Wednesday, August 13, 2008

Jom Derma Darah

Anda pernah menderma darah? Jika pernah dan selalu menderma, syabas saya ucapkan. Jika anda pernah sekali dan tidak pernah lagi selepas itu, selalu-selalukanlah. Jika anda tidak pernah sama sekali, mulalah berderma darah. Namun, jika anda tidak boleh menderma darah kerana alasan kesihatan, tidak mengapalah.

Setitis darah anda mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

Saya sendiri mula menderma seawal usia 18 tahun. Ketika itu saya seolah-olah diarah oleh Almarhumah Emak saya untuk menderma darah. Katanya, “Bila sudah cukup umur nanti, mendermalah darah.”

Alhamdulillah, selang beberapa minggu selepas harijadi saya yang ke-18, saya menderma darah saya di Kolej Kediaman EON, Universiti Utara Malaysia. Gementar memanglah gementar, namun selepas usai semuanya, semacam ada kepuasan dalam diri ini. Selepas itu, sehingga kini saya pastikan dalam setahun saya menderma darah sekurang-kurangnya dua kali.

Hari ini ada kempen menderma darah yang dianjurkan oleh PETRONAS Wilayah Sabah / WP Labuan. Berduyun-duyun yang datang mengisi borang namun yang dapat menderma darah kurang daripada separuh. Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur ia disebabkan oleh beberapa faktor seperti bilangan hemoglobin yang tidak cukup, tekanan darah tinggi, kurang berat badan dan sebagainya. Itu alasan kesihatan yang boleh kita terima. Namun yang ramainya adalah takut untuk menderma darah.

Alasan seseorang untuk takut menderma darah pun kadang-kadang lucu untuk kita dengar. Yang paling umum takutkan jarum. Ada juga yang punya trauma dengan insiden-insiden tertentu yang masih tidak boleh disingkirkan daripada ingatan. Namun, dalam ramai-ramai orang, rakan saya ini mempunyai alasan kukuh mengapa dia takutkan jarum.

”Saya dulu kerja di kilang membuat jarum. Dari sekecil-kecil jarum sampailah sebesar-besar jarum untuk gajah. Itu yang teringat sampai sekarang.” beritahunya selepas saya galakkan beliau untuk menderma darah. Alhamdulillah, dapat juga 300cc daripadanya.

Rakan saya yang pernah buat jarum untuk gajah
tersenyum lega jarumnya kecil sahaja.

Antara alasan-alasan umum yang lain boleh kita dengar adalah perempuan tidak digalakkan menderma kerana hilang darah setiap bulan, kurus sangat dan takut gemuk. Macam-macamlah alasan kalau tidak mahu itu. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Jangan berdalih lagi. Mari menderma darah. Ramai orang memerlukannya. Suatu hari nanti, jika bukan kita mungkin isteri, anak atau ibubapa kita memerlukan darah untuk menyambung hidup. Sedikit darah yang kita dermakan hari ini mungkin terbalas suatu hari nanti. Jika tidakpun, ada ganjaran menanti daripada Allah Taala kerana ini adalah suatu bentuk sumbangan ataupun sedekah.

Jangan tunggu lagi, jengah-jengahlah mana-mana hospital. Sila klik laman web Pusat Darah Negara untuk maklumat lanjut tentang kenapa dan mengapa kita mesti menderma darah.

Baca juga:

1. Menderma Darah Tanggungjawab kita.
2. Kempen Menderma Darah

Satu Tanggungjawab Sosial oleh Abahfateh.

5 comments:

Anonymous Thursday, August 14, 2008 10:47:00 AM  

patut aku tak derma darah smpi sekarang. takde siapa suruh. hihi..

wa
http://pakdi.my

Anonymous Thursday, August 14, 2008 10:57:00 AM  

salam

bkn nk bagi alasan... mm tapi kite ni berat tak cukup... penah nak g derma darah tapi nurse cakap berat bawah 4okg tak leh derma darah...

Anonymous Thursday, August 14, 2008 6:57:00 PM  

Hari tu nak derma, tapi demam pulak.
Nurse tak bagi derma darah. =)

Saya tak takut jarum....hehe

Anonymous Saturday, August 16, 2008 12:08:00 PM  

pakdi - kau memang...

manje dan hairul - alasan kesihatan diterima :)...

Unknown Tuesday, October 30, 2018 10:28:00 PM  

Kenapa umur bawah 18 tahun tidak boleh menderma darah?

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP