dalam situasi demikian.


Berasa sakit akibat penggunaan kad kredit yang tidak terkawal akan menyebabkan seseorang itu lebih baik pengurusan perbelanjaan sebaik beliau keluar daripada kemelut kad kredit itu. Beliau percaya tanpa pengurusan perbelanjaan yang baik mungkin akan menyebabkan beliau terjebak dalam perangkap kad kredit sekali yang begitu memeritkan hidupnya.


Pokok pangkalnya, bina kepercayaan anda dahulu terhadap azam itu.


Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430H.

Selamat Tahun Baru 2009.

Selamat Menanam Azam!

4 comments:

ckLah @xiiinam Sunday, December 28, 2008 6:58:00 AM  

Selamat Tahun Baru Kita.
Kita sambut tahun baru kita dengan cara kita.
Indahnya Islam kan, nak sambut tahun baru pun digariskan beberapa amalan sunat yang menjanjikan pahala....

Anonymous Monday, December 29, 2008 7:55:00 PM  

cklah - Selamat tahun baru juga.Selamat mengajar juga...

alhamdulillah kita dilahirkan dalam Islam.

Its me Thursday, January 01, 2009 1:59:00 PM  

selamat tahun baru 2009

moga lebih sukses sukses

kunangkunang Friday, February 06, 2009 12:43:00 PM  

azam mesti memepunyai ciri2 good objectives - SMART. Specific, measurable, attainable, realistic and time frame. Contoh - nak kurangkan berat badan daripada 100 kg kepada 60 kg dalam masa 6 bulan. So, kena turun 10 kg sebulan. realistik kah ? depends on the individual. harap masukkan ini dalam salah satu azam abahfateh tahun ini :)

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP