Hari ini rakan sekerja saya bising-bising hendakkan sampul duit raya. Kerani saya daripada pagi merengek mencari duit pecah untuk dibuat duit raya. Dalam kekalutan itu, kami menerima satu e-mail bertajuk, "Sila buka untuk dapatkan duit kecil". Pecah ketawa kami apabila melihatnya. Inilah gambar yang saya maksudkan.
Bagaimana? Saya benar-benar berharap agar lelaki ini betul-betul mencari duit kecil untuk dijadikan duit ia raya bukan sebaliknya. Hari ini, 26 September 2008 merupakan harijadi anak saya yang kedua, Muhammad Faiq yang pertama. Pejam celik, pejam celik sedar-sedar sudah setahun usianya. Selamat Ulangtahun Yang Pertama Faiq.
Saya belikan untuknya kereta mainan untuknya namun yang sibuk bermain adalah abangnya, Fateh. Aduhai..., Kalau semuanya abah perlu beli berpasang-pasang, PETRONAS pun jatuh muflis.
Hari ini 17 September 2008. Bukan harijadi saya atau sesiapa yang saya kenali dan sayangi. Bezanya, kekerapan saya melayari laman web pro-BN mahupun pro-PR kurang sedikit hari ini. Wajah Kerajaan Malaysia masih yang itu-itu juga. Pemimpinnya yang itu juga, yang banyak cakap daripada buat kerja. Yang juga retorik seperti dakwaannya terhadap para pemimpin pembangkang.
Saya semakin tidak faham strategi DSAI. Percaturannya sukar difahami oleh rakyat biasa seperti saya, yang kurang faham perlembagaan Malaysia, yang tidak mengerti betapa besarnya kuasa PM di Malaysia dan sebagainya. Cumanya, pada ketika dan saat ini saya teringatkan peristiwa peperangan Uhud dahulu. Peperangan di mana umat Islam ditewaskan oleh tentera musyrikin ketika umat Islam sudah leka dengan bayangan kejayaan. Mungkin inilah pengajaran Uhud yang diambil oleh para pemimpin pembangkang. Biarkan Pak Lah dengan bayangan kemenangan, biarkanlah Najib dengan kunci perbendaharaan, biarkanlah menteri jaga undang-undang pergi penuh kekecewaan, biarkanlah Timbalan-timbalan Presiden UMNO bertelagah pandangan dan pendapat dan biarkanlah Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin bercakaran berebutkan jawatan Ketua Pemuda UMNO. Sampai masa, perlahan anak panah dibidik, dilepaskan tepat mengenai sasaran kemenangan. Bagaimana dan bila? Entahlah, saya bukan di posisi untuk menjawabnya.
Namun, sehingga saat entri ini ditulis, SAPP sudah umum keluar BN namun tidak menyertai Pakatan Rakyat. Salah satu kemungkinan yang mungkin terjadi. MP BN ramai-ramai keluar BN namun tidak menyertai Pakatan Rakyat tetapi mula menyatakan rasa tidak percaya mereka kepada Ketua Kerajaan.
Agaknya, sebab itu Pak Lah ambil Kementerian Pertahanan, senang ‘kowtim’ kalau diisytiharkan darurat. Manalah tahu.
Perbualan saya dengan rakan sepejabat saya petang tadi diakhiri dengan harapan yang cukup optimistik, jika berlaku pertukaran kerajaan atau siapapun yang memegang tampuk pimpinan negara, biarlah mereka dapat menjamin keamanan negara dan mempastikan kestabilan politik dan ekonomi.
Doa orang yang teraniaya Insya-Allah akan dimakbulkan Allah. Siapa yang teraniaya selama ini agaknya?
Fakta pertama mengenai saya kini, saya sudah mula bertugas di Kuala Lumpur hampir 2 minggu. Hari pertama saya ke tempat kerja, saya sedar saya sudah hilang kemahiran hidup di ibukota. Tertekan menunggu tren LRT, tersalah masuk jalan dan sebagainya. Hari ini, kemahiran saya menunggang motorsikal juga teruji. Menggelabah juga hendak mencelah-celah kereta di tengah kesesakan jalanraya. Apapun, bak kata orang tua-tua, alah bias, tegal biasa.
