Saturday, January 31, 2009

Kisah Upih Pinang

Bidalan Melayu ada menyebut, tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain. Memang benar kata bidalan itu kerana saya percaya ramai di antara kita yang tidak boleh melupakan tempat kita dibesarkan dahulu. Bukan sekadar tempatnya malahan mungkin apa sahaja alatan mainan yang kita gunakan dahulu masih dapat kita bayangkan sehingga ke hari ini. Untuk generasi Y, jika anda membayangkan permainan itu adalah konsol video permainan anda ataupun sekurang-kurangnya haiwan peliharaan elektronik anda maka saya sarankan anda terus membaca perenggan berikutnya.


Ketika saya di kampung isteri saya tempoh hari tatkala saya sedang duduk-duduk sambil mengawasi anak-anak saya bermain tiba-tiba pandangan saya menangkap sepelepah pinang elok terletak di atas tanah di pinggir perdu pokok pinang. Maka saya ambil pelepah pinang tersebut dan melurus-luruskan upih pinang tersebut. Selepas berpuas hati dengan keadaan upih pinang itu saya panggil anak saya, Fateh lalu menyuruhnya duduk di atas upih pinang tersebut.


Pada mulanya dia agak ragu-ragu dengan arahan saya itu namun selepas meyakinkan dia bahawa dia akan mengalami keseronokan yang dia tidak pernah alami sebelum ini maka dia pun duduk di atas upih pinang tersebut. Benar kata saya, selepas itu hanya gelak ketawa yang mengisi ruang kami di bawah pokok di hadapan rumah kampung itu. Kemudian anak kedua saya pula mengambil gilirannya dan selepas itu kedua-dua anak saya saya tarik di dalam bulatan kecil. Sesekali mereka terguling-guling di atas tanah kerana gagal mengawal keseimbangan mereka. Apapun itu adalah antara saat yang menggembirakan buat saya, isteri dan anak-anak pada hari itu .



Saat Fateh berasa cuak untuk duduk di atas upih pinang tersebut.

Itulah permainan tarik upih pinang. Hanya bermodalkan upih pinang kering kami sekeluarga mendapat kegembiraan pada hari tersebut. Tidak perlu membeli konsol permainan video, melawat kompleks beli belah dan sebagainya yang saya kira melibatkan kos yang cukup tinggi juga. Itu baru tarik upih pinang, ada banyak lagi permainan tradisional yang kian dilupakan oleh generasi kini. Entahlah, adakah generasi sekarang terutamanya yang duduk di bandar-bandar besar masih bermain galah panjang, baling selipar atau tin, guli, teng-teng, konda kundi ataupun bermain lompat getah?


Indahnya permainan tradisional ini adalah kerana kita tidak boleh memainkannya seorang diri, kita perlukan sekumpulan orang untuk memainkannya. Secara tidak langsung ini akan dapat mengeratkan lagi perhubungan di antara satu sama lain. Bukan sahaja di kalangan anak-anak tetapi juga ibubapa. Begitu unik masyarakat Melayu dahulu kerana dengan permainan sahaja ia dapat alat perpaduan masyarakat. Dewasa ini sangat menyedihkan melihat anak-anak sekarang yang terperap dengan dunia internet mereka, asyik dengan konsol permainan video ataupun terpaku di hadapan televisyen sehingga lupa untuk menjalin hubungan dengan yang lain dan terbentuklah satu masyarakat ataupun generasi yang bersifat bagaikan enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.


Berbalik kepada upih pinang tadi, tahukah anda bahawa seebelum teknologi polimer (plastik) ditemui, upihlah yang digunakan oleh datuk nenek kita untuk menimba air daripada perigi. Selain itu, upih juga digunakan untuk membungkus makanan. Sepengetahuan saya, makanan yang dibungkus upih dapat mengekalkan kepanasan makanan tersebut disamping memberikan bau yang harum. Di Johor, sesetengah pengusaha dodol membungkus dodol mereka menggunakan upih, dodol anda memang wangi baunya dan tidak mudah tengik.


Itulah kisahnya upih pinang yang memberikan pelbagai kegunaan kepada kita. Sayangnya, kita kadang kala tidak kenal yang mana pelepah pinang, yang mana pelepah kelapa. Saya pernah lihat sekumpulan dewasa bermain tarik pelepah kelapa bukannya pelepah pinang, Hendak digelakkan kasihan rasanya. Simpan sahajalah di dalam hati.



Fateh dan Faiq sedang gelak-gelak di atas upih pinang
tanpa mengetahui abah mereka sudah keletihan menarik mereka berdua.


7 comments:

ckLah @xiiinam Saturday, January 31, 2009 1:52:00 PM  

Masa kecik dulu, ckLah adalah ketua gengster yang sering menindas kaum yang lemah dalam permainan gelang getah dan guli...semerata kampung dijajah dengan gelang getuh penuh ke siku dan guli memberat di poket eluar katok kanan dan kiri...Apabila ada waktu lompong menyauk ikan pelaga di merata parit...anak-anak ckLah, jangankan ke parit, ke longkang sekangkang itik depan rumah pun, "sorry, tak boleh!!" Banyak sangat yang terpaksa dicemburui hidup di bandar ini...

chekgu Bani Hassim Saturday, January 31, 2009 8:44:00 PM  

mmg seronok permainan kampung cemni...
lagi seronok dr ngadap konsol2 game budak2 skg nih...

byk lagi game budak2 kpg yg bolih discover, musti seronok...
sekali skale jadik org kampung pun best ape...

asyik abahnye je yg tarik fateh ngn faiq...bile dorg dua nk tarik abahnye pulak...
mati! lariiikk...haha

Anonymous Sunday, February 01, 2009 8:22:00 PM  

cklah - sungguh 'samseng' cara cklah mendiskripsikan pengalaman waktu kecil dahulu.

lain hulu lain parang, bukan kita tak nak bagi, kita risau mereka akan terjebak dengan benda yang lebih teruk lagi. dulu manalah ada benda-benda macam hari ini.

cikgu bh - ayat terakhir tue.. kena tunggu diorang dah besar nanti.... sungguh menikam kalbu ayat tersebut.

Anonymous Monday, February 02, 2009 10:21:00 AM  

salam abahfateh

emm mmg susah nak dapat main cam gini lagi... org skrg pon da tk tau mane stu pelepah upih ngan kelapa... rindunya zaman kecik2 dulu...

Anonymous Monday, February 02, 2009 3:31:00 PM  

Huisshhh seronoknyer tengok budak2 tu..merasa gak diorang main upih pinang cam tu..
kami walaupun dua2 suami isteri dari kampung, susah nak dapat main mainan camni...ermmm nak kene carik kampung angkatlah agaknyer baru boleh anak2 merasa mainan cam ni..

Anonymous Monday, February 02, 2009 9:31:00 PM  

manje - betul tue.. bukan setakat upih, yang mana tempoyak dengan lempok durian pun silap tunjuk agaknya.

wan j - kat mana kampung sampai tak de daun upih. kalau nak cari kampung angkat, cubalah kampung pinang sebatang.

kunangkunang Friday, February 06, 2009 12:47:00 PM  

Dok apartment nak main apa ye ?? paling2 gi playground. Itu pun ada kos minyak - bw keta g pground! pas tu plak pekena roti canai ngan teh tarik kat ayza's! Hi hi ..

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP