Tuesday, January 13, 2009

Apabila Keikhlasan Dinilai.


Sebak sungguh di hati ini apabila melihat wajah anak-anak Palestin yang tidak tahu apa-apa dengan konflik di sekeliling mereka menjadi korban kekejaman tentera negara haram Israel. Hampir menitis air mata ini apabila saya mengantikan wajah anak-anak itu dengan wajah anak-anak saya. Jeritan dan rengekan sakit mereka saya gantikan dengan suara anak-anak saya menyebabkan saya tidak mampu lagi untuk melihatnya.


Sememangnya konflik Palestin dan Israel memang satu konflik yang cukup lama. Sejarahnya cukup panjang. Ia bukan sekadar pencerobohan atau penjarahan kuasa asing ke bumi Palestin yang berlaku lebih kurang 60 tahun dahulu tetapi ia berakar umbi daripada zaman dahulu kala, ketika zaman Nabi Musa sehinggalah ke Utusan Akhir Zaman, Nabi Muhammad.


Perbualan saya dengan seseorang lewat petang tadi cukup membuatkan saya termenung panjang dengan keimanan yang kita miliki pada hari ini. Rintihannya akan betapa nipisnya iman yang dia miliki sehinggakan tidak mampu berbuat seperti apa yang telah ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah membuatkan saya juga terfikir nilai iman yang ada pada diri ini.


Tersangatlah jauhnya jika kita membandingkan diri kita ini dengan Saidina Usman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mahupun isteri baginda Saidatina Khadijah yang sanggup memberikan semuan harta mereka untuk perjuangan Islam. Hati ini menangis mengenangkan betapa Abdul Rahman bin Auf sanggup meninggalkan Mekah sehelai sepinggang kerana menyahut perintah Nabi Muhammad untuk berhijrah ke Madinah. Penyerahannya kepada Allah sangat tinggi, percaya bahawa Allah akan melindunginya dan rezeki itu ada di mana-mana.


Mungkin keterlaluan membandingkan diri ini dengan sahabat-sahabat Rasullulah. Namun dalam konflik Palestin dan Israel, ia benar-benar menguji keimanan kita. Dalam konteks kehidupan kita hari ini apabila ada pihak yang memohon sumbangan untuk saudara kita di Palestin, pernahkah kita terfikir untuk memberi semua wang yang ada di dalam beg duit kita sekurang-kurangnya? Tepuk dada, tanyalah iman.


Jika dalam kehidupan harian kita, berapa ramai daripada kita yang sanggup berhenti bekerja kerana tidak meredhai dengan tugas yang kita lakukan kerana melanggar peraturan Allah. Mungkin kebanyakan kita hanya menutup mata sahaja kerana khuatir akan terjejas periuk nasi kita.


Perbualan kami diakhiri dengan kisah kenalannya yang sanggup berhenti kerja kerana sama sekali tidak bersetuju dengan amalan syarikatnya yang melanggar peraturan agama. Isterinya tidak bekerja dan beliau berhenti kerja pun tanpa punya perancangan tertentu untuk menyara keluarganya. Dengan bantuan Allah atas tawakalnya dan niatnya yang ikhlas dalam mencari keredhaannya, beliau kini hidup di dalam gaya hidup yang diingininya dan berada di bawah keredhaanNya.


Penderitaan saudara kita benar-benar menguji keimanan kita sebenarnya. Nilai keikhlasan kita itulah yang akan dinilai Allah seperti nilai keikhlasan Habil dan Qabil dalam mempersembahkan bahan korban kepada Allah. Analogi yang diberikannya cukup menginsafkan saya.


“Orang miskin yang ada dua ringgit dalam poketnya dan berikan kesemuanya untuk tolong saudaranya di Palestin tanpa banyak soal lebih tinggi nilainya daripada orang kaya yang hulurkan seribu ringgit tetapi banyak kira-kiranya.”


Ya Allah, tambahkan keimanan dan ketaqwaan ke dalam hatiku ini. Amin.

3 comments:

chekgu Bani Hassim Wednesday, January 14, 2009 6:20:00 PM  

susah tu nk dpt org yg nekad cam tu bah...
berenti keje sebab prinsip majikan yg menyimpang....

kite pun serba salah kdg2 tu...
tersepit dalam keadaan yg menyesakkan...

semoga mereka dilindungi dan dirahmati Allah daripada kekejaman binatang tu...

fareast Friday, January 16, 2009 5:07:00 PM  

Keikhlasan memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Ada yang pernah beritahu keikhlasan itu umpama semut hitam berjalan di batu yang hitam di malam yang gelap. Begitulah, salam perkenalan kerana kita pernah berjumpa dahulu semasa bengkel blog. Saya bersama Hairul dan 2 lagi rakan. Silalah lawat saya di http://mohdfais.net

Anonymous Monday, January 19, 2009 7:48:00 PM  

cikguBh - itulah sebabnya ada 3 peringkat iman. ubah dengan tangan/kuasa/tindakan. tegur dengan lidah/teguran/peringatan dan akhir sekali ada benci di dalam hati.

terpulanglah kepada kita dan bersyukurlah sekiranya masih ada benci dengan kemungkaran.

fais -terimakasih kerana melawat blog. perumpamaan itu amat benar sekali. hanya Allah yang dapat menilainya. Oleh itu janganlah kita pula yang menjadi penilainya... banyak terjadi bukan?

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP