Thursday, October 30, 2008

Taktik Menipu di Restoran Mamak

Kesinambungan daripada entri sebelum ini, maka kami pun meneruskan misi kami mencari restoran ataupun gerai makanan di sekitar kawasan pinggiran Bandaraya Melaka tersebut. Akhirnya kami masuk ke dalam sebuah restoran mamak.

Duduk sahaja maka kami terus membuat pesanan. Selepas hampir 20 minit barulah pesanan sampai termasuklah pesanan semula (minta mee goreng tidak pedas untuk anak saya, diberinya mee goreng maha pedas). Dengan hati yang sudah tawar-tawar, makanan yang terhidang kami jamah juga untuk mengalas perut. Selepas makan, Fateh merengek-rengek meminta dibelikan aiskrim untuknya. Saya belikan juga untung-untung Fateh hendak berkongsi aiskrimnya dengan saya.

Sampai di kaunter bayaran, sakit hati saya menerima soalan popular ini, “Makan apa tadi?”

Ini gaya restoran mamak tidak berapa hendak maju. Sakit hati saya berganda-ganda kerana kaunter bayaran dan meja makan kami itu jaraknya tak sampai 3 kaki. Dengan suara lemah, saya jawablah soalan popular itu.

“RM23.90 sahaja abang.” Terangkat kening saya mendengarnya. Harga yang saya rasakan cukup tinggi. Pantas saya ambil mesin kira di atas kaunter dan persis seorang juruaudit negara saya bertanya satu persatu harga makanan dan minuman.

“RM20.90 sahajalah. Hendak menipu sayakah?” Jerkah saya kepada pekerja kaunter itu. Ketika itu, sengihan sang kerang saya kira lebih cantik daripada sengihan pekerja tersebut. Saya bayar, ambil baki dan segera berlalu. Tiada satu perkataan maaf pun terkeluar daripada pekerja tersebut.

Saya tidak sangka langsung ada cubaan menipu harga sebegitu rupa. Jika saya tidak sedar dan bayar begitu sahaja, pengusaha restoran tersebut sudah untung atas angin RM3. Jika dia berjaya menipu 100 orang pelanggan. Senang-senang sahaja pengusaha restoran tersebut dapat pergi ke Spa untuk pakej lengkap RM300.

Berawaslah, ini mungkin tektik terbaru
segelintir restoran mamak untuk mendapatkan keuntungan atas angin. Sebelum ini kita mungkin mendengar beberapa isu mengenai restoran mamak. Dalam keadaan sekarang ini, pelbagai perkara mungkin berlaku untuk menipu kita sebagai pelanggan. Perkara yang hendak ditipu pun kadang-kadang tidak terjangkau dan tidak terfikir oleh kita.

Selepas ini jika anda nampak seorang pelanggan mengira sedang menyoal siasat penjaga kaunter bayaran dengan mesin kira, orang itu mungkin saya, Abahfateh.

Tuesday, October 28, 2008

Utamakan Kepuasan Pelanggan

“Tukang masak yang masakkan makanan bergoreng cuti hari ini. Nasi beriyani sahaja yang ada.”


“Kalau begitu, saya pergilah. Anak saya tidak mahu nasi beriyani sekarang ini.” Lalu Abahfateh mengangkat punggung dan membawa ahli keluarganya yang lain keluar daripada restoran tersebut.


“Abah, kenapa kita tidak makan di situ?” Tanya Fateh polos.


“Sebab, mee goreng dengan ayam yang Fateh minta tadi tidak ada.” balas Abahfateh perlahan.


“Ataupun, orang itu tidak pandai melayan pelanggan. Tahunya senang dia sahaja.” Sampuk Ibufaiq perlahan. Terbayang riak rasa tidak puas hatinya di wajahnya,


Perbualan di atas adalah perbualan sebenar saya sekeluarga kelmarin ketika kami berhenti singgah di Melaka. Ketika itu kami sudah lapar dan anak saya Fateh sudah merengek-rengek meminta makanan. Banyak kedai makanan tutup kerana hari minggu dan kami pula tidak bernafsu pula hendak pergi ke mana-mana restoran makanan segera.


Ini adalah di antara kes-kes yang banyak saya alami sendiri dan saya percaya anda pun pernah mengalaminya. Anda tidak dilayan sewajarnya sebagai seorang pelanggan. Implikasinya jelas, peniaga tersebut akan kehilangan salah satu pelanggan berpotensinya. Siapalah yang akan berikan anda RM20 begitu sahaja untuk satu perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggannya? Kalau situasi ini berlaku sebanyak 10 kali, potensi mendapatkan RM200 hilang begitu sahaja. Bukankah itu merugikan? Yang membuatkan saya berasa lebih sedih lagi ialah ia membabitkan peniaga berbangsa Melayu, bangsa saya sendiri.