Sudah hampir sebulan saya pulang ke ganggang. Ada beberapa perkara sudah saya rindukan mengenai bekerja di Labuan.
1.Bebas kesesakan jalanraya.
Labuan sesak? Kalau bukan kerana kemalangan, cumalah kesibukan orang hendak pergi ke kerja. Itupun kerana lampu isyarat bukannya atas sebab aliran trafik yang bersimpang siur.
KL? Saya tidak sanggup membayangkan kesesakan jalanraya yang tidak kenal masa.
2. Tiada tol.
Congakan saya daripada Kajang ke Kuala Lumpur dalam sehari saya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM3.80. Kalau sebulan? Sudah RM76.
Labuan ada tol? Kalau ada mahu BN kalah di sana.
3. Boleh balik rumah untuk makan tengahari.
Sekarang bulan puasa, selamatlah saya. Lepas Ramadhan? Perlukah saya bawa bekal sahaja ke pejabat?
4. Sembahyang Jumaat dalam masjid.
Di Labuan, saya tidak perlu gusar sekiranya terlupa untuk membawa selipar ataupun sejadah. Isteri saya selalu perli-perli, siap boleh pilih hendak ke masjid berhawa dingin ataupun tidak.
Sembahyang sudah pasti di dalam masjid.KL? Lambat sikit sahaja sembahyang atas rumput atau jalanlah anda.
5. Memakai uniform putih.
7 tahun saya di Labuan, saya tidak pernah beli sehelai kemeja pun. Kalau ada kemeja barupun, itu adalah pemberian isteri saya. Di Labuan, syarikat membekalkan kemeja putih sebagai uniform. Kalau setahun sudah 2 helai, 7 tahun?
Balik KL? Hadiah yang rakan sekerja di Labuan berikan adalah sehelai kemeja dan tali leher.
Itulah harga yang perlu saya bayar untuk pulang bekerja di Kuala Lumpur. Pengalaman 7 tahun bekerja di Labuan, tidak mungkin saya lupakan sama sekali. Jika umur saya setakat 70 tahun, 10% daripada hidup saya diabdikan di bumi Labuan.
Apapun, ini adalah sebahagian daripada corat-coret yang terukir dalam kanvas pengalaman hidup saya. Memanglah kita perlu sentiasa merenung ke hadapan dan merangka strategi dan bekerja untuk mencapai impian. Namun, sekali-sekala mengenang kembali pengalaman lama, apa salahnya bukan?
Soalan daripada saya, berapa haribulankah hari ini dalam bulan Islam? Saya yakin 100% peratus bahawa anda semua dapat menjawab soalan saya ini tanpa ragu-ragu.
Soalan seterusnya, berapa haribulankah harijadi anda atau tarikh perkahwinan anda dalam bulan Islam? Saya yakin hanya sebahagian daripada kita yang dapat menjawabnya tanpa ragu-ragu.
Mengapakah soalan pertama sangat mudah dijawab dan tidak soalan kedua? Satu sebab yang sangat konkrit adalah kita mengira sudah berapa harikah kita berpuasa atau tinggal berapa hari lagikah kita mesti berpuasa. Jika sekarang bukan bulan Ramadhan mahupun Syawal, pasti kita sendiri lupa dengan bulan Islam yang dimulakan pengiraannya dengan peristiwa besar Hijrah.
Itulah hakikatnya. Umat Islam secara amnya semakin meminggirkan kalendar Islam. Urusan harian kita mengikut calendar Georgian yang berasaskan matahari. Kita malu untuk menulis tarikh Islam dalam surat-surat rasmi mahupun tidak rasmi. Saya sendiri kurang pasti mengapa umat Islam tidak bangga dengan kalendar Islam kita sendiri seperti mana orang-orang Cina dan India yang tidak lupa akan kalendar mereka sendiri.
Anda ada jawapannya?
Siapa boleh sebutkan bulan-bulan Islam mengikut turutan dan jumlah hari bagi setiap bulan itu?