Sepanjang permerhatian saya, ramai orang melayu yang terlibat dalam pernigaan runcit dalam apa jua bidang sekalipun mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap layanan kepada pelanggan. Layanan kepada pelanggan di sini adalah memastikan keperluan pengguna dipenuhi dan memberikan sentuhan peribadi yang berpatutan. Dua perkara asas ini jika dijaga dengan baik akan menjanjikan anda pelanggan berulang.


Lanjutan perbualan kami di atas merumuskan lagi kekesalan isteri saya terhadap pengusaha restoran tersebut.


“Orang itu tidak ada usaha pun hendak memujuk kita supaya cuba nasi beriyani mereka. Cuba cakap lauk nasi beriyaninya tidak pedas, boleh gorengkan ayam untuk kita atau sebagainya. Mungkin kita boleh timbangkan samada hendak makan di situ ataupun tidak. Ini tengok kita pergi pun macam tidak ada apa-apa.” Luah isteri saya sebaik sahaja kami masuk semula ke dalam kereta kami.


Anda di luar sana, jagalah pelanggan anda sebaik-baiknya. Merekalah sumber kewangan anda. Jangan lokek melabur untuk menjaga pelanggan anda. Melabur dengan sedikit senyuman dan kreativiti pun susah sangatkah?


Tanpa pelanggan, apalah perniagaan anda?

Saturday, October 18, 2008

Seperti Enau di Dalam Belukar


Lokasi : Masjid As-Syakirin, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur
Hari : Jumaat
Waktu : ~ 1.50 petang.

“Di manakah saya patut bersembahyang?” Abahfateh berpaling ke kiri dan ke kanan mencari tempat kosong untuk bersembahyang. Penglihatannya menangkap satu kawasan kosong di hadapan rak kasut berhampiran tangga.

“Allahuakbar! Allahuakbar!” kedengaran bilal melaungkan iqamah.

Segera Abahfateh mengatur langkah sambil mengibas sejadah yang dibawanya menuju ke kawasan yang dia nampak sebentar tadi. Kelihatan dua orang jemaah sedang mengambil saf, kedua-duanya tidak membawa sejadah. Seorang daripadanya cuba memohon jasa baik seorang jemaah agar dapat berkongsi sejadah dengannya. Nampaknya seperti tidak dipedulikan apabila sejadah itu dibentang lurus bukan melintang.

Melihatkan keadaan itu, Abahfateh segera mencelah di antara kedua-duanya lantas membentangkan sejadahnya secara melintang. Kedua-dua jemaah tanpa sejadah tadi terus meluruskan saf dan mula fokus untuk memulakan solat. Terik mentari dengan sesekali angin bertiup menambahkan rasa tawaduk para jemaah menunaikan Solat Jumaat.

Usai solat, masing-masing segera bangkit daripada duduknya. Abahfateh berdoa sedikit memanjatkan rasa syukur, memohon keampunan dan diberikan kesejahteraan dunia dan akhirat. Salah seorang jemaah yang berkongsi sejadah menunggu Abahfateh selesai berdoa. Sebaik sahaja Abahfateh meraup mukanya, dihulurkan tangannya dengan senyuman manis.

“Terima kasih.” Ucapnya ringkas.

Abahfateh tersenyum membalasnya sambil bersyukur kepada Allah diberi kesempatan untuk membuat kebaikan sesama insan pada Penghulu Segala Hari, Jumaat.

Nota Abahfateh:

Setakat berkongsi sejadah, apalah sangat. Tanpa sejadah masih boleh bersembahyang asalkan tempatnya suci daripada najis. Apa yang membuatkan saya terfikir-fikir adalah betapa ketika manusia itu sudah begitu hampir dengan Allah, hatinya masih belum bersih. Sehinggakan, perkara-perkara kebaikan untuk saudara seagamanya pun masih tidak dapat dilakukan (contoh catatan ini adalah berkongsi sejadah).

Jika dalam perkara yang berkaitan dengan ibadah masih tidak dapat membantu saudaranya, saya ragu umat Islam akan lebih maju dalam bidang ekonomi, sosial dan lain-lain jika masih mempunyai sikap “Seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.

Saturday, October 11, 2008

Masak Biar Cukup

“Bilakah rendangku ini akan siap?”

Inilah persoalan yang saya sendiri tidak pasti jawapannya. Bukannya banyak manapun, sekilo daging sahaja. Agaknya salah cara memasak, itu sebabnya ambil masa sedikit. Kalau sedap dan diberi pujian melambung oleh adik-beradik dan ipar duai saya, saya akan kongsikan dalam SeleraMalaya. Kalau tidak, saya senyap-senyap sahajalah.


Bercerita tentang memasak ini, saya teringatkan satu kisah yang menunjukkan betapa dangkalnya saya memasak satu ketika dahulu. Kisah ini berlaku ketika saya berusia dalam lingkungan 18 tahun.


Hari itu, seorang rakan adik saya datang bertandang di rumah. Kebetulan emak saya punya urusan dan perlu meninggalkan kami bertiga di rumah. Emak saya ketika itu agak risau untuk meninggalkan kami apatah lagi ada tetamu i.e. rakan adik saya. Namun saya meyakinkan emak saya bahawa saya akan pastikan mereka tidak mati kebuluran. Maka emak saya dengan senang hati meninggalkan kami.


Menjelang tengahari, saya pun mula memasak. Tidak silap saya, menunya ringkas sahaja. Ikan kembung goreng, sayur, telur dadar dan sambal ketuk. Sempurna saya rasakan ketika itu. Nasinya pula saya masak suku pot sahaja untuk kami bertiga. Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan 2 orang remaja berusia 13 tahun. Bayangkanlah, suku pot untuk 3 orang. Terkulat-kulat adik saya dan rakannya makan tengahari. Sepulangnya emak, ketawa besar dia mendengarnya.


Pengajarannya, sila ketahui siapakah mereka yang anda ingin hidangkan makanan. Juga, belajar mengagak sukatan makanan. Selepas saat itu, saya faham sangat-sangat jika orang tua berpesan, “Biar lebih jangan kurang.”

Tuesday, October 7, 2008

Selamat Hari Raya Ei'dulfitri 1429H

Assalamualaikum,

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Ei'dulfitri 1429H kepada semua umat Islam. Saya pohon seikhlas hati saya kemaafan di atas segala cacat cela, kesilapan dan kelemahan sepanjang saya mengendalikan blog saya ini. Kepada anda yang setia mengikuti blog saya ini, saya ucapkan ribuan terima kasih. Yang singgah secara tidak sengaja, terus-teruslah membaca blog saya ini.

Aidilfitri tahun ini saya pulang ke kampung isteri saya di Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Sambutannya sederhana sahaja namun tetap meriah. Saya suka menyambut hari raya di sini kerana semangat kekitaan dan persaudaraan masih kuat di sana. Malam hari raya, saya heret anak saya Muhammad Fateh bertakbir dari rumah ke rumah bersama-sama (‘baraan’ istilah jawanya) dengan datuknya. Walaupun tebal juga kulit muka ini dengan telatah nakalnya (berlari keluar masuk rumah ketika orang bertakbir dan sebagainya), namun demi didikan dan pendedahan awal kepada ibadat dan budaya hari raya, saya tahankan sahaja. Sekurang-kurangnya, malam itu dia tahu perbezaan antara azan dan takbir hari raya.

Yang paling membuatkan saya terkilan dan ralat adalah baju raya isteri dan anak-anak saya tidak dapat disiapkan. Saya tidak kisah jika baju raya saya dan isteri tidak siap, masih ada baju raya yang lalu. Namun, anak-anak yang lebih terkesan dengannya. Apabila baju mereka siap pada hari raya kedua, Fateh sibuk memakainya sehari suntuk sampai enggan menanggalkannya dan dibawa ke tidur.

Namun, satu perkara yang paling saya belajar daripada hari raya tahun ini adalah berkenaan konsep pemberian duit raya. Ketika saya dan Fateh berdua sahaja tiba-tiba dia bertanya kepada saya dengan begitu jujur sekali. “Abah, kenapa orang itu tidak bagi duit raya tadi?”

Terdiam saya seketika kerana menyedari saya salah memberi pengertian pemberian duit raya kepadanya. Perlahan saya menjawab dengan penuh berhati-hati dengan harapan dia memahaminya “Tidak semua orang mampu beri duit raya. Kita beraya jumpa orang itu, ucap selamat hari raya dan minta maaf banyak-banyak. Kalau dia bagi duit raya, kita ambillah. Kalau dia tidak bagi, diam sahajalah. Kita tidak boleh meminta-minta. Tidak elok.”

Lama Fateh merenung saya, akhirnya tersenyum dan meneruskan permainannya yang terhenti tadi. Saya berharap sangat Fateh faham dengan konsep ini dan tidak menjadi mata duitan. Selepas ini, saya harus lebih berhati-hati dalam perkara-perkara seperti dengan anak-anak saya.

Apapun, sekali lagi saya ucapkan;

Selamat Hari Raya Ei'dulfitri 1429H, Maaf Zahir dan Batin.

Jangan lupa Puasa Enam, baru boleh raya sebenar-benarnya !

Ikhlas

Abahfateh, Sunardi bin Maulan
Azlina bt Ngatdene
Muhammad Fateh bin Sunardi
Muhammad Faiq bin Sunardi

Jumlah Pelawat

About This Blog

  © Blogger template 'Blue Greens' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP